Bukan semua usaha membantu golongan memerlukan bermula dengan perancangan besar kerana bagi Ketua Aktivis dan Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan, Mohamad Azhan Mohamed Adnan atau lebih dikenali sebagai Abbe Hae, keinginan membantu perlu didahulukan sebelum memikirkan soal kewangan.
Bagi lelaki yang pernah terlibat dalam industri pembalakan, penerbangan serta perlombongan dan eksport biji besi itu, kerja kebajikan bukan sekadar menghulurkan bantuan, sebaliknya memastikan masalah penerima diselesaikan sehingga ke akar umbi.
Pendekatan itu bermula menerusi program infak Jumaat yang dicetuskan isterinya dengan mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan dan mereka yang memerlukan di sekitar Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur.
Daripada usaha kecil itu, Abbe Hae mula melihat keperluan golongan terbabit dari sudut yang lebih luas apabila menyedari mereka bukan hanya memerlukan makanan, tetapi turut perlukan perhatian, bimbingan, kasih sayang dan pendidikan.
Bantu sampai selesai
Menurut Abbe Hae, kebanyakan kes yang diterima Pertubuhan Jejak Jalanan adalah berdasarkan laporan orang ramai menerusi platform media sosial seperti Messenger, selain kes yang ditemui sendiri ketika berada di lapangan.
“Bila Abbe pergi, Abbe akan selesaikan kes itu A sampai Z sehingga ia mendapat bantuan daripada pihak kerajaan. Kita takkan beri bantuan sekali lalu sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, pendekatan berkenaan menyebabkan setiap kes perlu diteliti terlebih dahulu bagi mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi penerima sebelum tindakan susulan dibuat.
Katanya, bagi kes di kawasan berhampiran seperti Kuala Lumpur, bantuan boleh disegerakan, manakala kes di negeri seperti Kelantan dan beberapa negeri lain memerlukan perancangan lebih teliti kerana melibatkan kos dan perjalanan.
“Kalau Kelantan, takkan setiap kali dapat kes, setiap kali nak ke Kelantan. Kita kena ada rancangan.
“Kita akan maklumkan kepada orang yang beri maklumat, harap bersabar dan Abbe akan turun pada tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Rezeki luas
Walaupun sering berdepan persoalan dana untuk menjayakan misi kebajikan, Abbe Hae menganggap kewangan sebagai cabaran utama yang perlu difikirkan, bukannya alasan untuk berhenti membantu.
“Abbe iyakan dulu. Duit tak tahu lagi ada ke tak ada. Tapi kita kena yakin bila kita nak membantu orang, Insya Allah rezeki Allah akan sampai,” katanya.
Bagi memastikan usaha kebajikan dapat diteruskan, dia turut mengusahakan produk kecantikan sendiri dan menggunakan hasilnya bagi menyokong aktiviti membantu golongan memerlukan.
Katanya, buat masa ini, keuntungan daripada produk berkenaan tidak digunakan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya disalurkan kepada usaha kebajikan yang dijalankan.
Abbe Hae turut membina rangkaian rakan dan sukarelawan yang sanggup membantu mengikut kemampuan masing-masing tanpa mengharapkan bayaran.
Tiga beradik berubah
Antara kisah yang paling meninggalkan kesan kepadanya ialah membabitkan sebuah keluarga di Kelantan yang mempunyai seorang bapa dan tiga anak lelaki yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, ketiga-tiga beradik itu kemudiannya diselamatkan dan ditempatkan di Pusat Pemulihan Akhlak dan Dadah Manzilu Rahmah, Bachok, Kelantan untuk mendapatkan bimbingan.
“Dari al-Fatihah pun tak tahu, solat pun tak tahu, dah pandai solat, dah pandai bekerja, dah pandai baca al-Quran, dah jadi orang,” katanya.
Selepas setahun mendapat penjagaan dan bimbingan, ketiga-tiga beradik itu semakin mampu berdikari sebelum dibenarkan kembali bersama ibu dan adik perempuan mereka.
Jaga jaringan persahabatan
Jejak Jalanan turut menjalankan usaha kebajikan di Kelantan dan Sabah, termasuk merancang untuk menyediakan sebuah madrasah di Sandakan bagi golongan yang tidak mempunyai tempat tinggal.
Walaupun tidak mempunyai ramai ahli, Abbe Hae berkata, dia mempunyai tujuh ahli Lembaga Pengarah serta rakan-rakan tetap yang sentiasa bersedia turun membantu apabila diperlukan.
Katanya, pasukan tetap di Kuala Lumpur dan Kelantan masing-masing hanya sekitar 10 orang, namun kekuatan sebenar gerakan itu terletak pada kesediaan mereka untuk saling membantu.
“Bagi orang muda sekarang, binalah jaringan. Jaringan inilah yang akan bersama-sama dengan kita sekiranya kita nak adakan persatuan atau pertubuhan untuk bantu masyarakat,” katanya.
Abbe Hae yang menerima Anugerah Tokoh Khas Individu Maulidur Rasul Kuala Lumpur 2024, kerja kebajikan bukan sesuatu yang akan dihentikan selagi dirinya masih mempunyai kudrat untuk turun membantu.











