Silk Road Market yang dibangunkan di King’s Park Genting Highlands bakal menghimpunkan pelbagai produk tempatan, makanan dan minuman (F&B) serta jenama dari rantau Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif Silk Road Market, Datin Rita Sosilawati berkata, inisiatif itu bukan sahaja menawarkan pilihan baharu kepada pengunjung, malah menyediakan ruang kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan.
Katanya, jenama dari Indonesia, Vietnam, Thailand, Filipina, Singapura dan Brunei turut disasarkan untuk diketengahkan menerusi pembangunan berkenaan.
“Pembangunannya dijangka menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung menerusi kepelbagaian pilihan makanan, produk dan aktiviti yang mengetengahkan keunikan budaya serta cita rasa tempatan.
“Ia bukan sekadar menyediakan ruang komersial, malah membuka peluang kepada usahawan, pengusaha F&B dan pemain industri tempatan untuk memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka kepada pasaran lebih luas,” katanya baru-baru ini.
Silk Road Market merupakan kerjasama King’s Park Development Sdn. Bhd. dan Rita Synergy Holding dengan sokongan kerajaan negeri Pahang.
Pembangunannya dilaksanakan secara berfasa dengan fasa pertama mencapai kemajuan 90 peratus dan dijadualkan dirasmikan pada September 2027.
Keseluruhan projek dijangka siap menjelang 2030, merangkumi hotel, taman tema berkonsepkan Upin & Ipin, kawasan komersial dan hab halal.
Dengan sasaran kehadiran antara enam hingga 10 juta pengunjung setahun, King’s Park turut memberi tumpuan kepada pembangunan kemudahan mesra Muslim bagi menyokong pertumbuhan pelancongan halal.
Pengarah Pembangunan Perniagaan Rita Synergy Holding, Hazirah Ibrahim berkata, Silk Road Market diharap dapat menjadi platform kepada perniagaan tempatan untuk menembusi pasaran lebih luas.










