Boleh mahu jemput Siti Nurhaliza, ikut kemampuan penganjur - Faizal Tahir - Utusan Malaysia

Boleh mahu jemput Siti Nurhaliza, ikut kemampuan penganjur – Faizal Tahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi,  Faizal Tahir tidak menolak kemungkinan menampilkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai artis jemputan dalam konsert solo terbaharunya, Konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat yang dijadual berlangsung Oktober depan.

Bagaimanapun, Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 48, berkata perkara itu bergantung kepada kemampuan pihak penganjur menyediakan peruntukan yang bersesuaian memandangkan penyanyi bertaraf legenda mempunyai nilai tersendiri dalam industri hiburan tanah air.

“Insya-Allah, jika saya mampu membayar Siti. Itu adalah realitinya. Jika mahu menjemput artis besar, bajet juga perlu besar.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa untuk mendapatkan sesuatu yang terbaik, termasuk menampilkan legenda dalam persembahan, ada harga yang perlu dibayar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat yang berlangsung di The Campus, Ampang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Faizal menjelaskan, dia tidak mahu memaksa mana-mana pihak untuk terlibat dalam konsert berkenaan dan lebih mengutamakan keselesaan semua yang terbabit.

“Saya tidak meletakkan syarat sama ada mahu atau tidak mahu. Apa yang penting, semua pihak berasa gembira dalam menjayakan konsert ini.

“Jika saya merasakan sukar untuk mendapatkan Siti dan beliau hadir dalam keadaan terpaksa, saya juga tidak mahu perkara itu berlaku. Namun jika semuanya berjalan lancar dan semua pihak selesa, saya tiada masalah,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Gemuruh itu, pada tahap kerjayanya ketika ini, beliau lebih gemar mempermudahkan urusan berbanding memaksa sesuatu perkara menjadi kenyataan.

“Pada usia sekarang dan dengan pelbagai komitmen yang perlu difikirkan, saya hanya mahu memudahkan urusan semua orang.

“Jika sesuatu perkara tidak menjadi, tidak mengapa. Kita teruskan dengan perancangan lain,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat dijadual berlangsung pada 3 Oktober depan di Unifi Arena, Kuala Lumpur.

Tiket konsert tersebut akan mula ditawarkan menerusi pra jualan pada 9 Jun, manakala jualan umum dibuka sehari kemudian iaitu pada 10 Jun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN