Gogo & Bebe Wonderland muncul dalam siri animasi

Gogo & Bebe Wonderland muncul dalam siri animasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sunway Group melakar sejarah baharu dalam dunia hiburan dan kandungan keluarga tempatan menerusi pelancaran rasmi Gogo & Bebe Wonderland, siri animasi kanak-kanak asal pertama yang diinspirasikan daripada maskot ikonik Sunway.

Pelancaran siri animasi berkenaan dilihat sebagai langkah baharu Sunway dalam memperluaskan jenamanya ke arah pembangunan kandungan hiburan keluarga yang lebih segar dan relevan dengan generasi hari ini.

Siri tersebut diperkenalkan sebagai kandungan edutainment yang menggabungkan elemen muzik, penceritaan dan pembelajaran bagi penonton muda di Malaysia menerusi saluran YouTube.

Dicipta bersama oleh AdAsia, Gogo & Bebe Wonderland membawa watak maskot kesayangan Sunway menerusi dunia animasi tersendiri dengan pendekatan moden yang dekat dengan generasi baharu.

Siri ini turut menampilkan lagu kanak-kanak asal serta penceritaan yang menekankan nilai positif, kreativiti serta pengalaman kehidupan seharian.

Melalui pendekatan edutainment, siri ini bukan sahaja bertujuan menghiburkan tetapi juga mendidik kanak-kanak menerusi kandungan yang mudah difahami dan menyeronokkan.

Dalam pada itu, watak Gogo dan Bebe sebelum ini sudah lama dikenali masyarakat Malaysia khususnya di kawasan Sunway seperti taman tema, pusat beli-belah dan fasiliti keluarga.

Kini, watak tersebut diberikan identiti baharu melalui pembangunan jalan cerita dan personaliti tersendiri dalam bentuk animasi.

Timbalan Presiden Sunway Group, Evan Cheah berkata, maskot Gogo dan Bebe sudah menjadi sebahagian daripada kenangan ramai rakyat Malaysia yang membesar bersama Sunway sejak sekian lama.

Katanya, penghasilan siri animasi tersebut memberi peluang kepada watak berkenaan untuk terus berkembang dan hidup dalam medium baharu yang lebih dekat dengan generasi kanak-kanak masa kini.

“Menerusi Gogo & Bebe Wonderland, kami berbesar hati melihat watak-watak yang sudah dikenali ini menjalani kehidupan baharu melalui penceritaan, muzik dan animasi secara bermakna,” katanya ketika majlis pelancaran rasmi yang berlangsung di Sunway Blue Concourse, Sunway Pyramid.

Menurut Evan, kandungan tersebut juga mencerminkan usaha Sunway untuk terus membina hubungan emosi bersama keluarga dan generasi baharu menerusi hiburan yang positif serta inklusif.

“Projek ini selari dengan hala tuju “Next 50 and Beyond” Sunway yang memberi fokus kepada pembinaan pengalaman serta hubungan jangka panjang bersama masyarakat.

“Tambahan pula, kenangan dan jalinan hubungan yang dibina bersama satu generasi akan terus berkembang kepada generasi seterusnya,” katanya.

Sunway juga turut menampilkan tayangan perdana episod pertama Gogo & Bebe Wonderland selain pelbagai aktiviti interaktif, pameran animasi dan kemunculan maskot untuk para pengunjung pada majlis pelancaran animasi tersebut baru-baru ini.

Tambah beliau, pihaknya berharap siri animasi tersebut mampu menjadi medium untuk keluarga meluangkan masa bersama selain mewujudkan hubungan emosi dengan watak-watak berkenaan.

Ketua AdAsia, Gordon Ling berkata, idea penghasilan Gogo & Bebe Wonderland bermula daripada usaha bagi menghidupkan semula watak yang sudah lama dikenali rakyat Malaysia dalam bentuk yang lebih moden dan dekat dengan penonton muda.

“Gogo & Bebe Wonderland bermula dengan idea kreatif yang mudah dengan mengambil watak yang sudah dikenali ramai rakyat Malaysia dan dijelmakan semula dengan cara yang baharu,” katanya.

“Setiap watak dan elemen visual dalam siri tersebut dibangunkan dengan teliti bagi memastikan kandungan yang dihasilkan mampu menarik perhatian kanak-kanak serta memberi pengalaman menonton yang menyeronokkan,” tambahnya.

Menurutnya, pihak produksi memberi perhatian yang teliti bermula daripada proses mencipta personaliti watak sehinggalah ke pembangunan dunia penceritaan terhadap elemen emosi dan identiti tempatan bagi membolehkan ia mudah difahami oleh penonton khususnya kanak-kanak.

Gordon berkata, siri animasi tersebut mempunyai potensi untuk menarik perhatian penonton antarabangsa kerana tema dan nilai universal yang diketengahkan.

Musim pertama Gogo & Bebe Wonderland akan memaparkan 10 episod yang mengandungi lagu kanak-kanak asal dan kandungan berkaitan pembelajaran asas seperti nombor, warna, bentuk serta nilai kebaikan dalam kehidupan harian.

Selain menampilkan unsur pendidikan, siri itu juga turut memberi penekanan kepada kreativiti dan imaginasi kanak-kanak menerusi jalan cerita yang santai dan mudah difahami.

Siri berkenaan boleh ditonton menerusi beberapa platform digital termasuk YouTube, YouTube Kids dan Spotify bagi memudahkan akses kepada keluarga di seluruh negara.

Dalam pada itu, episod baharu akan dilancarkan secara bulanan bermula Jun 2026 sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang francais tersebut.

Menerusi perkembangan sama, musim kedua Gogo & Bebe Wonderland kini sudah berada dalam peringkat pembangunan dan dijadualkan akan diterbitkan pada tahun 2027.

Sunway dan AdAsia menyifatkan kerjasama tersebut sebagai usaha membina kandungan asal Malaysia yang mampu memberi impak bukan sahaja di peringkat tempatan malah antarabangsa.

Selain kandungan animasi, Sunway turut memperluaskan jenama Gogo & Bebe Wonderland melalui penghasilan barangan eksklusif termasuk mainan plush berdasarkan watak utama siri tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN