Resort keluarga terbaik di Batu Ferringhi

Resort keluarga terbaik di Batu Ferringhi

Amazonia Splash menjadi antara lokasi paling digemari kanak-kanak yang menempatkan dua gelongsor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebanyakan ibu bapa kini cenderung memilih resort mesra keluarga ketika merancang percutian.

Selain faktor keselesaan, resort sebegini menyediakan aktiviti untuk semua peringkat usia, termasuk kanak-kanak.

Malah, ia turut memberi ruang kepada ibu bapa untuk berehat sementara anak-anak menikmati aktiviti yang disediakan.

Terletak di tepi Pantai Batu Ferringhi yang terkenal dengan pemandangan matahari terbenam, PARKROYAL Penang Resort menampilkan gabungan kemudahan mesra kanak-kanak, aktiviti rekreasi dan suasana santai untuk seisi keluarga.

Tidak hairanlah ia diiktiraf sebagai Resort Keluarga Terunggul Malaysia 2025 oleh World Travel Awards.

Antara tarikan utama di sini ialah Amazonia Kids’ Club yang menyediakan pelbagai aktiviti interaktif khusus untuk kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun setiap hari dari jam 10 pagi hingga 7 malam.

Pengurus Besarnya, Edward Kollmer berkata, si kecil berpeluang bermain, belajar dan bergaul dalam persekitaran yang selamat serta menyeronokkan.

Tidak jauh dari situ, Amazonia Splash menjadi antara lokasi paling digemari dengan kemudahan dua gelongsor, kolam renang dan permainan air yang sentiasa mencuri perhatian kanak-kanak sepanjang percutian.

“Keluarga merupakan segmen utama tetamu resort ini, justeru kami sentiasa menambah baik pengalaman yang ditawarkan agar bukan sahaja kanak-kanak, malah ibu bapa turut dapat menikmati percutian dengan lebih bermakna,” katanya.

Dalam masa sama, akses mudah ke pantai berhampiran membolehkan anak-anak terus ke situ untuk menyambung keseronokan bermain di tepi laut.

Dibuka sejak September 1990, PARKROYAL Penang Resort merupakan antara resort tepi pantai terkemuka di Batu Ferringhi.

Ia menawarkan 310 unit penginapan merangkumi 284 bilik dan 26 suite, dengan setiap ruang direka bagi memberi keselesaan maksimum, sesuai untuk percutian keluarga mahupun penginapan jangka pendek.

Santai tepi pantai

Bagi yang ingin memanjakan diri, Spa St. Gregory menawarkan pelbagai rawatan yang sesuai untuk melepaskan keletihan dan mengembalikan kesegaran.

Untuk pengalaman berbeza, sesi urutan turut boleh dinikmati di Rumah Teratak yang berkonsepkan rumah kayu klasik.

Antara kemudahan lain yang disediakan termasuk jakuzi, sauna stim, bilik yoga dan gimnasium 24 jam.

Tetamu juga boleh bersantai di kawasan resort yang dikelilingi kehijauan landskap tropika atau berjalan santai di sekitar pantai.

Rekaan bilik keluarga yang luas untuk keselesaan tetamu.

Di waktu petang, nikmati pemandangan matahari terbenam sambil menjamu selera di Restoran Gustoso by The Beach yang menawarkan hidangan autentik Itali.

Bagi yang mahukan cabaran, aktiviti sukan air seperti jet ski dan parasailing turut boleh dicuba.

Flora, fauna di taman tropika

Landskap resort lima bintang ini dihiasi dengan tanaman tropika yang merangkumi seluruh kawasan termasuk kolam dan pantai.

Kollmer berkata, lebih 50 spesies pokok teduhan, hiasan dan herba ditanam di taman tropika tersebut.

Katanya, pemilihan tanaman dibuat berdasarkan kesesuaian iklim tropika, fungsi ekologi dan nilai estetika bagi memastikan keseimbangan antara keindahan dan kelestarian dengan konsep rekaan ini turut diinspirasikan daripada keindahan semula jadi Pulau Pinang.

“Pokok teduhan seperti palma membantu menurunkan suhu manakala di kawasan pantai, Scaevola taccada atau tapak kuda digunakan untuk mengurangkan hakisan dan menstabilkan tanah.

“Herba dan buah-buahan seperti pegaga, daun kari, oregano, betik, nangka, kelapa, pinang dan belimbing tanah turut ditanam bagi tujuan pendidikan, kulinari serta kelestarian,” katanya.

Terbaharu, resort itu memperkenalkan kempen Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE), Every Meeting Matters yang menawarkan pelbagai manfaat termasuk diskaun, naik taraf bilik, coffee break bertema serta ganjaran sehingga 5X discovery dollars (D$) bagi tempahan sebelum akhir bulan ini manakala 2X D$ (sebelum 30 September).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN