Guna terlalu banyak produk boleh rosakkan kulit wajah

Guna terlalu banyak produk boleh rosakkan kulit wajah

Kenali kulit sebelum memilih produk penjagaan kecantikan.-GAMBAR JANAAN AI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGUNAAN produk penjagaan kulit yang berlebihan boleh menjejaskan lapisan pelindung kulit wajah sekali gus menjadikannya lebih mudah mengalami iritasi dan ketidakselesaan.

Trend kecantikan yang semakin dipengaruhi oleh produk tular dan iklan terutamanya di media sosial menyebabkan ramai pengguna tersalah memilih produk sehingga kulit menjadi sensitif dan mula menipis.

Pakar Dermatologi, Dr. Fatin Amira Hazwani Mohamad Yusof berkata, kebanyakan pengguna hari ini membeli produk sematamata kerana trend tanpa memahami kandungan dan fungsi sebenar bahan aktif seperti retinol, alpha hydroxy acid (AHA), butylated hydroxyanisole (BHA), arbutin, kojic acid dan niacinamide.

“Bahan ini direka untuk mencerahkan atau merawat kulit melalui proses pengelupasan, namun penggunaan yang terlalu kerap menyebabkan kulit menjadi semakin nipis serta melemahkan lapisan pelindung kulit,” katanya.

Kesilapan paling biasa dilakukan apabila menggunakan pelbagai produk yang mempunyai fungsi sama.

Misalnya, memakai pencuci muka, toner dan pelembap yang semuanya mengandungi arbutin.

Walaupun bahan itu berfungsi untuk mencerahkan kulit, pemakaian secara bertindih atau berlapis meningkatkan risiko pengelupasan berlebihan, lalu kulit menjadi kering, mengelupas dan mudah merah apabila terdedah kepada haba.

Selain itu, ramai pengguna tidak memahami bahan aktif mempunyai tempoh sesuai penggunaan.

Contohnya, AHA/BHA hanya sesuai digunakan ketika kulit sedang mengalami jerawat atau lebihan minyak.

Namun, apabila jerawat sudah berkurangan, rutin perlu kembali kepada pembersih muka lembut bagi mengelakkan pengelupasan
berlebihan.

Begitu juga retinol yang hanya boleh digunakan pada waktu malam kerana sifatnya yang fotosensitif dan boleh menyebabkan kulit terbakar
apabila terdedah kepada cahaya matahari.

“Dalam banyak kes, individu yang mengalami kulit sensitif akibat kerosakan lapisan pelindung kulit menunjukkan tanda seperti mudah merah, pedih, gatal atau kulit kering dan mengelupas,” katanya.

Tidak kurang juga yang menggunakan produk tidak berdaftar sehingga kulit menjadi terlalu nipis.

Hasilnya, muka lebih cerah berbanding tangan dan cepat bertukar merah apabila berada di tempat yang panas.

KENALI KULIT

Rutin penjagaan kulit yang sihat ialah memahami jenis kulit sendiri sebelum memilih produk.

Skinimalisme ialah konsep menggunakan rutin ringkas dan fokus kepada keperluan sebenar kulit sahaja.

Pengguna disaran bermula dengan tiga langkah asas iaitu pencuci muka lembut, pelembab dan pelindung matahari.

“Skinimalisme bukan bermaksud ‘buang semua produk’, tetapi guna produk yang betul, pada masa yang betul dan dalam jumlah yang
sesuai,” katanya.

Selain itu, rutin kecantikan tidak boleh menghasilkan perubahan drastik dalam masa sehari.

Kulit memerlukan masa dan amalan yang berterusan untuk mendapatkan hasil yang diingini.

“Ramai orang ada tanggapan yang salah terhadap produk kecantikan kerana mengharapkan hasil segera.

“Apabila cuba satu produk, esok mahu nampak perubahan.

“Kulit bukan macam itu. Kalau mahu hasil yang baik, kena faham kulit sendiri, pilih produk yang tepat dan konsisten,” katanya.

Melalui pemahaman yang betul serta penggunaan produk yang minimum tetapi bersasar boleh  membantu menguatkan lapisan pelindung kulit, mengurangkan kerengsaan selain mengekalkan kelembapan kulit wajah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×