KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan keterangannya kepada polis di Bukit Aman hari ini adalah membabitkan dua laporan berasingan termasuk dakwaan rasuah RM9.5 juta yang dikaitkan dengan isu ‘mafia korporat’.
Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) itu berkata, satu daripada siasatan berkenaan adalah berkaitan ucapannya di Selayang pada 20 Oktober lalu.
Menurutnya, siasatan tersebut melibatkan dakwaan RM9.5 juta dan isu ‘mafia korporat’ serta dijalankan di bawah Seksyen 500 dan 505 Kanun Keseksaan.
“Saya disiasat berhubung dua laporan polis yang membabitkan kes-kes berasingan.
“Satu daripadanya berkaitan dengan ucapan di Selayang, seperti yang kita semua sedia maklum, yang membabitkan dakwaan RM9.5 juta dan isu ‘mafia korporat’. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 500 dan 505 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita selepas selesai memberikan keterangan di Bukit Aman.
Rafizi berkata, beliau turut dimaklumkan mengenai satu lagi laporan polis yang dibuat lebih awal pada Mac lalu yang menyentuh dakwaan berkaitan pemilikan saham oleh bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
“Bagaimanapun, apabila saya berada di dalam, saya dimaklumkan terdapat satu lagi laporan polis yang dibuat lebih awal pada bulan Mac yang turut memerlukan siasatan.
“Laporan itu menyentuh isu pemilikan saham oleh Tan Sri Azam Baki,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, siasatan kedua berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, kewujudan dua kes dan siasatan berasingan menyebabkan proses rakaman kenyataannya mengambil masa lebih lama daripada dijangkakan.
“Disebabkan terdapat dua kes dan siasatan yang berasingan, proses itu mengambil masa sedikit lebih lama. Namun, semuanya berjalan lancar seperti biasa,” katanya.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan yang diberikan kepada pihak penyiasat memandangkan siasatan masih berjalan.
Beliau turut memaklumkan kepada pegawai penyiasat bahawa mereka boleh menghubungi peguamnya sekiranya memerlukan penjelasan lanjut.
Ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan kes serangan terhadap anaknya, beliau berkata perkara itu tidak dibangkitkan sepanjang sesi bersama pegawai penyiasat.
Katanya, beliau memilih untuk memberi tumpuan kepada perkara yang sedang disiasat, termasuk dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Ramanan serta isu ‘mafia korporat’.
“Saya hanya menjawab perkara yang sedang disiasat. Saya tidak membawa masuk isu lain,” katanya.
Rafizi berkata, beliau juga tidak mahu menggunakan sesi berkenaan untuk membuat sebarang kenyataan berunsur politik kerana pegawai penyiasat hanya menjalankan tanggungjawab mereka.
Proses siasatan perlu dibiarkan berjalan sehingga kertas siasatan dilengkapkan dan dikemukakan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan seterusnya.
“Biar pegawai penyiasat selesaikan tugas mereka terlebih dahulu. Selepas kertas siasatan lengkap dan diserahkan kepada pendakwa raya, barulah kita lihat bagaimana proses seterusnya,” katanya. –UTUSAN










