Pavilion Bukit Jalil membawa pengunjung menyelami budaya Jepun menerusi PAVILION x JAGAM Matsuri 2026 yang menjadi kemuncak kepada kempen “Konnichiwa Japan – Together, Here”.
Festival ini menghimpunkan pengunjung, peminat budaya serta komuniti Jepun menerusi pelbagai persembahan, aktiviti interaktif, pengalaman kulinari serta ruang niaga yang mengetengahkan elemen budaya Jepun.
Dengan kerjasama Japan Graduates’ Association of Malaysia (JAGAM) dan sokongan Kedutaan Jepun di Malaysia, penganjuran tahun kedua itu mengetengahkan kepelbagaian tradisi, seni, makanan dan hiburan Jepun dalam suasana yang lebih dekat dengan pengunjung.
Sepanjang kempen, Pavilion Bukit Jalil turut ditransformasikan menjadi destinasi bertemakan Jepun dengan pelbagai pilihan hidangan, peluang membeli-belah, aktiviti interaktif dan ruang bergambar.
Antara tarikan utama ialah Japanese Marketplace di Tingkat 2 yang menghimpunkan pelbagai produk, makanan dan pengalaman budaya Jepun.
Pengunjung berpeluang menikmati snek Jepun asli oleh Shojikiya, mencuba matcha di Matcha Corner oleh Ohcha Matcha dan The Haven Club serta merasai pengalaman tradisional Kingyo Scooping.
Marketplace itu turut menampilkan permainan arked Jepun oleh Metapark dan Creative Handcraft Marketplace anjuran Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia.
Ruang berkenaan memberi peluang kepada pengunjung mengenali cita rasa, tradisi dan seni kraf Jepun menerusi pelbagai pilihan yang dihimpunkan dalam satu destinasi.
Di PIAZZA, Tingkat 3 pula, Moshi-Moshi Bazaar menghidupkan suasana pasar jalanan Jepun dengan lebih 120 gerai yang menawarkan makanan jalanan, pencuci mulut, produk gaya hidup, hasil kraf tangan dan pelbagai pengalaman budaya.
Pengunjung juga boleh menyertai aktiviti interaktif di Centre Court, termasuk “Tiny Dolls. Unexpected Places”, hasil kerjasama dengan De Institute of Creative Arts and Design (ICAD), UCSI University.

Aktiviti itu menampilkan patung kecil kawaii berpakaian bertemakan Jepun yang disembunyikan di sekitar pusat beli-belah untuk diterokai pengunjung, sekaligus menggalakkan mereka bergambar dan berkongsi penemuan di media sosial.
Tidak ketinggalan, Bon Odori turut menjadi antara tarikan utama dengan mengajak pengunjung menyertai tarian tradisional Jepun sambil menikmati suasana perayaan yang meriah.
Pelbagai hiburan turut diketengahkan, termasuk persembahan kumpulan idola J-pop berpangkalan di Malaysia, KLP48, penyanyi dan penulis lagu Jepun Kenichi Yamasaki serta kumpulan tarian J-pop, The Jumpers.
Turut memeriahkan acara ialah artis cosplay Mao Xian dan Akiho serta pelawak Mr. Cherry yang menampilkan persembahan santai untuk menghiburkan pengunjung.
Aspek tradisional Jepun turut diketengahkan menerusi persembahan Wadaiko oleh Wadaiko Syo, Tarian Yosakoi oleh Malaysia KL Seiran Matoi dan Kobe Seiran Matoi serta Tarian Eisa Okinawa oleh Hirano Kijimuna.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan Pertunjukan Fesyen Kimono serta menyertai pelbagai aktiviti budaya seperti Maguro Live Cutting Show, pengalaman memakai yukata secara percuma, demonstrasi Masaru Knives Malaysia dan The Art of Kimono Kitsuke.
Pameran kimono di Spanish Steps serta koleksi eksklusif peralatan hidangan Jepun di pintu masuk utama turut memberi peluang kepada pengunjung mengenali kehalusan seni, tradisi dan warisan Jepun dengan lebih dekat.
Ketua Pegawai Eksekutif Runcit, Kuala Lumpur Pavilion Sdn. Bhd., Datuk Joyce Yap berkata, PAVILION x JAGAM Matsuri bukan sekadar meraikan budaya Jepun, malah menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat Malaysia dan Jepun melalui pertukaran budaya.
“Kerjasama tahun kedua kami bersama JAGAM, disokong oleh Kedutaan Jepun di Malaysia, mencerminkan komitmen kami untuk menyatukan komuniti melalui pengalaman yang bermakna,” katanya.
Selain festival, kempen “Konnichiwa Japan – Together, Here” turut menampilkan Peraduan Konnichiwa Japan Spend & Win yang menawarkan peluang kepada tiga pemenang bertuah untuk membawa pulang pakej percutian tujuh hari enam malam ke Jepun bagi dua orang.
Pakej berkenaan mempunyai nilai keseluruhan RM80,000 dan ditaja oleh Joy Paradise.
Kejayaan penganjuran tahun kedua ini mengukuhkan “Konnichiwa Japan – Together, Here” sebagai platform tahunan Pavilion Bukit Jalil dalam meraikan budaya Jepun, selain membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali tradisi dan warisan negara berkenaan dengan lebih dekat.










