Rajuk suami perlu dilayan

Rajuk suami perlu dilayan

SITI dan guru lain yang berdepan isu pertukaran berharap perhatian yang sama diberikan terhadap perkara itu agar dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik tanpa tekanan emosi akibat berjauhan dengan keluarga.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Merajuk ibarat asam garam dalam rumah tangga dan kebiasaannya sinonim dengan kaum isteri.

Sebenarnya, sama seperti wanita, lelaki pun ada rajuknya namun sering kali tidak diendahkan kerana status mereka sebagai seorang lelaki.

Bezanya, lelaki kurang menunjukkan reaksi rajuk berbanding wanita yang lebih ekpresif dan terbuka menunjukkan emosi.

Kaunselor Perkahwinan, Fadzli Adziz berkata, lelaki sebenarnya mempunyai rasa sensitif, emosi dan rasa ingin disayangi oleh pasangan.

“Kita tengok hari ini kejadian lelaki merajuk semakin jelas dan semakin ramai dalam keluarga.

“Semua ingat lelaki lebih rasional dan perempuan lebih feminin tetapi banyak kes yang saya jumpa karakter berbeza iaitu suami lebih feminin dan isteri lebih rasional.

“Isteri kena sedar, jangan ingat suami itu lelaki, jadi dia maskulin dan rasional sepanjang masa. Itu tidak realistik kerana mereka juga ada perasaan sama seperti wanita,” jelasnya.

LEBIH BAHAYA

Bahkan, rajuk lelaki lebih berbahaya daripada wanita kerana mereka memendam dan tidak menunjukkan emosi rajuk itu.

Lama-kelamaan ia boleh bertukar menjadi ‘barah’ dalam perhubungan.

Kata Fadzli, apabila lelaki merajuk, mereka gemar menjauhkan diri dan mengambil pendekatan berdiam diri dengan pasangan.

Apabila situasi itu dibiar berpanjangan, lama-kelamaan akan menyebabkan perhubungan menjadi dingin dan bermasalah kerana kurang berkomunikasi.

“Ada kes yang saya kendalikan, sudah berbulan-bulan pasangan ini tidak berkomunikasi dan akhirnya mereka datang untuk dapatkan kaunseling.

“Rupa-rupanya disebabkan oleh si suami merajuk dan menghukum isteri dengan silent treatment. Benda yang paling diinginkan oleh orang yang merajuk adalah dipujuk.

“Jadi, sebagai isteri bagi masa suami bertenang dan selepas itu cubalah pujuk dengan memulakan perbincangan dan jika kesalahan itu berpunca daripada isteri maka isteri mulakan dengan perkataan maaf,” sarannya.

Katanya, rajuk lelaki yang dibiar berpanjangan akan lebih sukar untuk dipujuk dan lama-kelamaan akan menjadi kebiasaan dalam rumah tangga.

Perkara ini sudah tentu akan memberi tekanan kepada isteri dan secara tidak langsung kepada suami dalam perhubungan.

“Ada sesetengah wanita mereka ingin suami memahami mereka dahulu barulah mereka hendak cuba memahami suami.

“Ada juga yang ingin dilayan bak puteri raja tetapi tidak pula melayan suami bak putera raja. Jadi, dalam rumah tangga perlu ada tolak ansur dan saling memahami kerana ada juga lelaki yang sensitif,” jelasnya.

Suami boleh tawar hati, rasa tidak dihargai jika rajuk tidak dipeduli

Rajuk yang sering kali dibiar dan tidak dipeduli berkemungkinan boleh menyebabkan seorang suami tawar hati dengan isteri.

Pakar Terapi Keluarga, Adlil Rajiah Mohd. Nasir berkata, perasaan tawar hati timbul apabila seseorang berulang kali berasa diabaikan, lalu menganggap bahawa pasangan tidak menghargai kehadiran atau perasaannya.

Jika tidak ditangani, ia boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga dalam jangka masa panjang.

“Perkahwinan ialah hubungan dua hala. Dalam melayari bahtera rumah tangga, kedua-duanya saling berperanan untuk memahami dan juga difahami.

“Wanita tidak boleh mengharapkan suami sahaja yang mendengar dan mengalah tanpa berusaha memahami apa yang suami rasakan.

“Seperti mana isteri mahu suami peka terhadap kehendak dan emosinya, suami juga menginginkan benda yang sama. Ia bukan ‘happy wife, happy life’, tapi ‘happy spouse, happy house’,” katanya.

Mengulas mengenai kelakuan rajuk, kata Adlil Rajiah, rajuk adalah reaksi emosi apabila seseorang rasa dilukai, diabaikan atau tidak dipeduli.

Bukan sahaja wanita, lelaki juga tidak terlepas daripada perasaan tersebut.

Sesetengah orang menyangka rajuk ialah tanda manja berlebihan atau cari simpati.

Tapi dalam banyak situasi, rajuk adalah cara individu menyampaikan perasaan kecewa atau tersinggung.

“Apabila lelaki merajuk, mereka sebenarnya memberi isyarat perlukan perhatian dan mahu didengari.

“Melayan rajuk bukan bermaksud tunduk pada setiap kehendak pasangan. Ia lebih kepada memberi ruang, mendengar dan memahami apa yang disampaikan di sebalik rajuk tersebut,” jelasnya.

Setiap manusia tidak kira lelaki atau wanita mempunyai keperluan emosi yang sama iaitu mahu dihargai, didengari, dilihat dan rasa diterima.

Ini merupakan fitrah yang diakui oleh pelbagai kajian psikologi.

Kajian oleh Dr. John Gottman (The Gottman Institute, AS) menunjukkan hubungan yang sihat terbentuk apabila kedua-dua pihak merasai kehadiran dan sumbangan mereka dihargai oleh pasangan.

Maka, apabila lelaki menunjukkan ‘gedik’ atau mengada-ngada, ia adalah isyarat bahawa mereka mahukan perhatian dan pengesahan daripada isteri.

Dalam konteks budaya kita, lelaki sering dilihat perlu kelihatan tegas dan keras.

Namun, di depan pasangan, mereka cenderung jadi diri sebenar.

Jika terasa diabaikan atau tidak difahami, mereka mungkin bertindak seperti anak kecil kerana itu cara paling mudah mengekspresikan ketidakpuasan hati secara emosi.

“Jika isteri membiarkan suami merajuk, suami mungkin rasa disisihkan atau tidak dihormati.

“Suami juga perlu berpada-pada supaya rajuk tidak dijadikan senjata ‘mendiamkan’ isteri.

“Isteri pula kena tahu bila masanya perlu memujuk dan bila perlu tegas. Saling memahami had ini mengelakkan salah guna emosi (emotional manipulation),” jelasnya.

Ditanya tentang perlukah rajuk-merajuk dalam rumah tangga, katanya yang juga penulis keibubapaan, ia adalah fitrah seorang manusia.

“Rajuk itu fitrah, selagi ia tidak digunakan untuk memanipulasi pasangan atau memanjangkan sengketa. Secara lumrahnya, setiap manusia ada masa terasa hati dan memerlukan perhatian istimewa.

“Bagaimanapun, yang penting adalah cara mengurus rajuk itu.

“Biarlah rajuk menjadi titik bermulanya komunikasi yang jujur, bukan sekadar senyap membawa diri dan menunggu pasangan meneka punca tidak puas hati. Rajuk yang diurus dengan baik boleh mendekatkan dan bukan menjarakkan,” jelasnya.

Kesimpulannya, rajuk lelaki bukanlah perkara yang ganjil.

Ia keinginan yang sama seperti wanita iaitu mahu disayangi, difahami dan diberi perhatian.

Apabila suami merajuk, jangan terus melabelnya sebagai manja atau mengada-ngada.

Sebaliknya, cuba selami apa yang sedang dia rasa.

Dalam membina rumah tangga yang harmoni, kedua-dua pihak perlu mengutamakan komunikasi, empati dan saling menghormati.

Oleh itu, rajuk boleh menjadi ruang untuk lebih mendekatkan hubungan suami isteri.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN