Jadi penyanyi? Fokus saya tetap sebagai pelakon - Mimi Lana - Utusan Malaysia

Jadi penyanyi? Fokus saya tetap sebagai pelakon – Mimi Lana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tampil menonjolkan bakat terpendamnya dalam bidang nyanyian, pelakon, Mimi Lana mengakui dirinya sering berasa gementar untuk menjayakan babak menyanyi menerusi filem romantik komedi, Mojoku Hilang!.

Menurut Mimi atau Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 30, babak tersebut merupakan cabaran paling besar untuk menjayakan filem tersebut, namun syukur mendapat sokongan dan dorongan dari pihak pengarah, Min Lim.

“Untuk filem ini, pengarah yang meminta saya menyanyi. Pada mulanya saya memang tidak mahu kerana saya rasa saya tidak boleh menyanyi. Saya juga tidak pernah mempunyai pengalaman masuk ke studio rakaman.

“Tetapi dia banyak memberi semangat kepada saya. Dia sentiasa berkata saya boleh melakukannya. Dia juga menjelaskan bahawa dia sendiri bukanlah seorang penyanyi hebat.

“Jadi katanya, saya tidak perlu menjadi penyanyi yang hebat, memadai jika mampu menyampaikan lagu dengan baik,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana filem Mojoku Hilang!, baru-baru ini.

Tambah Mimi, pihak produksi turut menyediakan seorang jurulatih vokal khas dari Amerika Syarikat yang membimbingnya sepanjang penggambaran di Perlis, selain cuba mendapatkan nasihat dari rakan baiknya, Azira Shafinaz.

“Saya juga mendapatkan nasihat daripada rakan-rakan yang merupakan penyanyi, termasuk sahabat baik saya, Azira Shafinaz. Malangnya saya tidak sempat mengikuti kelas vokal kerana jadual penggambaran yang sangat padat di Perlis.

“Namun begitu, pihak produksi telah membawa seorang jurulatih vokal dari Amerika Syarikat ke Perlis. Beliau membimbing saya setiap hari daripada aspek teknik nyanyian, kawalan pernafasan dan sebagainya. Saya sangat bersyukur kerana produksi benar-benar menyediakan segala keperluan untuk saya,” jelasnya.

Menerusi filem tersebut, Mimi tampil menyanyikan dua buah lagu Terlalu Istimewa nyanyian Allahyarhamah Adibah Noor dan Mulanya Di Sini nyanyian kumpulan Freedom.

Meskipun menerima pujian terhadap nyanyiannya, aktres itu menegaskan fokus utamanya masih kekal sebagai seorang pelakon dan tidak merancang untuk beralih ke dalam bidang nyanyian.

“Cuba jadi penyanyi? Takutlah nanti Syafiq kutuk saya. Tidaklah, buat masa ini fokus saya tetap sebagai seorang pelakon dan saya mahu terus memberikan tumpuan kepada bidang lakonan.

Kalau ada babak yang memerlukan saya menyanyi dalam filem, saya tiada masalah. Kalau suatu hari nanti ada komposer yang melihat potensi saya, mungkin kita boleh berbincang. Tetapi setakat ini saya memang belum memikirkan ke arah itu,” selorohnya.

Tambah Mimi, pengalaman tersebut turut membuka matanya mengenai kepentingan latihan vokal dalam bidang lakonan meskipun dirinya bukanlah seorang penyanyi.

“Pengalaman menghadiri uji bakat Puteri Gunung Ledang juga membuka mata saya bahawa seorang pelakon sebenarnya perlu mempunyai asas vokal.

“Bukan sekadar untuk menyanyi, tetapi juga bagi mengawal pernafasan ketika berlakon, terutama ketika menjerit atau menangis. Barulah saya sedar betapa pentingnya latihan vokal walaupun bukan seorang penyanyi,” ujarnya.

Selain Mimi, naskhah itu turut dibintangi pelakon Indonesia terkenal, Adipati Dolken serta barisan pelakon hebat tanah air seperti Wan Hanafi Su, Namron, Aziz M. Osman, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Tony Eusoff, Gambit Saifullah, Haeriyanto Hassan, Farah Ahmad dan Seha Monica.

Filem terbitan Double Vision dengan kerjasama Astro Shaw, Mocha Chai Laboratories dan ARGO Films itu sudah mula ditayangkan di seluruh negara sejak 23 Julai lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN