Sebelum bakat Kmy Kimo dan Luca Sicta diyakini syarikat rakaman gergasi seperti Sony Music Malaysia, satu fasa sepak terajang yang pernah dilalui oleh dua penyanyi rap ini adalah meraka berdua pernah menebalkan muka untuk menjual ‘topup’ di pasar malam hanya untuk mengumpul modal awal pembikinan lagu mereka.
Hasil jualan yang sekadar RM20 hingga RM30 sehari itu, sebenarnya sedikit demi sedikit membantu mereka membeli peralatan rakaman. Pengorbanan tebal muka di tepi jalan itu telah menjadi titik mula sebelum nama dipandang dalam industri.
“Saya dengan Luca bukan berasal daripada keluarga senang, jadi jiwa dan minat pada muzik itu memang kuat. Mahu minta duit dekat mak ayah memang tak berani sebab mereka tentu mahu kami belajar tinggi dan kerja di pejabat.
“Pernah juga kerja hotel dan tebal muka jual kad topup dekat pasar malam semata-mata mahu kumpul duit buat muzik. Duit yang kita kumpul sikit-sikit itu akhirnya dapat digunakan untuk tampung modal awal,” kata Kmy.
Mereka ketika itu memang agak kais pagi makan pagi demi memastikan minat terhadap irama hip hop tidak terhenti di tengah jalan.
Duit jualan topup itu juga digunakan untuk menyewa van bersama rakan-rakan. Adakalanya pergi ke Jerantut dan Raub untuk buat persembahan.

“Hampir 10 tahun kami buat persembahan tanpa sebarang bayaran sebab niat masa itu cuma mahu letak nama dan bagi orang kenal. Kami juga pernah kena tipu sampai puluhan ribu ringgit pada awal kemunculan dulu dalam industri muzik.
“Masa kena tipu itu kami belajar sesuatu dan ambil pendekatan untuk biarkan saja supaya tak stres atau depresi. Kita fikir apa lagi impian yang tak capai dan terus fokus jalan ke depan,” katanya.
Pengalaman pahit ditipu dan tidak dibayar itu bagaimanapun tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk terus melangkah lebih jauh.
Luca pula berkata, kehadiran mereka berdua dalam Sony Music Malaysia disifatkannya sangat luar biasa. Label tersebut sangat memahami apa yang ingin mereka berdua bawakan. Segala urusan berkaitan kontrak dan jemputan persembahan diuruskan secara profesional tanpa perlu bimbang ditipu lagi.
“Sebelum ini, sudah banyak kali rancang mahu buat album tapi bila sampai hujung tahun rasa belum sedia. Bila dengan syarikat baharu ini, baru setahun lebih tapi semua benda jadi sangat laju.
“Album ini ada 10 lagu dan 60 peratus daripadanya adalah lagu baharu berkonsepkan Nusantara. Kami memang mahu lepaskan semua cita rasa dan aura Nusantara dalam album ini,” kata Luca.
Menariknya, album ini menjadi platform buat Kmy Kimo dan Luca Sickta untuk mula menembus pasaran muzik di Indonesia. Mereka turut menampilkan kolaborasi bersama penyanyi Sinden muda berusia 18 tahun dari negara jiran itu iaitu Niken Salindri.
“Kami sudah rancang mahu buat dua siri persembahan ‘showcase’ dekat Indonesia selepas pelancaran album nanti. Kesempatan berduet dengan Niken Salindri ini kami guna betul-betul untuk lihat pasaran sana.
“Pihak pengurusan Sony Music sendiri sangat bersemangat mahu kembangkan bunyi hip hop Nusantara ini. Sasaran kami adalah untuk satukan pendengar dari kedua-dua buah negara,” katanya.
Sebenarnya, sikap tidak mudah menyerah kalah yang ditunjukkan oleh duo ini sewaktu zaman sukar dahulu menjadi senjata kejayaan mereka sekarang. Perjalanan panjang daripada pasar malam sampai ke industri muzik seberang akhirnya membuahkan hasil yang berbaloi.
Belum lagi dikira kejayaan yang telah mereka lakar dalam industri muzik tempatan. Kecekalan duo rap ini membanting tulang demi impian sungguh wajar dijadikan teladan buat semua yang mahu gapai impian walau sejauh mana jalannya sekalipun.










