PETALING JAYA: Pelakon, Namron, menegaskan kejayaan meraih anugerah dan membintangi filem yang mendapat kutipan tinggi (box office) turut menjadi punca kadar bayaran seseorang pelakon kekal meningkat untuk masa akan datang.
Namron atau Shahili Abdan, 57, berkata, bayaran yang diterimanya setakat ini daripada penerbit tidak berkurang tetapi semakin meningkat bermula pada tahun 2020.
“Kalau dibandingkan dengan tahun 2000 hingga 2020, bayaran saya tidak sama dengan bayaran pada tahun 2020 itu. Semakin saya tua, kadar bayaran saya sebenarnya lebih tinggi.
“Bukan saya sendiri yang minta kepada penerbit. Tetapi, penerbit sendiri yang tawarkan harga itu,” katanya.
Namron berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui pada sidang media dan pelancaran pratonton filem Terbang di Carfe, Petaling Jaya, di sini, pada Rabu.
Namron berkata, pengiktirafan industri menerusi anugerah dan pencapaian dalam filem sebenarnya akan memberi nilai tambah kepada seseorang pelakon untuk terus dibayar tinggi.
“Selain daripada kemampuan berlakon, menang anugerah juga sebab kita terus diingati. Dulu bayaran yang saya terima untuk lakonan di televisyen dan filem tidak mempunyai perbezaan sangat.
“Tetapi, bayaran tersebut mula meningkat terutamanya selepas saya memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik (FFM29) pada tahun 2017,” katanya.
Dalam pada itu, Namron tidak menafikan wujud situasi di mana sesetengah pelakon berpengalaman dibayar pada kadar yang terlalu rendah berikutan faktor sudah lama tidak aktif berlakon.
“Bagi pelakon yang sudah lama berehat, nama mereka mungkin mula hilang dalam industri dan perlu bermula dari bawah semula apabila kembali berlakon. Walau bagaimanapun, pihak produksi sepatutnya perlu hormat mereka dan meletakkan kadar bayaran yang setimpal,” katanya.










