PERKONGSIAN gambar terbaharu penyanyi nombor satu negara ini nampaknya mendapat reaksi berbeza peminat. Apa tidaknya membaca komen yang ditinggalkan ramai yang sudah mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Menerusi beberapa komen ada yang menjangka penyanyi kesayangan ramai ini sebenarnya sedang mengandung anak kedua. Tidak cukup dengan ucapan tahniah ada juga meminta agar Siti menjaga kesihatannya.

Jujurnya Kekda tidak mempunyai mata setajam netizen. Lama juga membelek gambar yang dimaksudkan tetapi kalau betul Kekda juga mahu berkongsi perasaan yang sama dengan peminat Siti.
Kekda sempat meneroka gambar- gambar dalam Instagram penyanyi bersuara emas itu. Kebelakangan ini memang tiada perkongsian baharu yang menampakkan keseluruhan bentuk badan.
Malah khabarnya Siti juga sudah tidak aktif dengan aktiviti berbasikal. Mungkin ini juga menambahkan sifat ingin tahu peminat sehingga timbul spekulasi Siti kini sedang hamil.
Sama ada benar `ibu Aafiyah’ berbadan dua, rasanya kita tidak akan menunggu lama untuk mengetahui kesahihannya. Buat masa ini, apa kata masing-masing mendoakan agar urusan penyanyi
Purnama Merindu itu dipermudahan. Apapun sambil menaip kisah ini Kekda juga sudah masuk 12 kali mendengar lagu Aku Bidadari Syurgamu. Aduhai sedap betul lagu ini! – MINGGUAN MALAYSIA










