Bukan tak sensitif, tapi banyak momen Aishah membesar di IG - Che Ta

Bukan tak sensitif, tapi banyak momen Aishah membesar di IG – Che Ta

CHE Ta kini membuka akaun Instagram baharu untuk Aaisyah dan dalam masa dua jam, Aaisyah telah menerima lebih 13,000 pengikut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan selebriti media sosial, Rozita Che Wan atau Che Ta menjelaskan, dia tiada niat menjentik perasaan orang lain ketika meluahkan rasa sedih berhubung akaun anak­nya, Aaisyah Dhia Rana, yang ditarik semula oleh Instagram.

Tidak menyangka ada yang mendakwa dirinya tidak sensitif dengan masalah orang lain, Che Ta, meminta maaf dan menganggap diri­nya cuma manusia biasa.

“Maaflah kalau ada orang terasa dan kata saya ini tak sensitif. Tapi kita inikan manusia biasa. Bukan kita tak sensitif masalah orang lain, cuma tak adalah sampai mengenepikan masalah sendiri.

“Saya tak adalah sedih sebab memikirkan jumlah pengikut dia di akaun tersebut yang dah cecah 1.5 juta. Tapi saya ralat sebab gambar-gambar dia membesar semua ada dimuat naik dalam akaun tersebut.

“Ada ketika gambar dalam telefon pun boleh hilang, jadi akaun Instagram itu sebagai tempat untuk belek-belek semula gambar-gambar Aaisyah,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, Che Ta ada ber­kongsi di Instagram mengenai akaun Aaisyah yang telah ‘hilang dari radar’.

Selain itu, ditanya lanjut me­ngenai hal itu, kata Che Ta, ke­adaan itu berlaku gara-gara peraturan Instagram yang melarang individu yang berusia 12 tahun ke bawah untuk menggunakan platform media sosial berkenaan.

“Sebenarnya, IG Aaisyah di­ambil semula oleh Instagram sekitar Mei. Mereka ingat Aaisyah sendiri yang uruskan akaun itu. Salah kami juga sebab tak letak diuruskan oleh ibu atau bapa pada ruangan bio.

“Kami dah cuba pelbagai cara untuk dapatkan semula akaun Aaisyah. Dah tunjuk profil Instagram kami berdua, tunjuk bukti gambar pasport tapi semua ti­dak berhasil.

“Saya sedar tentang hal ini bila saya tak lepas nak memuat naik gambar raya. Masa tu, Instagram minta masukkan tarikh lahir. Saya pun masukkan tarikh lahir Aaisyah dan terus disekat. Katanya, kanak-kanak bawah 12 tahun tak boleh guna Instagram,” katanya.

Berikutan itu, Che Ta mengaku berasa terkilan kerana akaun tersebut tidak lagi boleh diakses dan gambar-gambar yang telah dimuat naik hilang begitu sahaja.

“Pengajarannya, kita tidak boleh bergantung sangat pada orang dan dalam kes ini Instagram. Bila-bila masa sahaja mereka boleh ambil semula.

“Kadang-kadang kita muat naik gambar terus ke Instagram dan tiada simpanan. Banyak gambar-gambar Aaisyah yang dah tiada dalam simpanan kami,” katanya lagi.

Che Ta kini membuka akaun Instagram baharu untuk Aaisyah dan dalam masa dua jam, Aaisyah telah menerima lebih 13,000 pengikut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×