Insiden LRT: Jangan selindung, campur tangan mana-mana pihak - Utusan Malaysia

Insiden LRT: Jangan selindung, campur tangan mana-mana pihak

LEE LAM THYE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan penuh bagi mengenal pasti punca kemalangan melibatkan sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Kampung Baru, malam tadi perlu dijalankan tanpa campur tangan pihak lain.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, siasatan pasukan penyiasat khas itu diharapkan dibuat secara mendalam dan telus serta bebas tanpa pengaruh mana-mana pihak.

“Ini bagi memastikan tiada perkara yang diragui disembunyikan dan adalah penting untuk menerangkan kepada orang ramai tentang apa punca sebenar kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LRT yang terbabit dalam perlanggaran bersama sebuah lagi tren dipercayai membawa 213 penumpang dan menyebabkan para penumpang cedera berhampiran stesen Kampung Baru.

Menurut Lam Thye, insiden itu adalah kejadian pertama kali yang berlaku sebegitu dahsyat sejak 23 tahun.

“Insiden melibatkan LRT hanyalah sesuatu yang minoriti seperti LRT berhenti kerana bekalan elektrik, masalah brek dan pergelinciran yang tidak membabitkan manusia.

“Namun kejadian semalam dikhabarkan ramai penumpang terpelanting serta mengalami kecederaan yang serius,” katanya.

Beliau turut memuji pasukan penyelamat dan unit keselamatan yang memainkan peranan sangat penting menyelamatkan mangsa dan membawa keluar penumpang yang cedera serta menghantar mereka ke hospital berdekatan.

“Tindakan cekap daripada semua pasukan keselamatan dalam keadaan yang menyukarkan perlu dipuji.

“Walaupun dalam keadaan menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat serta kes Covid-19 yang membimbangkan, pasukan keselamatan masih menunjukkan kecekapan mereka menghadapi kes luar jangka yang berlaku secara tiba-tiba,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.