fbpx

24 Oktober 2020, 5:10 am

  TERKINI

kreativiti ‘Otai Rock’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas 17 tahun berada di persada seni tanah air, Zuar kini tampil bersama kumpulan projek baharunya, Copero Viper dengan naskah sulung bertajuk Wali Pendekar. Apa yang menariknya rata-rata anggota kumpulan ini merupakan individu yang cukup dikenali serta berpengalaman luas dalam bidang muzik sebelum ini.

Menurutnya, Copero Viper ditubuhkan untuk ‘mempersembahkan buah tangan baharu’ serta menyuntik beberapa elemen kelainan sebelum dipersembahkan kepada peminat muzik rock tanah air khususnya.

Penghasilan karya unik ini juga percaturan dan idea daripada rakan-rakan yang pernah bernaung di bawah Viper sebelum ini antaranya Amy (dram), Lee (gitar utama) dan anggota baharu, Wan (gitar kedua) yang menggantikan Ulai.

Rockstage Entertainment merupakan label yang berjaya merealisasikan impian tertunda kumpulan ini, malah mereka diberi kebebasan sepenuhnya untuk mencari hala tuju serta keaslian yang diinginkan dalam meluaskan pengaruh muzik mereka.

Zuar pemain bass kumpulan XPDC, pernah terlibat dengan beberapa kumpulan sebelum ini antaranya Copero, yang pernah menghasilkan album berjudul, Conqueror dan kumpulan Viper yang juga pernah menghasilkan dua album iaitu, Evolusi dan Perhentian Objektif.

Di bawah jenama Copero Viper, anggota kumpulan ini dilihat bekerjasama untuk memberikan idea sebelum direncah dan diadun dalam satu resepi agar ia dilihat berbaloi sebelum disajikan kepada peminat. Selain itu komitmen jitu yang ditunjukkan anggota kumpulan ini juga wajar diberikan penghormatan kerana hari ini bukan mudah untuk sesebuah kumpulan atau penyanyi melahirkan naskhah ulung seperti ini jika tidak mendapat kepercayaan daripada peminat dan label yang menjadi penaja mereka.

Tidak dinafikan lagu-lagu yang ada dalam album ini cukup sarat dengan pelbagai cabang kreativiti dan keaslian melalui elemen-elemen rock yang ditonjolkan. Memang ia cukup berbeza dan sempurna, malah boleh dikatakan kumpulan ini mempunyai kelainan ketara daripada mana-mana naskhah rock yang sedia ada hari ini.

Nuansa muzik Copero Viper masih lagi berpaksikan rock sebagai tunjang utama, namun alunan keras yang ditonjolkan cukup sejajar daripada hasil penyatuan idea di antara muzik Copero dan Viper yang satu ketika dahulu berjaya menakluk peminat dengan jualan album melebihi 20, 000 unit.

Album terbitan Zuar ini juga memuatkan sepenuh lagu ciptaannya sendiri termasuk lagu Nekad yang pernah menjulang nama Viper satu ketika dahulu.

Ketika ditanya kedudukan sebenarnya bersama XPDC, beliau enggan mengulas dan meminta peminat menunggu perkembangan kerjayanya bersama Copero Viper.

“Buat masa ini saya hanya mahu fokus pada perjuangan muzik Copero Viper. Ia projek istimewa kami dalam usaha memenuhi permintaan peminat,” katanya.
Wali Pendekar terbitan Rockstage Entertainment yang sarat dengan elemen nusantara ini dirakamkan di Bakri Music Works tampil dengan enam lagu iaitu Wali Pendekar, Rampas Dalam Diam, Permata Illahi, Rakusan Kuasa dan sebuah lagu instrumental Kelasi Hiba.

Selain itu Rockstage Entertainment juga mengeluarkan beberapa cenderahati sempena pelancaran album Copero Viper ini antaranya, CD, T-shirt, beg bertenun, poster, pelekat dan pelbagai lagi.

Kepada peminat yang ingin membuat pertanyaan serta tempahan bolehlah hubungi: Rockstage Entertainment di talian 012-2937976.

BERITA BERKAITAN