Membaca itu seringkali dianggap sebagai jambatan ilmu yang membuka ruang imaginasi, menyemai nilai murni dan membentuk pemikiran pembaca.
Namun, silap memilih bahan bacaan boleh menggadaikan sahsiah, nilai dan kesejahteraan rohani remaja berikutan lambakan kandungan yang eksplisit dalam bahan bacaan.
Dalam masa yang sama, muncul satu trend yang semakin mendapat tempat dalam kalangan remaja iaitu novel berkulit hitam atau lebih dikenali sebagai dark romance.
Dengan tema hubungan toksik, lelaki mafia, perkahwinan kontrak, penderaan emosi dan kandungan seksual yang semakin berani, genre ini bukan sahaja menjadi trend di platform digital seperti Wattpad dan Tiktok malah kini membanjiri rak-rak kedai buku.
Persoalan yang seringkali bermain di fikiran ialah sejauh mana kandungan sebegini mempengaruhi cara remaja memahami cinta, hubungan dan realiti kehidupan yang sebenar.
Menurut Pensyarah bidang Penerbitan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Norsyuhada Ahmad Rashidi berkata, kandungan eksplisit sebenarnya bukan perkara baharu dalam dunia penerbitan.

Katanya, perbezaan ketara hari ini ialah elemen tersebut telah berubah daripada sekadar unsur sampingan kepada satu trend yang dijadikan tarikan utama untuk meningkatkan jualan.
“Kalau dibandingkan dengan novel dahulu, kandungan dewasa ini sememangnya wujud tetapi ia tidak terlalu ketara dan hadir sebagai elemen yang menyokong jalan cerita.
“Hari ini, kandungan eksplisit bukan lagi sekadar elemen tetapi menjadi trend yang didorong oleh budaya pembacaan digital berikutan perkembangan platform seperti e-buku dan Wattpad yang sudah mempunyai kelompok peminat tersendiri,” katanya yang juga penulis novel.
Katanya, apabila satu karya mendapat jumlah bacaan yang tinggi penerbit cenderung untuk menerbitkannya tanpa menapis jalan ceritanya.
Oleh itu, di sinilah timbul kebimbangan kerana ada kandungan yang sepatutnya ditapis dan dikawal sebaliknya kekal dibukukan seperti versi asal.
Perbezaaan Antara Romantik Dan Intim
Mengulas mengenai kecenderungan penulis muda memasukkan penceritaan eksplisit dalam karya mereka, Norsyuhada berkata ramai yang masih gagal membezakan antara konsep romantik dan intim.
Katanya, romantik sebenarnya berkait dengan hubungan emosi, kasih sayang dan penghargaan antara dua individu, manakala intim pula melibatkan sentuhan atau interaksi fizikal.
“Ramai penulis muda menyangka romantik mesti diterjemahkan melalui pegangan tangan, pelukan atau ciuman sedangkan romantik boleh hadir melalui pandangan mata, perhatian dan kasih sayang yang ditunjukkan secara halus.

“Apabila pembaca muda kerap disajikan dengan gambaran bahawa cinta mesti disertai sentuhan fizikal, mereka mungkin mula melihat perkara itu sebagai perkara yang normal dalam hubungan,” katanya.
Kecenderungan tersebut boleh membentuk persepsi yang tidak tepat tentang cinta terutama dalam kalangan remaja yang masih dalam proses memahami hubungan interpersonal.
Normalisasi Hubungan Toksik
Selain kandungan seksual, trend dark romance juga sering menampilkan watak lelaki dominan, mafia, hubungan penderaan emosi serta perkahwinan kontrak yang digambarkan sebagai sesuatu yang romantik.
Menurut Norsyuhada, pendedahan berulang terhadap naratif sebegitu berisiko membentuk jangkaan yang tidak realistik terhadap hubungan sebenar.
“Budak-budak mungkin mula percaya bahawa seseorang yang bersifat kasar, mengongkong atau mendera masih boleh dianggap pasangan ideal kerana akhirnya dia akan berubah menjadi baik.
“Sedangkan dalam realiti, tidak semua individu yang bersikap kasar dan toksik akan berubah. Ini yang membimbangkan kerana pembaca muda mungkin menganggap penderaan sebagai sebahagian daripada cinta,” ujarnya.
Kata beliau, sesebuah karya masih boleh mengangkat isu penderaan atau konflik hubungan jika ia digunakan untuk membina tema dan perkembangan watak namun masalah timbul apabila elemen tersebut dieksploitasi semata-mata untuk menarik perhatian pembaca.
“Kalau dari muka surat pertama hingga akhir hanya memaparkan kandungan seksual atau hubungan toksik tanpa mesej yang jelas, itu bukan lagi pembangunan cerita tetapi eksploitasi kandungan,” jelasnya.
Ketiadaan Garis Panduan Yang Khusus
Dalam masa sama, Norsyuhada mengakui industri penerbitan tempatan masih belum mempunyai garis panduan yang jelas bagi mengawal kandungan sensitif dalam karya fiksyen.
“Kalau penerbit itu mempunyai garis panduan sendiri, maka ada kawalan. Kalau tidak, semuanya bergantung kepada pertimbangan individu.

“Itu sebabnya wujud kelompongan yang perlu diberi perhatian terutama apabila kandungan tersebut mudah diakses oleh pembaca muda,” katanya.
Walaupun tidak menolak kebebasan berkarya, Norsyuhada berkata bahawa penulis perlu memahami tanggungjawab sosial yang datang bersama pengaruh sesebuah karya.
“Buku mempunyai kuasa yang besar kerana ia boleh membentuk pemikiran, nilai dan cara seseorang melihat dunia. Sebab itu kita perlu memastikan karya yang dihasilkan bukan sekadar mengejar jualan tetapi turut memikirkan kesan jangka panjang terhadap masyarakat khususnya generasi muda,” katanya.
Ketagihan Fantasi Dorong Kekeliruan Realiti
Sementara itu, Pakar Motivasi Kekeluargaan, Hushim Salleh berkata, pendedahan berulang terhadap novel yang sarat dengan kandungan seksual dan hubungan romantik tidak sihat boleh memberi kesan mendalam terhadap perkembangan emosi serta pemikiran remaja.

Katanya, walaupun novel tidak memaparkan visual secara langsung seperti video atau filem, kandungan yang dibaca tetap mampu meninggalkan kesan kerana pembaca akan membina gambaran sendiri dalam fikiran mereka.
“Remaja yang sedang melalui fasa pembentukan identiti dan emosi lebih mudah terpengaruh dengan naratif yang sering mereka baca setiap hari. Keadaan itu boleh menyebabkan remaja membina jangkaan yang tidak realistik terhadap cinta dan hubungan.
“Mereka mungkin melihat hubungan intim sebelum perkahwinan, perlakuan seksual atau hubungan toksik sebagai sesuatu yang normal kerana sering dipaparkan dalam bahan bacaan yang mereka minati,” ujarnya yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang motivasi.
Ujar beliau, antara kebimbangan terbesar ialah apabila remaja mula mencari pengalaman yang sama seperti yang dibaca dalam novel.
Pendedahan berulang akan mendorong remaja untuk terus mencari bahan bacaan yang menawarkan rangsangan yang serupa berikutan rasa ingin tahu yang mencanak menyebabkan kecenderungan untuk meneroka kandungan yang lebih eksplisit.
“Proses tersebut berlaku secara berperingkat sehingga berpotensi mewujudkan kebergantungan terhadap kandungan yang mampu memberi rangsangan emosi dan imaginasi tertentu jika tidak dikawal dengan baik,” ujarnya.
Tidak Sepatutnya Dinormalisasikan
Menurut Hushim, isu tersebut bukan hanya melibatkan tabiat membaca namun turut memberi kesan terhadap pembentukan nilai, moral dan keperibadian seseorang remaja.
Seseorang individu mungkin cemerlang akademik dan berjaya dalam kerjaya tetapi pendedahan berterusan kepada kandungan sebegini cenderung untuk menormalisasikan hubungan seksual yang bebas.
“Apabila seseorang terdedah kepada perkara yang sama secara berulang, lama-kelamaan sensitiviti terhadap baik dan buruk boleh menjadi semakin tumpul. Apa yang dahulu dianggap salah atau memalukan akhirnya dilihat sebagai sesuatu yang biasa,” ujarnya.
Keadaan ini boleh memberi kesan kepada kesejahteraan mental, emosi dan sosial remaja selain yang lebih membimbangkan apabila berlaku peningkatan terhadap hubungan seksual pada usia muda tanpa memahami risiko sebenar yang menanti.
Katanya, masyarakat hari ini semakin berdepan dengan pelbagai cabaran sosial yang memerlukan perhatian serius daripada semua pihak termasuk ibu bapa, sekolah dan komuniti.
Bimbing Ibu Bapa Dahulu Baru Anak
Hushim berkata, ibu bapa perlu lebih peka terhadap bahan bacaan yang diakses oleh anak-anak selain memainkan peranan aktif dalam memberi pendidikan mengenai hubungan sihat, batas pergaulan dan nilai kekeluargaan.
“Kita tidak boleh menyerahkan sepenuhnya pembentukan pemikiran anak-anak kepada media atau bahan bacaan. Ibu bapa perlu menjadi benteng pertama yang membimbing mereka membezakan antara fantasi dalam karya dan realiti kehidupan,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan agar pendidikan keibubapaan dan literasi media diperkasakan sejak awal bagi membantu ibu bapa memahami bentuk kandungan yang diakses oleh anak-anak mereka.
“Ibu bapa perlu lebih peka terhadap bahan bacaan, aplikasi dan kandungan digital yang menjadi sebahagian daripada kehidupan anak-anak hari ini.
“Pengawasan semata-mata tidak mencukupi sebaliknya perlu ada komunikasi yang berterusan mengenai nilai, batas pergaulan dan tanggungjawab diri,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar aspek pendidikan berkaitan hubungan sihat, keselamatan diri dan literasi media diberikan penekanan di sekolah supaya remaja mempunyai kefahaman yang lebih baik tentang realiti kehidupan berbanding fantasi yang dipaparkan dalam karya fiksyen.
“Kalau kita gagal membimbing mereka hari ini, kesannya mungkin hanya akan kelihatan beberapa tahun akan datang.
“Ketika itu, kita bukan sahaja berdepan masalah individu tetapi juga cabaran yang melibatkan institusi keluarga dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.










