Spekulasi rumah tangga retak tidak benar — Fikry Ibrahim - Utusan Malaysia

Spekulasi rumah tangga retak tidak benar — Fikry Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fikry Ibrahim menafikan dakwaan kononnya rumah tangga yang dibina bersama isterinya, Siti Khalizah Alihan sedang bergolak seperti yang hangat diperkatakan di media sosial.

Menurut Fikry atau nama sebenarnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 32, spekulasi tersebut timbul berikutan mereka jarang berkongsi gambar bersama di platform digital sehingga mengundang salah tafsir dalam kalangan netizen.

Katanya, tindakan tidak memuat naik foto bersama bukan bermaksud hubungan mereka bermasalah, sebaliknya merupakan pilihan peribadi bagi menjaga privasi.

“Itu semua hanya spekulasi. Disebabkan kami tidak berkongsi gambar bersama, orang mula membuat andaian.

“Kalau ikut logik, kali terakhir saya berkongsi gambar dengan ibu. Adakah itu bermaksud saya bergaduh dengan ibu? Sudah tentu tidak,” katanya.

Fikry berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana filem Libang Libu di GSC Cinemas Mid Valley, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Fikry menjelaskan bahawa sejak sebelum berkahwin lagi, dia sememangnya tidak gemar berkongsi hal peribadi kepada umum.

“Selepas berkahwin, saya masih berpegang kepada prinsip yang sama. Saya lebih selesa tidak berkongsi kisah peribadi.

“Di media sosial pun, saya banyak berkongsi tentang ibu sahaja. Ahli keluarga lain termasuk arwah bapa juga jarang saya kongsikan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon ini turut menjelaskan isu sambutan Aidilfitri yang menjadi perhatian apabila dia dan isterinya beraya secara berasingan tahun ini.

Menurutnya, perkara tersebut berlaku disebabkan komitmen keluarga masing-masing dan bukannya kerana masalah rumah tangga.

“Isteri beraya di Sarawak kerana itu gilirannya, manakala saya perlu menjaga ibu di sini. Tambahan pula, pakcik saya juga kurang sihat.

“Saya izinkan isteri pulang ke Sarawak bersama keluarganya. Sebelum raya, kami juga sempat membeli baju raya bersama,” katanya.

Terdahulu, pada Mei tahun lalu, isterinya pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, permohonan tersebut telah ditarik semula pada Jun tahun sama seperti dimaklumkan oleh peguamnya.

Untuk rekod, Fikry dan Khalizah mendirikan rumah tangga pada 12 Februari lalu dalam sebuah majlis tertutup yang hanya dihadiri keluarga serta kenalan rapat.

Perkahwinan pasangan itu juga pada awalnya tidak didedahkan kepada umum dan hanya diketahui selepas Fikry berkongsi gambar pernikahan mereka di media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN