Proses penuaan manusia bermula sejak dilahirkan

Proses penuaan manusia bermula sejak dilahirkan

proses penuaan sebenarnya sudah bermula sejak lahir apabila telomer pada DNA semakin memendek dan penghasilan kolagen berkurangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penuaan sering disalah faham sebagai proses yang hanya berlaku apabila seseorang meningkat usia.

Hakikatnya, ia bukan sesuatu yang bermula pada usia tua semata-mata, sebaliknya boleh berlaku lebih awal dan secara beransur tanpa disedari.

Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, penuaan ini sudah bermula sejak manusia dilahirkan dan ia dipengaruhi oleh pelbagai faktor dalaman serta luaran yang saling berkait.

Terdapat dua konsep umur yang penting dalam memahami penuaan, iaitu umur kronologi dan umur biologi.

“Umur kronologi merujuk kepada usia berdasarkan kalendar, manakala umur biologi pula merujuk kepada keadaan sebenar tubuh badan seseorang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Faktor penuaan

Proses penuaan boleh dibahagikan kepada dua faktor utama iaitu penuaan dalaman (intrinsik) dan penuaan luaran (ekstrinsik).

Penuaan dalaman merangkumi faktor seperti genetik dan hormon, manakala penuaan luaran berkait rapat dengan persekitaran serta gaya hidup seseorang.

Dari aspek dalaman, genetik memainkan peranan utama kerana ia ditentukan oleh DNA seseorang.

Individu yang mewarisi genetik keluarga yang kelihatan muda berkemungkinan turut mengekalkan ciri tersebut. Selain itu, hormon juga mempengaruhi kadar penuaan seseorang.

“Genetik dan hormon adalah antara faktor dalaman utama yang menentukan sama ada seseorang itu cepat atau lambat menua,” katanya.

Namun begitu, faktor luaran lebih dominan dalam mempercepatkan proses penuaan.

Antara faktor utama ialah pendedahan berlebihan kepada cahaya matahari, pemakanan tidak sihat, gaya hidup, kurang tidur dan tekanan. Semua faktor ini boleh mempercepatkan proses penuaan jika tidak dikawal.

Menurut kajian, hanya sekitar 20 hingga 30 peratus penuaan dipengaruhi oleh genetik, manakala 70 hingga 80 peratus lagi dipengaruhi oleh persekitaran dan gaya hidup.

Proses penuaan sebenarnya sudah bermula sejak lahir apabila telomer pada DNA semakin memendek dan penghasilan kolagen mula berkurang.

Katanya, perubahan lebih ketara biasanya mula berlaku sekitar usia 20 tahun apabila pemendekan telomer bermula secara lebih aktif dan penghasilan kolagen mula menurun. Kolagen ini berfungsi seperti ‘spring’ yang mengekalkan keanjalan kulit.

“Bila umur 20 tahun, kolagen sudah mula berkurang sekitar 10 hingga 15 peratus setiap tahun,” jelasnya.

Asas penjagaan kulit

Dr. Hamidah berkata, rutin asas yang paling penting untuk melambatkan proses penuan ialah penggunaan pelindung matahari.

Selain itu, pelembap yang sesuai dengan jenis kulit, mencuci muka dengan betul, tidur yang mencukupi serta pemakanan sihat turut memainkan peranan penting dalam mengekalkan kulit sihat.

Penjagaan gaya hidup secara keseluruan lebih memberi kesan berbanding hanya bergantung kepada produk kecantikan semata-mata.

Mengulas tentang kolagen, ianya berfungsi memberi keanjalan kepada kulit seperti ‘spring’. Apabila kolagen berkurang, kulit akan menjadi kendur, kusam dan muncul garis halus.

Beliau turut menambah, penggunaan suplemen kolagen di pasaran tidak semestinya berkesan kerana kolagen akan diuraikan oleh asid dalam perut sebelum diserap sepenuhnya. Selain itu, kebanyakan minuman kolagen juga mengandungi gula tinggi.

Namun terdapat jenis tertentu seperti hydrolyzed peptide collagen yang lebih baik, tetapi tidak sesuai untuk semua individu bergantung kepada keadaan kesihatan.

“Bukan semua orang sesuai ambil minuman kolagen, perlu lihat keadaan badan juga,” katanya.

Sebagai langkah alternatif, sumber terbaik untuk mengekalkan kolagen adalah melalui pemakanan sihat seperti vitamin C, vitamin E, ikan yang mengandungi omega-3 seperti salmon atau ikan tempatan, tomato yang mengandungi lycopene serta pengambilan air yang mencukupi.

“Yang paling penting sebenarnya ialah makanan sihat, air yang cukup dan mengambil makanan semula jadi,” katanya.

Kesilapan biasa

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan kesilapan paling biasa yang mempercepatkan penuaan ialah tidak menggunakan pelindung matahari dengan betul, sama ada tidak memakai langsung, tidak menyapu semula atau memakai dalam jumlah yang tidak mencukupi.

Selain itu, kurang tidur, merokok atau vaping serta stres turut menjadi faktor utama yang mempercepatkan penuaan kerana ia merosakkan kolagen dan DNA.

Rawatan

Terdapat rawatan seperti stem cell dan peptide yang boleh membantu dalam sesetengah kes, walaupun tidak sesuai untuk semua individu dan tinggi.

Rawatan moden seperti laser rejuvenation, micro-needling dan skin booster (hyaluronic acid) boleh membantu merangsang kolagen dan memperbaiki kulit dengan kos yang lebih mampu milik berbanding rawatan lain.

Penjagaan kulit sebenarnya sangat mudah dan tidak memerlukan rutin yang rumit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN