MENGENALI penyanyi tinggi lampai ini, memang ada nada manja pada bahasa tubuh dan gaya butir bicaranya sejak dari dahulu.
Bukan sesuatu yang dibuat-buat, semula jadinya Elizabeth Tan tidak pernah berubah dan barangkali itulah yang menjadikan dirinya istimewa. Tidak pernah gagal menjadi perhatian terutama buat golongan lelaki yang sentiasa sahaja memasang mata nakal pada dirinya.
Seakan tahu bahawa topik lelaki nakal akan menjadi bahan bualan untuk sampul hadapan Pancaindera minggu ini, dia yang mesra disapa sebagai Lizzy sudah sedia untuk menjawab dan berkongsi rasa sementelah sedar dirinya kebelakangan ini terkait tular dengan komen tidak senonoh lelaki miang berhidung belang.
“Ya, semestinya saya sudah tahu ramai sedang bercakap mengenai video dan gambar-gambar yang dimuat naik di akaun Instagram. Jujurnya saya tak baca pun komen, tetapi perkara itu akan sentiasa dimaklumkan oleh pengurus,” kata Lizzy.

Sedikit pun tidak menunjukkan reaksi kurang senang dengan situasi itu, Lizzy mengaku tidak punya sebab untuk terasa hati atau bengang dengan komen-komen itu kerana sedar, dia tidak boleh mengawal apa yang difikirkan oleh orang lain.
“Saya tahu setiap kandungan dalam media sosial dan apa jenis perhatian yang akan diraih. Kalau orang kata saya sengaja sajikan kandungan gedik dan nakal, nak buat macam mana, saya memang nakal!
“Nak tak nak saya kena kekalkan juga hubungan dua hala dengan pengikut dalam media sosial dengan cara tersendiri, lagi-lagi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang, mana yang termampu, saya akan buat,” katanya.
Tidak merasa terganggu dengan komen-komen berbaur lucah yang tanpa segan diluahkan oleh pengikut lelakinya, Lizzy malah cuma tergelak dan menganggap mereka pandai berlelucon.
Menurutnya, sejak enam tahun mengabdikan diri dalam dunia seni, ia bukanlah kali pertama dia menerima komen-komen seperti itu maka untuk merasa tidak selesa, lebih baik lupakan saja.
“Mungkin kedengaran klise, tapi kalau tak suka tengok, tak perlu ikut akaun saya.Ada banyak lagi akaun artis lain yang anda boleh ikuti. Sebenarnya, ia berbalik kepada apa yang anda mahu fikir atau imaginasikan.
“Saya pun tahu tak semua orang suka Elizabeth Tan. Terpulanglah pada anda sebab hakikatnya, memang yang mengikuti saya dalam media sosial adalah kaum lelaki, sejak dari awal jadi artis lagi.
“Saya tak perlukan komen yang negatif. Lagipun masing-masing ada pendapat tersendiri. Pilihan di tangan anda,”katanya.

Pandai pasang strategi
Dilihat pandai memasang strategi untuk memancing peminat agar terus menyokong kandungan media sosial sekali gus kerjayanya, dalam senyuman, Lizzy membalas begini.
“Maksudnya saya bijak dalam percaturanlah. Sebagai selebriti, saya perlu tahu siapa sasaran dan apa yang mereka mahukan, dunia perniagaan, kalau tak buat begitu, sayalah yang bodoh,”katanya.
Secara umum, kata Lizzy, setiap individu perlu ada perspektif dalam hidup dan jangan kerana dia sedang gembira menikmati hidup dengan cara tersendiri, ada pula yang tidak senang duduk.
Kata Lizzy lagi, jika hendak dibandingkan dengan orang lain, atau sekurang-kurangnya dengan teman kaum Cinanya, apa yang dipertontonkan dalam media sosial masih rasional dan tidak keterlaluan.
“Saya tak pakai seksi sangat pun dan selalunya pakai baju kasual saja kalau sedang buat video atau muat naik gambar. Orang kata, saya kena hormat sikit sensitiviti masyarakat bila dah masuk dalam industri seni yang dimonopoli Melayu.
“Sebab hormatlah saya tak buat perkara yang melampau atau pakai baju yang lebih seksi. Sebolehnya saya tak pakai pakaian yang menunjukkan pusat, masih ada garis panduan lagi. Susah bukan nak puaskan hati semua orang?”katanya.
Menyesal
Mengubah perbualan kepada minatnya dalam dunia perniagaan, dia yang kini mengusahakan jenama pakaian sendiri, Izzi, penyanyi ini sedar bukan mudah sebenarnya untuk menempuh liku-liku sebagai seorang usahawan.
Mengaku awalnya dilakukan secara suka-suka, Lizzy atas niat mahu mencuba menganggap perniagaan tentu ada proses naik dan turun. Maka apa yang diperlukan adalah jiwa yang kental.
“Menerusi Izzi barulah saya baru nampak jalannya. Sebelum ini, pernah mencuba nasib menghasilkan rangkaian produk mandian, tetapi ia tidak berjaya sangat, menyebabkan saya terpaksa berputih mata kerugian sehingga RM200,000.
“Menyesal memang menyesal atas kesilapan yang dibuat, tetapi Itu tidak bermakna saya sudah serik untuk meneroka dunia bisnes. Satu yang saya pelajari, kalau nak buat bisnes dengan rakan, carilah individu yang tepat,”katanya.

Ditanya individu mana yang menjadi idolanya dalam bidang perniagaan, pantas sahaja dia memberikan dua nama, selebriti Yaya Zahir dan Jane Chuck.
Dalam perkembangan kerjaya, Lizzy dilihat begitu teruja bercerita mengenai kelahiran single duet terbarunya dengan penyanyi bersuara serak basah, Hazama menerusi lagu berjudul Beku.
Namun, dalam keterujaan, terselit rasa gementar kerana kata Lizzy, dia bimbang menerima respons peminat dan pendengar lantaran lagu tersebut berada dalam genre balada, sesuatu yang bukan kekuatannya.
“Iyalah, bimbang juga sebab orang biasa ingat saya begitu sinonim dengan lagu yang lebih rancak. Lagipun saya sedar diri, bukan penyanyi bervokal tinggi, yang boleh tarik-tarik suara tinggi.
“Tetapi, seronok dapat bekerjasama dengan Hazama. Kebetulan saya memang dah lama minat dia. Suaranya bagi saya unik dan sedap didengar. Memang nasib saya baik dia sudi untuk berduet kali ini,”katanya.
Menurut Lizzy, dia akui pernah menyimpan impian untuk berduet dengan nama besar lain seperti Naim Daniel dan Haqiem Rusli namun barangkali impian itu hanya tinggal impian memandangkan kedua-dua penyanyi itu seakan mustahil menghasilkan duet dengan mana-mana penyanyi wanita.
Dalam pada itu, wanita berusia 28 tahun ini juga teruja untuk menjalani penggambaran bersama syarikat Skop Production dalam naskah drama terbaru berjudul Undercover yang akan bermula hujung bulan ini.
Katanya, drama tema kepolisan dengan 30 episod itu adalah apa yang paling dinantikan olehnya kerana sebagaimana ramai tahu, Lizzy sudah lama menyimpan hasrat untuk melakonkan watak ala ejen perisik.










