Rawatan fibroid tanpa pembedahan

Rawatan fibroid tanpa pembedahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bertahun lamanya, Sophia (bukan nama sebenar) mengalami haid teruk dan pendarahan banyak yang menyebabkannya tidak bermaya.

Lebih membimbangkan, keadaan ini turut menjejaskan emosinya.

Di usia 30 tahun, kabinetnya dipenuhi dengan tuala wanita, ubat penahan sakit dan suplemen zat besi, semuanya untuk mengatasi haid yang disangka normal.

Namun, Sophia sebenarnya mengalami menorrhagia dan dysmenorrhea, iaitu keadaan yang menyebabkan pendarahan berlebihan dan kesakitan teruk.

Kehidupan sehariannya sentiasa bergelut dengan kepayahan, berkejar ke bilik airsemasa mesyuarat, membatalkan rancangan dan berbohong tentang perasaan.

Kesakitan yang dialaminya itu sering mengakibatkan dia terbaring di lantai bilik air, mencuba bertahan setiap hari.

Perkara mudah seperti memakai seluar berwarna putih atau tidur nyenyak semalaman hanya sekadar mimpi baginya.

Demikian pengalaman Sophia yang tidak menyedari mengalami masalah berkaitan rahim sehinggalah memberi kesan besar terhadap kehidupannya.

Perunding Pakar Vaskular dan Intervensi Radiologi di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr. Alex Tang Ah Lak berkata, perkara sedemikian biasa berlaku dalam kalangan wanita dengan gejala awal penyakit itu

kebiasaannya disalah tafsir sebagai simptom biasa haid.

“Fibroid dan adenomyosis merupakan keadaan lazim yang kurang disedari oleh ramai wanita. Kesannya boleh dilihat daripada ketidakselesaan biasa sehinggalah gejala yang boleh mengubah kehidupan.

“Satu daripada tiga wanita mengalami fibroid rahim menjelang usia 50 tahun dengan 84 peratus tidak didiagnosis bertahun lamanya. Manakala, seorang daripada sepuluh wanita pula mengalami adenomyosis, namun ia mengambil masa lebih daripada tujuh tahun untuk menerima diagnosis,” katanya.

Ketumbuhan bukan kanser ini terbentuk pada bahagian dinding otot rahim dan sering memberikan kesan yang ketara pada kualiti kehidupan.

Meskipun fibroid dan adenomyosis tidak mengancam nyawa, tetapi boleh mengakibatkan simptom yang mengganggu kehidupan seperti pendarahan haid yang banyak, kesakitan pada pelvis, dyspareunia (sakit semasa hubungan seks), ketidaksuburan dan tekanan pada bahagian organ berhampiran.

Justeru, diagnosis dan rawatan awal penting bagi mengekang perkara-perkara tersebut.

“Apa yang penting adalah mengenali tanda-tanda awal dan mendapatkan nasihat perubatan kerana intervensi segera boleh memberi perubahan yang besar,” katanya.

Mengulas mengenai pilihan rawatan, kata Alex Tang terdapat rawatan embolisasi arteri rahim (UAE) yang dikategori sebagai rawatan invasif minimum.

Sebanyak 90 peratus daripada wanita yang melakukan prosedur itu mampu menjalani kehidupan dengan lebih baik daripada menanggung kesakitan dan pendarahan.

UAE yang juga dikenali sebagai embolisasi fibroid rahim (UFE) adalah prosedur invasif secara minimum yang digunakan untuk merawat fibroid rahim simptomati dengan menghalang bekalan darah mereka.

“Dengan menyekat aliran darah ke fibroid, pada asasnya keadaan ini menyebabkan ia ‘kelaparan’ seterusnya mengecutkan dan mengurangkan gejala dengan ketara.
“Pendekatan ini membolehkan kami merawat fibroid tanpa memerlukan pembedahan besar,” katanya.

Menariknya, ia mula diperkenalkan pada awal 1990-an dan sejak itu ratusan ribu prosedur sudah dijalankan di seluruh dunia yang mengetengahkan kejayaannya dan penerimaan yang semakin meningkat dalam kalangan pesakit dan penyedia penjagaan kesihatan.

Malah, UAE merupakan salah satu prosedur pilihan untuk wanita di negara Barat.

Pada 19 November 2004, Penasihat Keselamatan Amerika Syarikat, Condoleezza Rice antara tokoh terkemuka yang menjalani prosedur UAE bagi ketumbuhan fibroid yang dihidapinya.

Prosedur berkenaan dilakukan dengan bius serta sedasi ringan yang melibatkan insisi kecil di bahagian pangkal paha atau pergelangan tangan.

Melalui insisi ini, kateter kecil (tiub) dimasukkan ke dalam arteri rahim.

Menggunakan teknologi pengimejan sebagai panduan, manik plastik perubatan kecil (agen embolik) dihantar melalui kateter untuk menyekat arteri yang membekalkan fibroid.

“Agen ini bertindak sebagai sasaran rawatan yang menangani fibroid tersebut tanpa menjejaskan tisu sekelilingnya,” jelasnya.

Prosedur berkenaan lazimnya mengambil masa satu hingga dua jam, dan kebanyakan pesakit boleh pulang ke rumah selepas semalaman di hospital.

“Ia ternyata sesuatu yang luar biasa bagaimana satu insisi mudah boleh memberikan perubahan yang begitu besar. Kebanyakan wanita kembali menjalani rutin biasa mereka dalam masa seminggu,” ujarnya.

UAE juga digunakan untuk merawat punca pendarahan rahim yang lain seperti selepas bersalin, pseudoaneurysm rahim, kanser serviks atau kecacatan arteriovenous.

Hasil yang baik juga boleh dicapai dalam merawat adenomyosis yang kebiasaannya diabaikan, iaitu satu keadaan yang sering didiagnosis sebagai fibroid, yang mana lapisan dalam rahim (endometrium) terbentuk ke dalam dinding otot.

Keadaan ini mengakibatkan kesakitan yang teruk, pendarahan yang banyak dan rahim membesar.

Kaedah terbaik bagi UAE adalah menggabungkannya dengan suntikan hormon untuk mendapatkan hasil yang memuaskan dalam kes ini.

Ia merupakan prosedur menyelamatkan nyawa bagi mengawal pendarahan teruk selepas bersalin sekali gus menjaga rahim untuk kehamilan di masa hadapan.

Ramai pesakit menjalani histerektomi caesarean atas sebab di atas, yang ternyata boleh dielakkan.


UAE berbanding kaedah tradisional

Kebanyakan wanita kembali menjalani aktiviti biasa mereka dalam tempoh tujuh hingga 10 hari, berbanding empat hingga enam minggu bagi histerektomi atau myomectomy.

“UAE tidak memerlukan insisi yang besar atau berada di hospital dalam tempoh yang lama. Ia mempunyai risiko jangkitan, kehilangan darah dan parut yang lebih rendah berbanding dengan pembedahan.

Bagi wanita yang mempunyai komitmen terhadap kerjaya, keluarga dan peribadi, tempoh pemulihan yang lebih singkat menerusi prosedur UAE mampu mengubah kehidupan.

“Tempoh pemulihan pula pantas dan memelihara rahim yang penting bagi wanita untuk mengekalkan kesuburan mereka.

“Pesakit sering memberitahu saya betapa leganya mereka dapat kembali menjalani rutin tanpa masa rehat yang panjang selepas pembedahan,” katanya.

Kajian menunjukkan rawatan itu meningkatkan kualiti kehidupan wanita yang mempunyai fibroid dan adenomyosis dengan begitu ketara.

Kira-kira 90 peratus mampu kembali menjalani kehidupan normal selepas menjalani UAE dengan pengurangan dari segi kesakitan, pendarahan dan simptom kencing.

“Kisah kejayaan mereka sememangnya meyakinkan. Wanita yang sebelum ini bergelut dengan simptom yang mematahkan semangat kini mampu menikmati kehidupan semula,” katanya.

Meskipun fibroid adakalanya berulang, kejayaan jangka panjang keseluruhan UAE menjadikannya pilihan rawatan yang dipercayai dan berkesan.

Kadar berulang selepas UAE adalah 10 hingga 15 peratus iaitu jauh lebih rendah daripada 20 hingga 30 peratus kadar berulang selepas myomectomy.

“Malah bagi kes yang memerlukan rawatan tambahan, UAE menyediakan asas yang kukuh untuk menguruskan fibroid dengan berkesan,” ujarnya.

Begitupun, seperti semua prosedur perubatan, ia mempunyai beberapa risiko seperti kesakitan ringan, demam atau loya selepas prosedur, jangkitan jarang berlaku atau perubahan sementara dalam corak kedatangan haid.

“Risiko berkenaan adalah minimum jika dibandingkan dengan kaedah pembedahan tradisional.

“Kami mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan pesakit dan hasil yang optimum,” katanya.

Selepas prosedur, sesetengah pesakit mungkin mengalami kekejangan ringan atau ketidakselesaan selama beberapa hari.

Justeru, amalkan pengambilan makanan berkhasiat serta elakkan aktiviti fizikal sepanjang tempoh pemulihan awal.

Rehat juga sangat penting untuk membantu mempercepatkan proses pemulihan.

Pesakit digalakkan untuk menghadiri temujanji susulan bagi memantau kemajuan dan menangani sebarang kemusykilan.

“Susulan ini penting bagi memastikan fibroid berkenaan terus mengecut dan simptomnya terkawal.”

“Fibroid and adenomyosis tidak perlu mengawal kehidupan anda. Ia bukan sekadar merawat simptom berkenaan tetapi ia tentang memulihkan kualiti hidup dan memperkasa wanita untuk mengawal kesihatan mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN