Sebulan simpan nombor Datuk Hattan - Mestica

Sebulan simpan nombor Datuk Hattan – Mestica

KUMPULAN nasyid Mestica dianggotai oleh Razin (kiri), Khalil (tengah) dan Khairul.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERTAHAN selama 20 tahun dalam industri muzik sebagai sebuah kumpulan nasyid adalah perkara yang perlu dibanggakan dan menjadi contoh kepada selebriti lain.

Ketika kumpulan artis lain ada yang berantakan, tidak sefahaman mahupun membawa haluan masing-masing, Mestica yang merupakan anak didik kumpulan Hijjaz dua dekad lalu, memilih untuk terus kekal setia sebagai sebuah kumpulan. 

Tahun ini, bekas peserta Gema Gegar Vaganza 2018 itu cuba mencari kelainan dalam karya lagu yang dihasilkan buat peminat setia yang menyokong perjalanan seni mereka. 

Muhamad Razin Che Mud berkata, idea memilih Datuk Hattan sebagai rakan duet dalam single baharu yang merupakan versi rakaman semula sudah lama dirancang Mestica. 

Apatah lagi, jelasnya, penyanyi bertaraf legenda negara itu belum pernah berduet dengan artis nasyid lain sebelum ini.

Sudah tentu, kata Razin, karya yang dihasilkan mesti bermutu tinggi sebelum memutuskan untuk mencadangkan Hattan sebagai rakan kolaborasi. 

“Kita sangat bersyukur kerana Mestica adalah artis nasyid pertama yang dapat berkolaborasi dengan Datuk Hattan. Ini adalah lagu nasyid pertama yang dirakamkan beliau.  

“Ia adalah satu pengiktirafan buat kami. Sebelum kita hendak buat cadangan, beliau mesti akan selidik tentang kami dan bentuk lagu bagaimana yang dihasilkan. Proses itu mengambil masa sebelum kita dapat kata putus,” katanya. 

Single Istikharah merupakan kerjasama pertama Bepositive Music dan Masyhur serta diedarkan oleh Universal Music Malaysia.  

Razin bertindak sebagai komposer single tersebut dan  lirik ditulis oleh isterinya sendiri, Mass Mohammad. 

Bagi Mohd. Khairulnizam Zainol, dia terpaksa mengambil masa selama sebulan untuk menghubungi Hattan walaupun sudah menerima nombornya sudah lama.  

“Dapat nombor Datuk Hattan sudah lama, lepas sebulan simpan baru kita dapat kekuatan hendak hubungi beliau. Alhamdulillah, maklum balas sangat cepat, lepas terima demo lagu, malamnya beliau terus bersetuju. 

“Sepatutnya kita rakam single ini November tahun lalu, tetapi disebabkan jadual beliau dan Mestica sendiri, kita hanya dapat terbitkan Januari lalu,” katanya. 

Selain Razin dan Khairul, Mestica yang popular dengan lagu Destinasi Cinta turut dianggotai oleh Khalil Khusairi Tarmizi.

SINGLE LAMA JADI PERMINTAAN

Mengulas trend kebanyakan artis nasyid memilih untuk memberi nafas baharu kepada karya lama berbanding penciptaan lagu baharu, Khairul berkata, Mestica berusaha mengimbangi kedua-dua perkara itu. 

Katanya, sebagai penyanyi, karya baharu juga perlu dihasilkan dan pada masa sama permintaan peminat terhadap lagu-lagu lama juga perlu dipenuhi. 

“Mestica pernah keluar single baharu pada 2020 berjudul Wasiat Cinta, tetapi promosi tidak dapat dibuat disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama dilaksanakan.

“Walaupun kita hasilkan lagu lama, namun, ia berbeza dengan karya lama daripada segi pendekatan, susunan muzik dan vokal kerana semuanya adalah baharu. 

“Tahun ini, kita sudah ada perancangan untuk menghasilkan projek single baharu dan lama. Kalau lagu baharu kita perlu cari idea baharu yang bersesuaian dengan usia kami,” jelasnya.   

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya