Tompok putih yang muncul pada kulit sering mencetuskan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat apabila ada yang menganggapnya sekadar masalah kosmetik, petanda penyakit berjangkit atau keadaan yang perlu dielakkan.
Namun, persepsi itu tidak tepat kerana vitiligo atau sopak sebenarnya merupakan penyakit autoimun kronik yang bukan sahaja menyebabkan perubahan pada pigmentasi kulit, malah boleh memberi kesan terhadap kesejahteraan emosi serta kualiti hidup individu yang mengalaminya.
Pakar Perubatan Keluarga dan Pensyarah Kanan di Sekolah Perubatan dari Fakulti Kesihatan dan Sains Perubatan, Taylor’s University, Dr. Punithavathy Shanmuganathan berkata, vitiligo berlaku apabila sistem imun badan tersilap menyerang melanosit, iaitu sel yang memainkan peranan dalam menghasilkan pigmen kulit.

Menurut beliau, serangan terhadap sel tersebut menyebabkan kehilangan pigmen dan seterusnya membentuk tompok putih pada pelbagai bahagian tubuh.
“Vitiligo bukan sekadar perubahan pada penampilan, sebaliknya merupakan keadaan autoimun yang boleh memberi kesan terhadap kesihatan seseorang secara menyeluruh.
“Keadaan ini juga tidak berjangkit dan tidak boleh disebarkan melalui sentuhan, perkongsian makanan, hubungan rapat atau sebarang bentuk interaksi harian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Vitiligo boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina atau latar belakang etnik, dengan anggaran antara 0.5 hingga 2.0 peratus daripada populasi dunia mengalami keadaan tersebut.
Bukan sekadar masalah kulit
Menurut Dr. Punithavathy, antara salah faham utama mengenai vitiligo ialah anggapan bahawa keadaan itu hanya melibatkan perubahan warna kulit atau sekadar isu penampilan.
Hakikatnya, vitiligo merupakan penyakit autoimun yang boleh mempunyai kaitan dengan beberapa masalah kesihatan lain dan memerlukan perhatian secara menyeluruh.
Kajian menunjukkan sebahagian individu dengan vitiligo turut mengalami penyakit autoimun seperti penyakit tiroid autoimun, artritis reumatoid, psoriasis, diabetes jenis 1 dan lupus eritematosus sistemik.
“Penemuan ini menunjukkan vitiligo perlu dilihat daripada perspektif kesihatan yang lebih luas dan bukan hanya sebagai perubahan fizikal pada kulit.
“Pengamal perubatan primer memainkan peranan penting kerana mereka sering menjadi tempat pertama pesakit mendapat penjelasan, penilaian kesihatan serta maklumat tepat berkaitan keadaan ini,” katanya.

Salah faham jejaskan pesakit
Walaupun vitiligo bukan penyakit berjangkit, salah tanggapan masyarakat terhadap keadaan itu masih menjadi cabaran terbesar kepada ramai individu yang mengalaminya.
Dr. Punithavathy berkata, pesakit dengan vitiligo sering berdepan pengalaman kurang menyenangkan seperti dipandang pelik, menerima komen atau pertanyaan yang tidak menyenangkan, malah ada yang mengalami pengasingan sosial.
Katanya, stigma yang berterusan boleh memberi kesan lebih mendalam terhadap kehidupan pesakit berbanding perubahan fizikal yang berlaku pada kulit.
“Ramai individu yang mempunyai vitiligo melaporkan mereka berdepan cabaran sosial akibat persepsi masyarakat yang masih kurang memahami keadaan sebenar penyakit ini.
“Keadaan tersebut bukan sahaja menjejaskan keyakinan diri, malah boleh memberi kesan terhadap kesejahteraan emosi serta hubungan sosial mereka,” katanya.
Kesan kepada kesihatan mental
Walaupun vitiligo tidak menyebabkan kesakitan fizikal, kesan psikologi yang dialami individu dengan keadaan ini tidak boleh dipandang ringan.
Tompok putih yang muncul pada bahagian tubuh yang mudah dilihat boleh menjejaskan keyakinan diri, menyebabkan masalah imej tubuh serta menimbulkan kebimbangan untuk berinteraksi dalam kehidupan sosial.
Kajian menunjukkan individu yang menghidap vitiligo mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami kemurungan, keresahan dan tekanan psikologi berbanding populasi umum.
Menurut Dr. Punithavathy, beban psikososial akibat vitiligo boleh menjadi lebih ketara dalam kalangan wanita serta individu yang mempunyai tona kulit lebih gelap.
Hal ini kerana perbezaan warna antara tompok putih dan kulit asal menjadikan perubahan tersebut lebih jelas kelihatan.
“Penjagaan vitiligo tidak seharusnya hanya tertumpu kepada rawatan dermatologi, sebaliknya sokongan terhadap kesejahteraan emosi dan kesihatan mental juga penting sebagai sebahagian daripada penjagaan menyeluruh,” jelasnya.
Ada rawatan walaupun tiada penawar
Satu daripada salah tanggapan yang masih berlaku dalam kalangan masyarakat ialah anggapan bahawa vitiligo tidak mempunyai sebarang rawatan.
Menurut Dr. Punithavathy, walaupun sehingga kini belum terdapat penawar yang mampu menyembuhkan vitiligo sepenuhnya, beberapa pilihan rawatan tersedia bagi membantu mengawal perkembangan penyakit serta memperbaiki keadaan kulit bagi sesetengah pesakit.
Antara rawatan yang digunakan termasuk ubat sapuan, terapi sasaran yang lebih baharu serta fototerapi yang boleh membantu merangsang pembentukan semula pigmen kulit.
“Keberkesanan rawatan berbeza mengikut individu. Oleh itu, pesakit perlu mempunyai jangkaan yang realistik serta memahami pilihan rawatan berdasarkan matlamat peribadi, gaya hidup dan pertimbangan terhadap kualiti hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata, pesakit perlu diberikan maklumat yang mencukupi mengenai pilihan rawatan supaya mereka dapat membuat keputusan yang sesuai mengikut keadaan dan keperluan masing-masing.
Mudah terjejas akibat matahari
Satu lagi salah faham mengenai vitiligo ialah anggapan keadaan itu tidak memberi kesan terhadap sensitiviti kulit apabila terdedah kepada cahaya matahari.
Hakikatnya, kawasan kulit yang mengalami vitiligo kekurangan melanin, iaitu pigmen semula jadi yang membantu melindungi kulit daripada kesan sinaran ultraviolet.
Keadaan tersebut menyebabkan kulit yang terjejas lebih mudah mengalami selaran matahari serta kerosakan akibat pendedahan berlebihan kepada cahaya matahari.
Sehubungan itu, perlindungan daripada cahaya matahari menjadi aspek penting dalam pengurusan vitiligo.
Penggunaan pelindung matahari spektrum luas dengan faktor perlindungan matahari (SPF) sekurang-kurangnya 30 disarankan ketika berada di luar rumah, terutama bagi individu yang terdedah kepada cahaya matahari dalam tempoh yang lama.
Selain itu, pemakaian pakaian perlindungan seperti topi bertepi lebar, baju berlengan panjang dan seluar panjang turut membantu memberikan perlindungan tambahan kepada kawasan kulit yang terjejas.

Perlu ubah persepsi masyarakat
Cabaran terbesar yang dihadapi individu dengan vitiligo sering kali bukan berpunca daripada keadaan penyakit itu sendiri, sebaliknya salah faham dan stigma masyarakat terhadap perubahan pada kulit mereka.
Mitos berkaitan penularan, penampilan serta rawatan terus mempengaruhi persepsi dan tingkah laku masyarakat sehingga menyebabkan sesetengah pesakit berdepan halangan sosial, diskriminasi serta tekanan emosi.
Menurut Dr. Punithavathy, pendidikan dan penyebaran maklumat tepat merupakan langkah penting dalam menghapuskan stigma, meningkatkan kefahaman serta mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif untuk individu dengan vitiligo.
Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya, penerimaan terhadap perbezaan fizikal juga perlu diberi perhatian, termasuk keadaan kulit seperti vitiligo.
Setiap individu berhak menerima penghormatan, layanan bermaruah dan penerimaan tanpa mengira warna kulit, tekstur atau keadaan kesihatan yang dialami.
Sempena Hari Vitiligo Sedunia yang disambut setiap 25 Jun, peningkatan kesedaran mengenai keadaan ini diharapkan dapat membantu masyarakat melihat individu dengan vitiligo bukan berdasarkan perubahan pada kulit semata-mata, sebaliknya sebagai individu yang memerlukan pemahaman, empati dan sokongan.










