Moira Dela Torre sukar sorok rasa gementar - Utusan Malaysia

Moira Dela Torre sukar sorok rasa gementar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Selepas mencipta kejayaan di negara kelahirannya, Filipina, penyanyi, Moira Dela Torre, tidak mahu menunggu lama untuk bertemu dengan peminat-peminatnya di Malaysia menerusi penganjuran konsert jelajah Moira World Tour 2024.

Menurut Moira ketika ditemui Utusan Malaysia, Kuala Lumpur merupakan lokasi pertama yang dipilih untuk menjayakan konsert berkenaan yang berlangsung pada 20 April lalu di The Exchange Hall.

Jelas Moira, dia mengakui sukar menyembunyikan rasa gementar di hati meskipun sudah lama berkecimpung dalam dunia nyanyian dan muzik.

Katanya, dia sebenarnya tidak menyangka mempunyai begitu ramai peminat dari negara ini yang mana rata-ratanya mengikuti perkembangan dan karya muziknya.

Pada masa yang sama, kata Moira, dia juga jatuh cinta dengan budaya dan bahasa Melayu yang mempunyai sedikit sebanyak persamaan.

“Walaupun ini merupakan konsert pertama saya di sini, tetapi sejujurnya saya sebelum ini pernah datang ke Kuala Lumpur sebagai pelancong dan mahu melihat budaya dan keunikan masyarakat di sini.Bagi saya, pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi pertama untuk siri jelajah konsert saya amat tepat kerana saya rasa begitu dekat dengan peminat di sini.

“Kalau diikutkan, Malaysia sepatutnya menjadi lokasi terakhir untuk siri jelajah konsert saya tahun lalu, namun ada beberapa keadaan tidak mengizinkan untuk saya membuat persembahan di sini ketika itu.

“Jadi, saya mohon maaf kepada peminat yang sudah pun membeli tiket untuk menonton konsert saya tahun lalu dan inilah janji saya yang akan saya kotakan tahun ini, iaitu menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi pertama saya memulakan konsert saya,” katanya.

Selain itu, Moira juga mengakui turut menyatakan rasa teruja dan gementar bertemu peminatnya di sini.

“Seakan tidak boleh menyembunyikan rasa gemuruh ini, maklum sahaja, ini kali pertama bertemu peminat saya di sini.

“Ramai yang sudah lama menunggu terutama sejak tahun lalu, dan pastinya ramai yang meletakkan ekspektasi tinggi untuk konsert kali ini,” tambahnya.

Untuk info, penyanyi kelahiran Olongapo, Filipina ini memulakan perjalanan seninya sebagai seorang penyanyi lagu runut bunyi, lagu tema iklan (jingle) dan kini sedang menempa nama di peringkat antarabangsa.

Bermula pada tahun 2013,Moira telah terpilih sebagai peserta The Voice of the Phillipines dan melancarkan EP yang pertama kemudiannya.

Kini Moira, telah memenangi pelbagai anugerah termasuk ‘Most Streamed Filipina Artist’ selama tujuh tahun berturut-turut.

Moira World Tour 2024 telah disertai dengan persembahan pembukaan oleh TJ dan artis tempatan Ismail Izzani dan menerusi konsert itu, Moira menyanyikan lebih 20 buah lagu selama 90 minit persembahan.

Moira World Tour 2024 akan diteruskan ke California pada 18 Mei, dan Texas (1 Jun), sebelum melanjutkan jelajahnya di Kanada sepanjang Jun nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya