Masjid Al-Aqsa kiblat pertama umat Islam

Masjid Al-Aqsa kiblat pertama umat Islam

UMAT Islam wajib berusaha untuk membebaskan tanah air umat Islam di Palestin dengan cara memahami dan mengimani kesucian Masjid Al-Aqsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejarah terus menyingkap perjuangan tanpa noktah oleh pemberani-pemberani yang mempertahankan kesucian dan kemuliaan Masjid Al-Aqsa.

Derita Palestin dan Gaza adalah episod duka yang menjadi natijah kepada ketidakrelaan umat Islam membiarkan Masjid al-Aqsa dijarah penjajah yang sudah terkenal sepanjang zaman sebagai penzalim dan pembunuh.

Apa sangat nilai darah umat Islam di mata golongan radikal Yahudi dibandingkan kebiadaban mereka yang pernah membunuh para rasul sehingga Nabi Zakaria dan Nabi Yahya menjadi sasaran pedang jahat mereka.

Semestinya kisah luka rakyat Palestin yang menjadi wakil tidak rasmi umat Islam dalam meneruskan penentangan terhadap penjajahan Masjid Al-Aqsa dan tanah rakyat Palestin akan terus menjadi episod sedih bagi kita yang berada jauh dari tanah suci Baitulmaqdis.

Sekalipun umat Islam yang berada jauh tidak mampu berjuang dengan senjata, kita tetap wajib berusaha membebaskan tanah air umat Islam di Palestin. Ia dengan cara memahami dan mengimani kesucian Al-Aqsa yang menjadi sebab utama episod lara dan duka ini terus menjadi

kisah nyata yang amat sukar diterima oleh atma.

Inilah yang sering dipesan oleh al-Syeikh Usamah bin Badi‘ Sa‘idan al-Filastiniyy al-Shamiyy al-Ash‘ariyy menerusi huraian terhadap karya beliau, 40 Hadis Yang Berkaitan Dengan Baitul Maqdis.

KIBLAT PERTAMA ISLAM
Syeikh Usamah bin Badi‘ Sa‘idan al-Filastiniyy membawa hadis pertama menyerlahkan keagungan Al-Aqsa dengan mengetengahkan hakikat kiblat pertama umat Islam.

Beliau ingin menjelaskan wajib memuliakan dan mempertahankan Al-Aqsa seperti memuliakan kaabah kerana kedua-dua masjid ini adalah kiblat solat umat Islam.

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal seperti berikut: (Saidina Abdulloh) ‘Abbas – semoga Allah meredai mereka berdua, telah berkata: Rasulullah SAW satu ketika dahulu melaksanakan solat ketika baginda di Mekah (dengan menghadap) ke arah Baitul Maqdis dalam keadaan Kaabah berada di depan baginda.

Selepas baginda berhijrah ke al-Madinah (dan telah berada di sana selama) enam belas bulan, (kiblat masih lagi Baitul Maqdis). Kemudian (barulah kiblat solat) baginda diubah ke kaabah”.

Syeikh Usamah turut membawa beberapa gabungan hadis daripada Sahih al-Bukhari seperti berikut: (Saidina) al-Baro’ bin ‘Azib berkata: Nabi SAW ketika awal menjejakkan kaki ke Madinah telah melaksanakan solat ke arah Baitulmaqdis (selama) 16 bulan ataupun 17 bulan dalam

keadaan bahawa yang (lebih) menggembirakan baginda adalah kiblat (solat) baginda adalah ke arah Baitullah.

Lalu, Allah SWT menurunkan wahyu yang bermaksud: Kerap kali Kami melihat dikau(wahai Nabi Muhammad) berulang-ulang menengadah wajah anda ke langit (al-Baqarah: 144). Lantas, baginda pun menghadap ke arah Kaabah. Lalu berkatalah orang-orang bodoh iaitu orang-orang Yahudi: Apakah (sebab) yang telah mengalihkan mereka daripada kiblat mereka yang mereka telah mengadapnya selama ini? Katakanlah (kepada mereka wahai Nabi Muhammad): Milik Allah sahajalah timur dan barat. Dia memberikan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke arah jalan yang lurus”. (al-Baqaraĥ: 142]

Sesungguhnya baginda SAW (selepas turun ayat tersebut) melaksanakan solat yang pertama (menghadap kaabah] iaitu solat Asar dalam keadaan sekumpulan (sahabat turut) solat bersama baginda.

Maka, (selesai solat), seorang lelaki yang (termasuk dalam kalangan) orang yang melaksanakan solat bersama baginda telah keluar. Lalu, beliau melalui para jemaah sebuah masjid ketika mereka sedang rukuk (di dalam solat berjemaah secara menghadap Baitulmaqdis).

Lantas beliau berkata: “Saya bersaksi dengan (nama) Allah SWT (bahawa) saya benar-benar telah melaksanakan solat bersama Rasulullah SAW (dalam keadaan kami menghadap) ke arah Mekah”. Maka, mereka pun (segera) berpusing sebagaimana mereka (masih lagi di dalam solat namun dengan menghadap pula) ke arah Baitullah.

ALLAH TIDAK SEGERA MENUKAR KIBLAT
Hadis-hadis di atas memberi kesedaran betapa pentingnya Al-Aqsa di sisi agama Islam sehingga masjid agung ini terus menjadi kiblat umat Islam pada peringkat awal dalam jangka masa lama.

Rasulullah SAW dan para sahabat berada di Mekah, kiblat solat mereka adalah Masjid Al-Aqsa sekalipun kaabah adalah rumah Allah SWT yang awal dibina di atas muka bumi.

Firman Allah SWT bermaksud: Sesungguhnya rumah (Allah) yang mula-mula yang telah diletakkan untuk manusia (menghadapnya sewaktu solat) adalah benar-benar yang berada di Bakkah (Mekah) dalam keadaan ia diberkati dan menjadi petunjuk buat seluruh alam. (Ali ‘Imran: 96).

Sekalipun Allah SWT mengetahui betapa Nabi SAW sangat suka sekiranya kiblat solat baginda dan umat Islam ditukar ke kaabah yang pernah menjadi kiblat solat Nabi Ibrahim a.s, Allah SWT tidak terus menukar kiblat solat sebaliknya membiarkan umat Islam menghadap Masjid al-Aqsa dalam tempoh yang lama.

Antara hikmahnya adalah agar Al-Aqsa terus terpahat di dalam hati umat Islam dan terus dimuliakan kerana masjid ini pernah menjadi kiblat solat Rasulullah SAW pada peringkat awal sejarah Islam.

Atas dasar menjunjung perintah Allah SWT yang mewajibkan solat dilaksanakan dengan menghadap Masjid Al-Aqsa, Rasulullah SAW semasa berada di Mekah akan mendirikan solat di Kaabah dengan baginda memilih lokasi di antara Rukun al-Yamani dengan Rukun al-Hajar al-Aswad sebagai solat baginda.

Maka, dengan melaksanakan solat di situ, Rasulullah SAW akan dapat menghadap Al-Aqsa dan dapat juga menghadap ke arah kaabah secara serentak.

Namun setelah baginda berhijrah ke Madinah yang berada di utara Mekah, baginda sudah tidak dapat lagi menghadap ke arah kaabah. Ini kerana Mekah berada di selatan Madinah manakala, Baitulmaqdis pula berada di arah utara Madinah.

JANGKA WAKTU YANG LAMA MENGAKARKAN KEMULIAAN AL-AQSA DI HATI UMAT

Sebagaimana yang disebut oleh sarjana sejarah Islam, solat menjadi ibadah umat Islam di Mekah sejak sebelum peristiwa al-Israk.

Semestinya, solat ketika itu menghadap ke arah Baitul Maqdis yang pernah menjadi kiblat solat para nabi daripada keturunan Bani Israel.

Menurut kajian Syeikh Abdulloh Abu Dzikri di dalam kitabnya, Yawmiyyat al-Siroh alNabawiyyah al-Musharrofah; peristiwa al-Israk berlaku pada malam Sabtu 27 Rejab tahun ketiga sebelum hijrah.

Maka solat fardu lima kali sehari telah dilaksana oleh Rasulullah SAW pada siang Sabtu tersebut iaitu pada 27 Rejab tahun ketiga sebelum hijrah bersamaan 8 Mac tahun 620 masihi.

Solat yang mula-mula dilaksanakan oleh baginda pada hari tersebut dengan kiblatnya adalah Masjid Al-Aqsa adalah solat Zuhur dengan berimamkan malaikat Jibril.

Akhirnya, setelah baginda berhijrah ke Madinah, Allah SWT menukar arah kiblat ke kaabah pada hari Jumaat 15 Syaaban tahun kedua hijrah bersamaan 10 Februari tahun 624 masihi.

Ini bermakna Rasulullah SAW dan kaum muslimin secara pasti telah menghadap ke arah Baitulmaqdis di dalam solat mereka sekitar tiga tahun 10 bulan 17 hari mengikut takwim hijrah.-UTUSAN

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN