Mengunjungi Skyline Luge Kuala Lumpur baru-baru ini benar-benar memberikan satu pengalaman bukan sekadar menyeronokkan, tetapi juga penuh dengan detik mendebarkan yang sukar dilupakan.
Setibanya di sana, suasana meriah dengan gelagat pengunjung dari pelbagai peringkat umur yang tidak sabar untuk mencuba setiap tarikan yang ditawarkan.
Kami memulakan pengembaraan dengan menaiki Skyride menerusi chairlift yang boleh diduduki empat orang dewasa, satu pengalaman santai yang secara perlahan-lahan membawa kami ke puncak sambil menikmati panorama sekeliling.
Dari atas, pemandangan kehijauan memberikan ketenangan, seolah-olah menjadi ‘pembuka tirai’ yang sempurna sebelum aktiviti lebih mencabar bermula.
Sebaik tiba di puncak, keseronokan mula memuncak apabila kami bersedia untuk mencuba perlumbaan luge yang menjadi tarikan utama di sini.
Luge merupakan satu permainan unik berasaskan graviti yang memberikan kawalan penuh kepada penunggang untuk menentukan kelajuan dan pergerakan sepanjang laluan.

Ia membolehkan peserta meluncur di trek berliku, mengharungi selekoh tajam, serta memecut melalui terowong yang mengujakan mengikut rentak sendiri.
Pengalaman ini sesuai untuk semua, sama ada bersama keluarga, rakan-rakan mahupun pencari adrenalin, malah tetap menyeronokkan untuk pengunjung kali pertama.
Asalnya dari New Zealand, Luge diperkenalkan sejak tahun 1985 dan kini berjaya menawan hati jutaan pengunjung di pelbagai lokasi dunia.
Daripada New Zealand hingga ke Kanada, Korea Selatan, Singapura dan kini Malaysia, tarikan ini terus menjadi pilihan utama pencinta aktiviti luar.
Direka dan dihasilkan di New Zealand, kereta Luge ini memberikan kawalan sepenuhnya kepada penunggang untuk menikmati setiap selekoh trek yang direka khas.
Malah, ia juga sesuai untuk pelbagai peringkat umur, dengan kanak-kanak seawal usia dua tahun dengan ketinggian melebihi 85 sentimeter boleh turut serta bersama orang dewasa.
Dengan taklimat ringkas diberikan, kami mula meluncur di trek yang berliku, mengawal kelajuan mengikut keselesaan sendiri sambil sesekali mencabar rakan di sebelah.

Setiap selekoh memberikan pengalaman berbeza, ada yang santai, ada juga yang cukup tajam hingga membuatkan jantung berdegup laju.
Gelak tawa dan sorakan jelas kedengaran, menjadikan suasana lebih hidup dan penuh energi positif.
Namun, keseronokan itu belum sampai ke kemuncaknya kerana cabaran sebenar menanti selepas itu.
Kami seterusnya mencuba Hyfly atau zipline sepanjang 380 meter yang menjanjikan kelajuan sehingga 60 kilometer sejam, sesuatu yang sudah cukup untuk membuatkan sesiapa pun berfikir dua kali.
Sebaik sahaja dilepaskan, tubuh terasa meluncur laju di udara, memberikan sensasi kebebasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Lebih mengujakan, zipline ini menawarkan pengalaman unik dengan perubahan arah 180 darjah secara tiba-tiba di tengah perjalanan.
Tidak cukup dengan itu, terdapat juga putaran 720 darjah di udara yang benar-benar membuatkan adrenalin melonjak ke tahap maksimum.
Gabungan elemen ini menjadikan pengalaman tersebut sesuatu yang jarang ditemui, malah dikatakan tidak terdapat di mana-mana lokasi lain di Asia.
Ketika berada di tengah laluan, perasaan antara takut dan seronok bercampur menjadi satu, namun itulah yang menjadikan pengalaman ini begitu istimewa.
Sebaik sahaja kaki kembali mencecah platform, kami menyangka cabaran sudah berakhir – rupa-rupanya tidak.
Pengunjung turut diberi peluang mencuba aktiviti free fall yang menjadi penutup kepada pengalaman ekstrem ini.
Dalam sekelip mata, tubuh dilepaskan jatuh secara bebas dalam keadaan terkawal, memberikan satu lagi lonjakan adrenalin yang sukar dilupakan.
Walaupun hanya beberapa saat, detik tersebut cukup membuatkan jantung berdegup kencang dan kaki terasa sedikit menggigil.
Bagi memastikan keselamatan semua peserta, terdapat beberapa syarat penting yang perlu dipatuhi sebelum mencuba aktiviti ini.
Antaranya, berat badan bagi Hyfly Zipline mestilah antara 30 kilogram hingga 140 kilogram, manakala untuk free fall jump pula antara 30 kilogram hingga 120 kilogram.
Individu berumur 17 tahun ke bawah wajib ditemani oleh penjaga berusia 18 tahun ke atas sepanjang aktiviti berlangsung.
Pengalaman di Skyline Luge Kuala Lumpur ini merupakan satu pengembaraan menguji keberanian dan meninggalkan kenangan manis.










