“Kalau dapat habiskan dua suap pun saya lega.” Itulah realiti yang dilalui ramai ibu bapa setiap hari apabila berdepan anak yang terlalu memilih makanan, enggan makan atau hanya mahu makanan tertentu berulang kali.
Ada ibu bapa yang sanggup memasak menu berasingan, mengejar anak satu rumah sambil menyuap makanan, malah menggunakan telefon atau tablet semata-mata untuk memastikan anak membuka mulut.
Walaupun sering dianggap sebagai “fasa biasa” kanak-kanak, masalah pemakanan anak sebenarnya jauh lebih kompleks dan boleh memberi kesan kepada emosi seluruh keluarga.
Jabatan Psikiatri dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Prof. Dr. Firdaus Mukhtar berkata, cabaran pemakanan kanak-kanak bukan sekadar isu anak degil atau manja, sebaliknya melibatkan gabungan faktor fizikal, sensori, psikologi dan persekitaran keluarga.

Beliau berkata, sesetengah kanak-kanak mempunyai pengalaman makan yang tidak menyenangkan sehingga menyebabkan mereka takut terhadap makanan.
“Bagi kanak-kanak yang mengalami refluks gastrik misalnya, mereka mungkin mengaitkan makanan dengan rasa sakit. Ada juga yang mengalami sembelit kronik sehingga takut makan kerana bimbang sakit ketika membuang air besar.
“Selain itu, terdapat kanak-kanak yang sangat sensitif terhadap tekstur, bau atau rasa tertentu sehingga makanan tertentu boleh menyebabkan rasa tidak selesa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pengalaman negatif ketika makan boleh menjadi lebih buruk apabila kanak-kanak sering dipaksa, dimarahi atau diugut untuk menghabiskan makanan.
Keadaan itu akhirnya menyebabkan waktu makan bertukar menjadi situasi penuh tekanan.
“Apabila makan menjadi pengalaman yang menakutkan, anak akan semakin menolak makanan. Mereka mungkin menangis, mengamuk atau enggan duduk di meja makan,” jelasnya.
Skrin jadi ‘penyelamat’,tetapi ada risiko
Dalam usaha memudahkan anak makan, ramai ibu bapa kini bergantung kepada telefon pintar atau tablet ketika waktu makan.
Video kartun atau permainan digital sering digunakan agar anak lebih fokus membuka mulut dan lebih jarang menolak makanan.
Menurut Dr. Firdaus, penggunaan skrin secara berlebihan ketika makan boleh mengganggu perkembangan tabiat pemakanan yang sihat.
Kanak-kanak menjadi kurang peka terhadap rasa lapar dan kenyang kerana perhatian mereka tertumpu kepada skrin.
“Mereka juga kurang memberi perhatian kepada tekstur dan rasa makanan, selain kehilangan peluang untuk berinteraksi dengan ahli keluarga,” katanya.
Waktu makan sebenarnya memainkan peranan penting dalam perkembangan emosi dan komunikasi kanak-kanak.
Suasana makan yang tenang serta disertai interaksi keluarga membantu membina hubungan yang lebih positif terhadap makanan.
Tekanan ibu bapa
Di sebalik isu anak memilih makanan, ibu bapa sendiri sering berdepan tekanan emosi yang tinggi.
Ada yang risau anak kekurangan nutrisi, tumbesaran terbantut atau dibandingkan dengan kanak-kanak lain.
Tidak kurang juga yang menerima kritikan daripada ahli keluarga mengenai cara mereka menguruskan pemakanan anak.
Beliau berkata, tekanan emosi ibu bapa boleh mempengaruhi suasana makan di rumah.
“Anak mudah merasai ketegangan emosi ibu bapa. Apabila ibu bapa terlalu cemas atau tertekan, waktu makan boleh menjadi lebih mencabar,” katanya.
Oleh kerana itu, intervensi pemakanan bukan hanya tertumpu kepada anak semata-mata, tetapi turut membantu ibu bapa mengurus emosi dan memahami perkembangan pemakanan anak secara lebih realistik.
Perubahan kecil sebenarnya sangat besar
Menurutnya, ramai ibu bapa berharap anak terus makan banyak selepas menjalani terapi atau intervensi pemakanan.
Namun, perubahan biasanya berlaku secara perlahan dan memerlukan kesabaran.
Kadangkala kemajuan hanya bermula apabila anak mula duduk lebih lama di meja makan, berani menyentuh makanan baru atau mencuba gigitan kecil.
Walaupun nampak kecil, perubahan itu sebenarnya perkembangan yang sangat penting.
“Matlamat utama bukan memaksa anak menghabiskan makanan, tetapi membantu mereka membina hubungan yang sihat dengan makanan untuk jangka panjang,” katanya.
Pendekatan moden kini lebih menekankan keselamatan emosi kanak-kanak berbanding paksaan.
Antara langkah yang disarankan termasuk menetapkan rutin makan yang konsisten, mengurangkan penggunaan skrin ketika makan, makan bersama sebagai keluarga dan memberi pendedahan berulang kepada makanan baru tanpa tekanan.
Ibu bapa juga digalakkan memuji usaha kecil anak seperti mencuba makanan baru, bukan hanya fokus kepada jumlah makanan yang dihabiskan.
Bila perlu dapatkan bantuan?
Menurut Dr. Firdaus, penilaian profesional perlu dipertimbangkan sekiranya pilihan makanan anak terlalu terhad sehingga menjejaskan berat badan atau tumbesaran.
Bantuan juga perlu dicari jika waktu makan sentiasa penuh konflik, anak terlalu takut terhadap makanan tertentu, kerap muntah atau tersedak ketika makan.
Kanak-kanak yang mempunyai autisme, ADHD atau kelewatan perkembangan juga mungkin memerlukan sokongan tambahan daripada pakar.
Pendekatan melibatkan beberapa pakar seperti doktor, pakar dietetik, ahli terapi carakerja, ahli pertuturan dan ahli psikologi yang sering membantu kerana setiap pakar melihat masalah anak dari sudut berbeza.
Dr. Firdaus berkata, masyarakat juga perlu mengurangkan stigma terhadap ibu bapa yang mempunyai anak dengan masalah pemakanan.
“Cabaran pemakanan kanak-kanak bukan tanda kegagalan ibu bapa. Ia isu yang kompleks dan memerlukan kefahaman serta sokongan, bukannya kritikan,” katanya.










