PETALING JAYA: Penerbit dan pelakon, Sheila Rusly mengakui dia sebenarnya tidak begitu rapat dengan arwah ibu mentuanya sebelum ini.
Sheila Rusly, 55, berkata, keadaan itu berlaku bukan disebabkan wujud perasaan benci atau iri hati, tetapi sekadar kurang keserasian antara mereka berdua.
“Saya tidak begitu rapat dengan ibu mentua. Bercakap pun kurang. Lebih rapat dengan ayah mentua. Tiada istilah iri hati, cuma kurang keserasian,” katanya.
Sheila berkata demikian ketika mengulas hantaran rakan artis, Sharifah Shahora di Threads yang mempersoalkan punca sering berlakunya salah faham serta sikap iri hati dalam hubungan antara mentua dan menantu.
Menurut pengacara program Ketukan-Ketukan Ramadan ini, situasi yang dilalui oleh setiap individu adalah berbeza dan keakraban itu tidak boleh dipaksa.
“Salah itu, awak ada mentua tetapi sudah meninggal dunia. Awak dengan mak mentua dahulu okey, kan? Tiada isu busuk hati, iri hati atau tidak puas hati, betul?
“Lain padang, lain belalang. Kalau kita okey dengan mentua, tidak bermakna orang lain pun akan okey juga,” jelasnya.
Untuk rekod, Sheila telah mendirikan rumah tangga dengan pengarah terkemuka, Azman Yahya atau lebih dikenali sebagai Jinggo pada April 1995.










