HADIR meraikan sambutan ulang tahun ketiga Siti Aafiyah Khalid yang diadakan di Skyglass, Cyberjaya tempoh hari, sedikit sebanyak dapat disimpulkan bahawa anak kecil itu bakal mekar membesar sebagai seorang yang ternama suatu hari nanti.
Sekurang-kurangnya, itu juga adalah doa yang dititip oleh ibu dan ayahnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa dalam menanam harapan agar puteri tunggal mereka itu mampu menjadi insan yang berguna dan cemerlang dalam perjalanan hidupnya.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sebenarnya Aafiyah kini sudah pun bergelar seorang bintang kecil.
Masakan tidak, setiap kali ibunya memuat naik gambar atau video dalam media sosial, hatta ke mana-mana sahaja dia pergi, Aafiyah tidak pernah gagal mencuri perhatian ramai dek keletahnya yang comel dan bersahaja.
Justeru, apabila Siti mengumumkan bahawa dia sudah menyediakan platform perniagaan buat puterinya itu di bawah jenama Beaukids Aafiyah, ia dianggap satu peluang dan perancangan jangka masa panjang yang baik buat si kecil itu.
“Beaukids Aafiyah adalah hadiah istimewa yang kami berdua dedikasikan buat dirinya selain meneruskan legasi perniagaan kepadanya di bawah empayar CTDK Holdings Sdn Bhd.
“Selama ini dia mungkin tahu ibunya adalah seorang penyanyi kerana sering mengikut saya mengadakan persembahan. Tetapi besar juga harapan saya agar Aafiyah juga tahu bahawa ibu dan ayahnya adalah ahli perniagaan.
“Kami memang mahu Aafiyah meneruskan legasi perniagaan kami suatu hari nanti,” katanya.
Menurut penyanyi nombor satu negara ini lagi, tiada salahnya jika dia mendedahkan anaknya itu dengan dunia perniagaan dari kecil sementelah dia ketika kecil juga didedahkan dengan perkara yang serupa.
“Dulu masa saya kecil-kecil pun sudah biasa menolong keluarga dan mencari duit poket dengan cara berniaga kuih. Jadi, tak salah pun tanamkan Aafiyah dengan ilmu perniagaan ini dari kecil sebab ia bukan sesuatu yang merugikan,” katanya.

Teruja dan ekspresif
Berkongsi mengenai inisiatifnya menjadikan Aafiyah juga sebagai duta produk Beaukids itu, kata penyanyi Kuasa Cintamu ini, dia bersyukur kerana Aafiyah adalah seorang anak yang mudah dididik.
Kata Siti, mungkin ada yang anggap mustahil dan sukar buat anak sekecil Aafiyah untuk memahami apa itu dunia perniagaan namun perkara itu berjaya diterapkan secara perlahan-lahan mengikut fasa dan perkembangan mindanya.
“Dia ini, kalau suka terhadap sesuatu itu biasanya dia akan menjadi sangat ekspresif. Macam untuk perancangan kemunculannya dalam majlis ulang tahunnya tempoh hari, kami juga sudah buat latihan raptai.
“Dia mudah faham dan ikut satu persatu. Kemudian, bila dia tengok wajahnya terpampang di sana sini dalam dewan, dia jadi teruja dan gembira. Itu bermakna dia tahu semua ini adalah tentang dirinya.
“Pendek kata, tak susah mana nak kendalikan dia. Kalau nak tahu, Aafiyah sendiri yang pilih strawberi sebagai bahan utama yang menjadi perisa produk Beaukids,”katanya.
Menurut Siti, dia juga menggunakan pendekatan psikologi selain merasa bertuah kerana mendapat bantuan pengasuh Aafiyah yang setia bersamanya.
“Antara caranya, saya kena terangkan pada Aafiyah tentang sesuatu itu tetapi dengan nada yang sesuai dan keanak-anakkan. Tetapi saya beruntung kerana kakak (panggilan pengasuh) juga banyak membantu mendidik Aafiyah selama ini.
“Harus diakui, kehadiran kakak banyak memudahkan kerja saya. Semasa proses penggambaran juga kami semua kena pastikan Aafiyah sentiasa berada dalam mood yang baik demi kelancaran di set. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik,”katanya.

Persediaan untuk anakanda
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai persediaannya untuk menimang cahaya mata keduanya, Siti mengaku tidak sabar menanti kehadiran anakandanya itu.
Berbaki cuma sebulan lagi, kata penyanyi berusia 42 tahun ini, dia sebenarnya sudah sarat dan kudratnya juga tidak begitu kuat untuk bergegas lasak ke sana ke mari untuk bekerja.
“Tetapi demi beberapa komitmen terakhir yang perlu saya segerakan, maka saya cuba juga kotakan janji dan buat. Niat asal memang nak berehat sahaja sepanjang kehamilan kali ini, tetapi nampaknya tak boleh juga.
“Saya anggap semua itu rezeki dan sebab itulah cuba juga selesaikan. Majlis ini akan menjadi majlis terakhir yang saya bereskan sebelum betul-betul berehat panjang dan menanti kelahiran adik Aafiyah,”katanya.
Berkesempatan melancarkan single terbaru berjudul Medley Klasik Siti 1 pada majlis yang sama, kata Siti, album itu juga adalah sebagai sebuah dedikasi buat Aafiyah dan bakal anakandanya itu.
Menurut Siti, medley itu nanti akan dimuatkan dalam album klasik kanak-kanak yang akan dipasarkan mengikut perancangan menjelang April ini.
Bercerita mengenai pembikinan album itu, kata Siti kebanyakan lagu-lagu yang dinyanyikan adalah lagu kegemarannya semasa kecil.
“Tak cuma itu, saya juga merakamkan lagu klasik seperti Anakku Sazali tetapi ditukar liriknya Anakku Sayangku. Istimewanya, saya juga ciptakan sebuah lagu untuk adik Aafiyah ini dan diberi judul Anakanda.
“Konsep lagu ini menyuntik elemen berbeza kerana ada rentak Inang dan melodinya digabungkan dengan lagu Ikan Kekek,”katanya.

Duta lain? Belum lagi
Dalam pada itu, berbicara mengenai perancangannya jika ada pihak lain yang ingin menjadikan Aafiyah sebagai duta produk mereka, Siti dan Khalid terpaksa menolak dengan baik sebarang cadangan itu buat masa ini.
Bagi mereka, buat waktu ini, eksklusiviti Aafiyah hanya akan tertumpu pada jenamanya sahaja.
“Mungkin tidak buat masa sekarang kerana saya dan suami lebih senang jika Aafiyah tertumpu pada produk kami sahaja. Lagipun, suami sangat menjaga privasi anak.
“Kami juga kekal dengan pendirian untuk tidak membuka akaun Instagram (IG) peribadi Aafiyah. Jadi, segala urusan jualan dan promosi cuma akan dibuat menerusi akaun rasmi Beaukids,”katanya yang juga merupakan duta jenama Cuckoo.










