Percutian penulis pada musim bunga di Eropah bersama keluarga baru-baru ini, bukan saja meninggalkan meninggalkan pengalaman manis tetapi juga pahit apabila penulis tiba-tiba jatuh sakit.
Pada awalnya, segalanya berjalan lancar sehinggalah apabila tiba di hotel penginapan di pinggir Kota Paris petang itu, badan mula menggigil kesejukan tanpa henti. Keadaan semakin teruk apabila pemanas di dalam bilik tidak berfungsi sehingga pihak hotel menghantar alat pemanas yang lain.
Keesokan paginya tubuh terus tidak bermaya tetapi tetap bersiap, turun bersarapan walaupun tidak berselera dan meneruskan perjalanan ke Amsterdam, Belgium, Jerman dan Switzerland seperti dijadualkan.
Semakin hari tubuh semakin lemah sehingga tidak berdaya berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda ketika lawatan di ladang bunga di Kaukenhof. Air kencing juga semakin keruh manakala kuku jari tangan dan muka mula kebiruan.
Sepanjang tidak sihat, penulis hanya bertahan dengan ubat-ubatan yang dibawa seperti paracetamol, ubat anti radang dan inhaler untuk asma. Namun sepanjang masa berkenaan, tiada serangan asma atau sesak nafas berlaku menyebabkan penulis tidak ke klinik.
Sebaik tiba di tanah air, keluarga segera membawa ke klinik. Doktor mengambil darah dan hasilnya mendapati ada jangkitan kuman paru-paru dan jaundis. Beliau menasihatkan penulis terus mendapatkan rawatan di unit kecemasan hospital.
Hasil pemeriksaan melalui X ray dan pengambilan darah di hospital, mengesahkan penulis mengalami jangkitan kuman paru-paru dan Anemia Hemolitik Autoimun sejuk (Cold Aiha).
Cold Aiha adalah penyakit sistem imun badan sendiri menyerang dan memusnahkan sel darah merah menggunakan antibodi yang aktif (IgM) pada suhu sejuk. Akibatnya, badan kekurangan sel darah merah yang di panggil anemia.
Antara rawatan yang dijalankan sepanjang 10 hari di hospital, pemindahan darah dan ubat anti radang.
Antibodi serang sel darah
Pegawai Perubatan Unit Hematologi, Jabatan Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz,Dr. Chong Guang Yong berkata, punca utama Cold Aiha berlaku apabila sistem imun menghasilkan antibodi tidak normal jenis IgM yang bertindak balas terhadap suhu rendah.

“Keadaan ini boleh berlaku secara spontan tanpa sebab yang jelas (primer) atau sebagai tindak balas sekunder akibat masalah kesihatan lain seperti jangkitan kuman paru-paru, serangan virus tertentu atau penyakit berkaitan sistem limfa.
“Dalam situasi ini, antibodi tersalah anggap sel darah merah sebagai ancaman dan mula menyerangnya apabila suhu badan atau persekitaran menurun,” katanya.
Katanya, Cold Aiha bukan sekadar berlaku apabila seseorang melancong ke negara bersuhu sejuk, malah ia boleh tercetus di mana-mana sahaja asalkan suhu persekitaran menurun.
Suhu sejuk boleh mencetuskan atau memburukkan serangan pada pesakit yang sudah mempunyai penyakit ini. Bahkan minum air ais atau berada dalam bilik berhawa dingin yang terlalu sejuk sudah cukup untuk mencetuskan episod hemolisis pada sesetengah pesakit.
“Proses ini bermula apabila badan terdedah kepada suhu sejuk menyebabkan antibodi IgM melekat pada permukaan sel darah merah dan bertindak seperti ‘gam’. Keadaan ini mengakibatkan sel-sel darah merah menggumpal sesama sendiri sehingga menghalang aliran darah normal di dalam saluran darah yang kecil.
“Setelah sel-sel menggumpal, sistem pertahanan badan akan menandakan gumpalan darah itu untuk dimusnahkan secara semulajadi di dalam organ hati. Akibatnya, sel darah merah dimusnahkan dengan lebih cepat daripada yang mampu dihasilkan oleh badan, lalu menyebabkan pesakit mengalami masalah kekurangan darah atau anemia,” katanya.
Golongan berisko dan gejala
Dr. Guang Yong berkata, penyakit ini paling kerap dikesan dalam kalangan warga emas, terutamanya bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas bagi kes yang bersifat kronik.
Golongan muda dan kanak-kanak juga berisiko mengalaminya buat sementara waktu, biasanya sebagai tindak balas selepas dijangkiti virus atau bakteria tertentu.
Individu yang mempunyai masalah sistem imun atau penyakit darah limfoma turut mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit ini.
“Pesakit biasanya akan mengalami gejala anemia seperti keletihan melampau, sesak nafas dan kelihatan pucat kerana kekurangan sel darah merah. Tanda yang paling unik bagi penyakit ini adalah akrosianosis, menyebabkan jari, telinga, atau hidung berubah warna menjadi biru atau ungu kehitaman apabila terdedah kepada sejuk.
“Keadaan ini sering disertai dengan rasa sakit atau kebas pada bahagian tersebut kerana aliran darah tersumbat oleh gumpalan sel darah merah. Air kencing berwarna gelap atau coklat (hemoglobinuria) juga menandakan pemusnahan sel darah merah yang teruk,” katanya.

Pengesanan dan rawatan
Diagnosis atau pengesanan penyakit ini biasanya dilakukan melalui ujian darah khas seperti Direct Antiglobulin Test (DAT/Coombs Test) untuk mengesan kehadiran antibodi pada permukaan sel darah merah.
“Rawatan utama membabitkan penjagaan kehangatan badan secara rapi bagi menghalang antibodi daripada menjadi aktif dan merosakkan darah. Bagi kes yang memerlukan ubat-ubatan, doktor sering memberikan terapi antibodi monoklonal seperti Rituximab untuk mengurangkan penghasilan antibodi IgM yang tidak normal di dalam sistem badan.
“Transfusi darah bukan rawatan tetap tetapi digunakan sebagai tindakan kecemasan bagi mengatasi masalah anemia yang serius dan membahayakan nyawa. Namun, prosedur ini dilakukan dengan sangat teliti di mana darah yang dipindahkan mestilah dihangatkan terlebih dahulu menggunakan alat khas (blood warmer),” kata Dr. Guang Yong.
Katanya, langkah ini sangat penting bagi memastikan darah yang diterima berada pada suhu badan yang selamat agar ia tidak terus diserang dan dimusnahkan oleh antibodi di dalam badan pesakit.
Kesan sampingan rawatan
Rawatan seperti Rituximab atau ubat penekan imun boleh menyebabkan sistem pertahanan badan menjadi lemah buat sementara waktu. Keadaan ini menjadikan pesakit lebih mudah terdedah kepada risiko jangkitan kuman seperti demam atau selesema.
“Penggunaan steroid dalam jangka masa panjang pula boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah dan paras gula, kenaikan berat badan dan tulang menjadi rapuh.
“Kadar kesembuhan penyakit ini sangat bergantung kepada punca utamanya, di mana kes yang disebabkan oleh jangkitan kuman atau virus biasanya boleh sembuh sepenuhnya selepas jangkitan berkenaan reda,” katanya.
Namun, bagi kes kronik yang berlaku tanpa punca yang jelas, penyakit ini mungkin tidak hilang sepenuhnya tetapi boleh berada dalam fasa stabil atau ‘tidur’ untuk jangka masa lama.
Walaupun rawatan memberikan remisi, pesakit boleh mengalami penyakit berulang terutama selepas menghentikan rituximab (biasanya dalam masa 6 sehingga 12 bulan).
Katanya langkah paling penting untuk mengelakkan serangan berulang adalah dengan sentiasa mengekalkan kehangatan badan dan mengelakkan pendedahan kepada suhu sejuk.
Pesakit dinasihatkan untuk memakai pakaian berlapis, sarung tangan dan stoking, serta menggunakan air suam untuk mandi dan mencuci tangan. Selain itu, elakkan pengambilan makanan atau minuman berais secara terus dari peti sejuk dan pastikan suhu persekitaran, terutamanya di dalam bilik berpendingin hawa, sentiasa berada dalam keadaan yang suam dan selesa.
Kesan pada hati atau organ lain
Dr. Guang Yong berkata, dalam jangka masa pendek, organ hati dan limpa boleh membengkak serta menjadi aktif kerana terpaksa bekerja keras untuk menapis serta memusnahkan sel darah merah yang menggumpal.
“Keadaan ini sering menyebabkan jaundis dan pembebasan hemoglobin secara mendadak yang boleh membebankan fungsi penapisan buah pinggang.
“Bagi jangka masa panjang, anemia kronik yang tidak dirawat akan memaksa jantung mengepam darah dengan lebih laju sehingga boleh mengakibatkan kegagalan jantung atau serangan jantung,” katanya.
Katanya, pendedahan berterusan terhadap sisa sel darah yang pecah berisiko menyebabkan kerosakan kekal pada struktur buah pinggang dan pembentukan batu hempedu. Hemolisis berterusan juga meningkatkan risiko trombosis (pembekuan darah).
Tanda gangguan organ biasanya bermula dengan jaundis, dengan mata dan kulit menjadi kuning akibat pemusnahan sel darah merah yang berlebihan. Air kencing juga boleh bertukar warna menjadi gelap seperti teh pekat kerana buah pinggang terpaksa menapis protein darah yang pecah.
Hati dan limpa boleh membengkak sehingga menyebabkan rasa senak atau tidak selesa pada bahagian perut. Jika anemia dibiarkan tanpa rawatan, jantung mungkin menjadi lemah dan membengkak akibat terpaksa bekerja terlalu keras untuk mengepam darah.
“Kebiasaannya, kerosakan organ tidak bersifat kekal dan boleh pulih semula sekiranya tahap anemia dikawal dengan cepat dan berkesan. Namun, jika penyakit ini dibiarkan terlalu lama tanpa rawatan, kerosakan struktur pada buah pinggang atau kelemahan jantung boleh menjadi kronik.
“Dalam situasi ini, pesakit mungkin memerlukan pemantauan jangka panjang atau rawatan tambahan yang khusus. Secara keseluruhan, pemulihan organ sangat bergantung kepada kepantasan rawatan dimulakan dan kepatuhan pesakit dalam menjaga kehangatan badan,” katanya.










