PETALING JAYA : Pengarah filem Sheriff, Syafiq Yusof tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menandingi kutipan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang diarahkan abangnya, Syamsul.
Kata Syafiq, sebaliknya, dia lebih mengutamakan kepuasan penonton yang sanggup membeli tiket semata-mata untuk menonton filem Sheriff.
“Bahkan saya tidak pernah meletakkan apa-apa sasaran bagi kutipan filem ini. Pada saya, jumlah kutipan yang membawa pulangan modal kira-kira RM19 Juta pun sudah memadai.
“Rekod kutipan bukanlah sasaran utama kerana saya lebih mementingkan kepuasan penonton yang menonton filem ini di pawagam.
“Jadi untuk meletakkan Sheriff setanding dengan filem Mat Kilau bukan dalam perancangan saya kerana kedua-duanya dihasilkan dengan genre yang berbeza, justeru sasaran penonton juga berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, Syafiq turut meluahkan rasa syukur atas sambutan yang menggalakkan dari penonton.
“Alhamdulillah, saya bersyukur. Terima kasih kepada penonton yang terus memberi sokongan. Saya juga terima banyak komen, ada yang tonton filem ini hingga dua, tiga kali.
“Semua kru dan pelakon telah melakukan sehabis baik kerana sesi penggambaran filem ini antara yang paling lama pernah saya lakukan iaitu sekitar 81 hari.
“Kami rasa sangat dihargai apabila penonton pergi ke pawagam untuk menonton filem Sheriff,” ujanya.
Dalam perkembangan lain, Syafiq turut berkongsi perancangan untuk membawa Sheriff ke Indonesia akhir Mei ini.
Sheriff: Narko Integriti sehingga kini meraih kutipan lebih RM31 Juta selepas dua minggu ditayangan di pawagam seluruh negara. – UTUSAN










