Tidak campuri urusan peribadi Que, selalu juga saya hubungi dia- Kodi Rasheed - Utusan Malaysia

Tidak campuri urusan peribadi Que, selalu juga saya hubungi dia- Kodi Rasheed

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Kodi Rasheed, 35, mengakui ada berhubung dengan rakan yang juga gurunya, Que Haidar, namun menegaskan komunikasi tersebut sekadar bertanya khabar dan tidak melibatkan urusan peribadi.

Menurut Kodi, sebagai anak murid, menjadi tanggungjawabnya untuk mengambil tahu keadaan gurunya selain berhubung atas faktor kerja.

“Saya cuma tanya khabar sahaja. Sebab dia cikgu saya, jadi memang saya akan tanya khabar, tanya okey atau tidak. Kadang-kadang ada juga saya suruh tengok filem juga.

“Lagipun baru-baru ini saya habis buat promo, jadi saya ada tanya sama ada dia nak sertai  promo untuk ‘Malaikat Malam’ atau tidak. Itu sahaja, tak ada apa-apa pun. Sekadar tanya khabar seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdana filem Libang Libu, di ibu negara, semalam.

Tambahnya, komunikasi tersebut sudah menjadi rutin dan bukan sesuatu yang luar biasa.

“Memang jadi kebiasaan saya untuk telefon cikgu saya dalam seminggu, mungkin sekali atau dua kali. Tapi kalau tak hubungi sebulan pun, kita tetap tahu masing-masing dalam keadaan okey. Kadang-kadang terdetik saja nak telefon.  Dia pun ada cakap dia okey, Alhamdulillah,” ujarnya.

Dalam masa sama, Kodi menegaskan, dia mengambil pendekatan untuk tidak mencampuri urusan peribadi gurunya, khususnya melibatkan hal keluarga.

“Saya tak mahu masuk campur sangat dalam hal peribadi dia. Sebab kedua-duanya cikgu saya, satu cikgu menari dan satu lagi cikgu lakonan dan dalam apa jua hal yang berlaku antara mereka, saya tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Cuma bagi orang luar atau orang sekeliling mereka, saya rasa tak perlu masuk campur. Biarlah mereka selesaikan sendiri. Tak perlu ada sindiran atau hasutan sebab kita sendiri tak tahu apa yang berlaku dalam rumah tangga orang.

“Walaupun tinggal serumah dengan keluarga sendiri pun, belum tentu kita tahu masalah sebenar antara suami isteri. Jadi, lebih baik kita tak masuk campur dan biarkan mereka selesaikan sendiri. Insya-Allah akan ada kebaikan untuk mereka nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Kodi turut menyatakan sokongan orang ramai terhadap Que sebagai sesuatu yang positif dan mungkin hasil daripada kebaikan yang dilakukan sebelum ini.

“Saya nampak ramai yang sayang dan beri sokongan kepada dia, itu sesuatu yang bagus. Mungkin itu hasil daripada doa dan kebaikan yang dia lakukan sebelum ini, dan sekarang Allah balas dengan sokongan orang ramai,” jelasnya.

Pada masa sama, dia tidak menafikan sedih dengan situasi yang berlaku (perceraian), namun memilih untuk terus memberi sokongan dari jauh.

“Sebagai kenalan rapat, memang saya sedih bila ada dakwaan-dakwaan yang agak kasar. Perpisahan mereka pun memang menyedihkan sebab mereka pasangan yang sangat manis.

“Tapi dalam masa yang sama, kita tak perlu terlalu sibuk nak tahu hal orang. Apa yang kita boleh buat hanyalah beri sokongan, contohnya kata-kata seperti ‘tak apa, sabar, Insya-Allah ada hikmah’.

“Kita sendiri pun tak tahu bagaimana rumah tangga kita pada masa akan datang. Jadi, sebagai kawan, cikgu, abang atau kakak, kita hanya mampu beri sokongan sahaja. Itu sahaja,” katanya.

Baru-baru ini, bekas isteri Que iaitu Linda Jasmine memberi bayangan seolah-olah dia bercerai dengan Que pada Julai 2024 disebabkan mahu melindungi anak-anak mereka daripada kejahatan.

Rentetan itu, ramai pihak memberi sokongan dan tampil mempertahankan Que termasuk rakan artis dan adik perempuannya.

Untuk rekod, Linda dan Que mendirikan rumah tangga pada tahun 2009 sebelum disahkan bercerai pada Julai 2024.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar dan Tengku Cleopatra Haidar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN