Masih ramai yang memilih untuk membuang tahi lalat sendiri menggunakan produk yang dibeli secara dalam talian kerana mahu mendapatkan kulit yang lebih bersih dan cantik.
Namun, tindakan tersebut boleh mendatangkan risiko kepada kulit, termasuk lecuran kimia, parut dan jangkitan terutama jika produk yang digunakan mengandungi bahan berasid yang bersifat menghakis.
Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, tahi lalat terbentuk apabila sel melanosit yang menghasilkan pigmen berkumpul pada satu kawasan kulit, menyebabkan bahagian tersebut kelihatan lebih gelap.
Menurutnya, apabila melanosit berkumpul dan menghasilkan lebih banyak pigmen pada kawasan berkenaan, tahi lalat akan kelihatan pada permukaan kulit.
“Tahi lalat boleh ada sejak lahir atau muncul kemudian. Biasanya ia boleh dipengaruhi oleh genetik, cahaya UV dan perubahan hormon seperti ketika remaja atau mengandung,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kebanyakan individu mempunyai antara 10 hingga 40 tahi lalat dan majoritinya tidak berbahaya.
Bagaimanapun, setiap tahi lalat perlu diperiksa terlebih dahulu sebelum seseorang membuat keputusan untuk membuangnya, termasuk faktor kosmetik.
Periksa tanda mencurigakan
Dr. Hamidah berkata, pemeriksaan penting bagi menentukan sama ada tahi lalat mempunyai ciri yang mencurigakan atau berisiko menjadi kanser kulit, termasuk melanoma.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah tahi lalat yang pertama kali muncul selepas usia 30 tahun atau selepas berlaku perubahan hormon seperti kehamilan.
Selain itu, perubahan bentuk daripada bulat kepada tidak simetri, perubahan warna, rasa gatal, semakin membesar, perubahan pada permukaan serta pendarahan juga merupakan antara tanda yang perlu diperiksa.
Diameter tahi lalat yang melebihi enam milimeter juga perlu diberi perhatian, terutama jika individu berasa bimbang terhadap perubahan tersebut.
“Kalau ada sejarah keluarga kanser, kita akan periksa. Itu antara tanda-tanda yang mencurigakan,” jelasnya.
Bagi tahi lalat berbulu pula, perubahan pada keadaan bulu perlu diperhatikan. Jika sebelum ini hanya mempunyai satu bulu tetapi tiba-tiba jumlahnya bertambah atau warnanya berubah, pemeriksaan doktor disarankan.
Perlu diperiksa terlebih dahulu
Beliau berkata, kebanyakan tahi lalat boleh dibuang, namun kaedah rawatan bergantung kepada keadaan tahi lalat selepas pemeriksaan.
Antara kaedah yang boleh digunakan ialah memotong tahi lalat dan menjahit semula kawasan tersebut atau incision and suture, terutama bagi tahi lalat yang terlalu besar atau kelihatan mencurigakan.
Laser pula menjadi antara kaedah yang sering diminta untuk tujuan kosmetik.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak semua tahi lalat sesuai dibuang menggunakan kaedah yang sama dan prosedur perlu dilakukan di klinik atau oleh pakar.
“Boleh buang untuk apa-apa sebab pun, tetapi jangan main buang sahaja. Jumpa doktor dulu, kemudian baru buat keputusan,” katanya.
Jangan guna ubat dalam talian
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan ubat pembuang tahi lalat yang dibeli secara dalam talian boleh menyebabkan kerosakan pada kulit.
Produk tersebut mengandungi bahan kimia berasid yang bersifat menghakis dan boleh menyebabkan chemical burn pada kulit.
Keadaan itu bukan sahaja boleh meninggalkan parut yang teruk, malah menyebabkan jangkitan serta merosakkan kawasan kulit di sekeliling tahi lalat.
“Tahi lalat yang asalnya kecil boleh jadi besar. Kadang-kadang bila pesakit datang, kita tidak boleh terus buang. Kita kena cuci dan rawat luka dahulu,” katanya.
Tambahan pula, kerosakan pada kulit di sekeliling tahi lalat akibat penggunaan produk tersebut juga boleh menyebabkan kawasan yang perlu dibuang menjadi lebih besar berbanding keadaan asal.
Boleh tumbuh semula
Katanya, pembuangan tahi lalat mempunyai risiko meninggalkan parut dan terdapat kemungkinan ia tumbuh semula, bergantung kepada jenis tahi lalat.
Menurutnya, doktor akan cuba membuang tahi lalat sepenuhnya termasuk bahagian akarnya semasa prosedur.
Sekiranya tahi lalat tumbuh semula selepas dibuang, sampel boleh dihantar ke makmal bagi mengenal pasti jenis tahi lalat berkenaan.
Pada masa sama, penjagaan selepas prosedur penting bagi memastikan kawasan luka sentiasa dalam keadaan baik.
Jaga luka selepas rawatan
Individu perlu memastikan kawasan luka sentiasa bersih dan menggunakan ubat yang diberikan selepas prosedur.
Aktiviti seperti mendaki dan pergi ke pantai yang menyebabkan luka terdedah kepada cahaya matahari perlu dielakkan ketika proses pemulihan.
Selain itu, individu disarankan mengelakkan aktiviti lasak yang menyebabkan banyak berpeluh.
“Kalau nampak luka bernanah, terus jumpa doktor,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan untuk membuang tahi lalat atas faktor kecantikan tidak menjadi masalah kerana sesetengah individu mungkin berasa rendah diri dengan kewujudan tahi lalat pada kulit.
Namun, individu perlu mendapatkan pemeriksaan terlebih dahulu bagi memahami risiko pembuangan tersebut.
“Kalau tidak mengganggu, tidak perlu buang. Kalau kewangan tidak mencukupi, tunggu dulu. Yang penting kita periksa dulu sama ada tahi lalat itu selamat untuk dibuang atau tidak,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil jalan mudah dengan menggunakan produk pembuang tahi lalat yang dibeli secara dalam talian.
Komplikasi yang berlaku akibat rawatan sendiri boleh menyebabkan proses rawatan menjadi lebih sukar dan kos yang perlu ditanggung juga lebih tinggi.











