Haid lebih tujuh hari perlu pemeriksaan lanjut

Haid lebih tujuh hari perlu pemeriksaan lanjut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seorang wanita berusia 26 tahun, datang berjumpa pakar perbidanan dan sakit puan, kerana merasakan mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan haidnya.

Tempoh lima hari pertama datang bulan kebiasaannya mencabar kerana dia perlu menukar tuala wanita setiap dua jam.

Ia disertai dengan ketulan darah berwarna hitam.

Ibunya menganggap perkara itu sebagai biasa, malah kakaknya juga mengalami haid yang banyak tetapi kembali normal selepas berkahwin.

Namun, rakan wanita itu menasihatkannya supaya berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Pakar perbidanan dan sakit puan, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Premitha Damodaran berkata, setiap wanita perlu tahu perbezaan haid normal dan tidak normal.

Haid normal boleh datang setiap 21 hingga 35 hari.

“Haid normal juga tidak memerlukan anda mengatur hidup contohnya tidak boleh keluar rumah, gagal ke kelas dan sebagainya semata-mata perlu menukar tuala wanita setiap satu atau dua jam.

“Kehidupan sepatutnya berjalan seperti biasa ketika haid,” katanya dalam sesi penerangan mengenai pendarahan haid berlebihan (HMB) sempena Hari Pendarahan Haid Antarabangsa baru-baru ini.

Kira-kira satu daripada tiga wanita dalam usia reproduktif mengalami HMB.

Bilangan itu lebih tinggi dalam kalangan wanita yang melalui peralihan ke menopaus (perimenopaus).

Akibat HMB, 83 peratus wanita mengalami kesukaran menjalankan aktiviti harian, manakala 82 peratus mengakui HMB menjejaskan hubungan dengan suami dan 80 peratus terjejas produktiviti di tempat kerja.

Premitha berkata, wanita sepatutnya menerima darah haid kira-kira lima sudu makan setiap kali haid.

Haid yang banyak memaksa seseorang menukar tuala wanita setiap dua jam dan adakala sehingga perlu memakai dua pad sekali gus.

“Haid yang banyak berlaku apabila ia melebihi tempoh tujuh hari.

“Ini menyebabkan wanita terbabit keletihan dan terganggu selain kehidupan seharian turut berubah.

“Ada yang tidak dapat ke sekolah, terpaksa bekerja dari rumah dan meminta suami bercuti menjaga anak.

“Haid tidak sepatutnya menjejaskan kualiti hidup wanita. Selepas haid, tubuh perlu menggantikan darah yang hilang dalam tempoh beberapa hari. Jika tidak, hemoglobin akan menyusut dan menyebabkan tubuh keletihan, sakit kepala, sakit sendi dan mood berubah,” katanya.

Ujar Premitha, zat besi menurun menjadi punca wanita kerap jatuh sakit, selesema termasuk mengalami jangkitan vagina kronik atau kulat.

Apabila ujian dilakukan, mereka sebenarnya mengalami HMB yang teruk.

Ketumbuhan di dalam rahim boleh menjadi punca HMB.

Ketumbuhan itu mungkin kanser dan bukan kanser.

Selain itu, polip juga boleh tumbuh di dalam rahim yang dikenali sebagai endometriokaviti.

“Wanita yang mengalami HMB, mempunyai ketidakseimbangan hormon estrogen dan progesteron.

“Darah yang terlalu cair juga boleh menyebabkan HMB, rahim besar atau akibat jangkitan.

“Penting untuk doktor mencari punca HMB,bagi mengubah keadaannya menjadi lebih baik.

“Wanita juga perlu memahami, jika mereka tidak sihat, seluruh ahli keluarga juga akan terjejas. Malah turut menggangu rakan sekerja,” katanya.

Dari segi ekonomi, HMB juga menjejaskan kewangan pesakit bagi menampung kos tuala wanita selain kehilangan pendapatan apabila tidak dapat bekerja seperti biasa.

Jenis hormon

Semua wanita mempunyai dua jenis hormon di dalam tubuh iaitu estrogen dan progesteron.

Estrogen akan mengumpul lapisan pada dinding rahim.

Progesterone pula menghentikan fungsi estrogen untuk pengeluaran haid.

“Estrogen lebih tinggi akan menyebabkan lapisan endometrium semakin menebal dan pada masa sama, progesteron tidak cukup menyebabkan pendarahan haid dan tempoh haid lama. Jika tidak berhati-hati, ia secara perlahan-lahan akan menjadi kanser.

“Ketebalan lapisan ini juga kadang-kadang boleh menyebabkan ketumbuhan dalam rahim seperti fibroid. Fibroid biasa berlaku ke atas wanita tetapi biasanya tidak perlu melakukan apa-apa ke atas fibroid melainkan perlu.
“Namun jika fibroid tumbuh di dalam kawasan datangnya haid, ia boleh menyebabkan haid yang banyak. Kadangkala memerlukan pembedahan untuk mengeluarkannya,” katanya.

Semakin berusia, hormon akan berubah dan haid juga berubah. Dalam tempoh itu, wanita boleh mendapat diabetes, tekanan darah tinggi atau hipertensi.

Semua ini perlu diambil kira, tetapi ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja walaupun memiliki indeks jisim tubuh (BMI) sempurna antara 23 hingga 24.

Perubahan hormon juga berlaku apabila wanita mencecah 40, 45 dan 50 iaitu usia perimenopaus apabila lemak mula terkumpul pada abdomen.

Apabila bercakap mengenai hormon, ia berkaitan payudara, rahim dan pundi kencing. Wanita yang mempunyai ahli keluarga dengan kanser payudara, mereka perlu menjaga organ ini.

Penyakit prakanser

Pakar perbidanan & sakit puan, Fakulti Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee berkata, ramai wanita beranggapan HMB normal dan akan berakhir selepas berkahwin atau bersalin.

Sedangkan, ia petanda seseorang mungkin mengalami pra kanser rahim atau endometrial hiperplasia dan boleh berkembang menjadi kanser jika tidak dirawat dengan segera.

“Rahim mempunyai endometrium di mana darah haid dikeluarkan. Estrogen berfungsi memekatkan lapisan endotrium, progesteron pula menghentikannya bila mencukupi.

“Jika seseorang wanita gemuk atau mempunyai faktor risiko lain seperti sindrom polisistik ovari (PCOS) , ia akan menyebabkan lapisan endometrium semakin banyak. Seterusnya ia akan menyebabkan endometrial hiperplasia sebelum menjadi kanser.

“Jumlah penghidap PCOS juga semakin meningkat dengan 40 peratus wanita yang mendapatkan rawatan kesuburan didapati mengalaminya.

“PCOS dicirikan dengan haid yang tidak normal disebabkan hormon tidak seimbang, jerawat kerana hormon testosteron yang tinggi dan ovari mereka mempunyai benjolan-benjolan di dalamnya,” katanya.

Faktor risiko

Mohamad Nasir berkata, faktor risiko endometrial hiperplasia dan kanser endometrium adalah tidak pernah melahirkan anak, datang haid di usia awal atau lewat mengalami menopaus.

Kajian mendapati ketidakseimbangan hormon dan penyakit metabolik seperti obesiti, hipertensi, diabetes boleh mennyebabkan penyakit pada rahim termasuk kanser.

“Endometrial hiperplasia dan kanser endometrium adalah kanser yang berlaku dalam negara membangun. Berbeza dengan kanser serviks berlaku di negara berpendapatan sederhana. Namun, jumlah kes kanser endometrium semakin meningkat.

“Ini menunjukkan ia berkaitan dengan gaya hidup. Kita tidak menjaga pemakanan dan makan terlalu banyak makanan segera,” katanya.

Atypikal hiperplasia adalah endometria hiperplasia jenis ganas, berisiko sebanyak 30 peratus menjadi kanser berbanding jenis tidak ganas iaitu hiperplasia tanpa atypia sekitar lapan hingga 10 peratus.

“Penghidap atypical hiperplasia perlu berhati-hati kerana bila-bila masa ia boleh menjadi kanser. Rawatan menggunakan hormon progesteron yang diberikan secara oral iaitu tablet dalam dos tinggi atau sejenis ubat yang dimasukkan ke dalam rahim untuk berterusan

mengeluarkan progesteron, bagi menghalang menjadi lebih teruk.

“Pesakit masih akan dipantau kerana risikonya masih ada. Pemantauan dibuat melalui imbasan dan mengambil sampel rahim dari semasa ke semasa. Jika semuanya selamat, mereka dibenarkan untuk hamil, “ katanya.

Atypia pula biasanya tidak perlu menjalani pembedahan kecuali ia bertukar menjadi ganas.

Sekiranya selepas diberi rawatan hormon progesteron tetapi masih tidak berkurangan, pembedahan pembuangan keseluruhan rahim akan dilakukan.

Pembedahan membuang rahim biasanya membabitkan wanita berusia 45 tahun ke atas dan sudah mempunyai anak.

Bagi yang berusia 30 tahun ke bawah, ovari dikekalkan supaya estrogen masih ada untuk manfaat tubuh.

“Dahulu kanser rahim dihidapi oleh individu lebih berusia tetapi kini ia turut dialami golongan muda. Agak mustahil untuk membuang rahim pesakit muda. Bagaimanapun, mencegah kanser menjadi keutamaan dan lebih penting.

“Dalam membuat pilihan sama ada perlu membuang atau mengekalkan rahim, kaunseling memainkan peranan untuk membuat perancangan sempurna.

“Bagi wanita yang masih mahukan anak, mereka perlu mengurangkan berat badan jika mengalami obesiti bagi menghilangkan faktor risiko,” katanya.

Tidak semua kes memerlukan pembedahan dan pembuangan rahim.

Rawatan yang baik memberi peluang sembuh sehingga lebih 80 peratus daripada atypikal hiperplasia.

Bagi mereka yang mengalami kanser tahap awal, masih berpeluang sembuh sekurang-kurangnya 40 hingga 80 peratus bergantung kepada keseriusan kanser, tanpa pembedahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×