Rafizi beri keterangan isu RM9.5 juta, ‘mafia korporat’

Rafizi beri keterangan isu RM9.5 juta, ‘mafia korporat’

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini hadir di Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada Naib Presiden PKR, R. Ramanan serta ucapannya berkaitan isu ‘mafia korporat’.

Pengasas Parti Bersama Malaysia (Bersama) itu tiba kira-kira pukul 10.57 pagi dengan ditemani tiga peguam, Nik Zarith Nik Mustapha, Adi Zulkarnain Zulkafli dan Wan Ahmad Qushairi Adzmi.

Menurut Rafizi, beliau dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung ceramah yang disampaikan di Selayang pada 20 Oktober lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya dipanggil untuk memberi keterangan di bawah Seksyen 500 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan berhubung satu ceramah yang disampaikan di Selayang pada 20 Oktober lalu.

“Notis polis itu menyebut dengan jelas bersabit dakwaan RM9.5 juta yang dituduh diberikan kepada Ramanan dan juga ucapan berkaitan dengan mafia korporat,” katanya ditemui sebelum memasuki Bukit Aman.

Seksyen 500 Kanun Keseksaan adalah berkaitan kesalahan fitnah, manakala Seksyen 505 pula melibatkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat atau kegusaran awam.

Menurut Rafizi, siasatan itu dibuat susulan satu laporan polis yang diterima pada 22 Oktober lalu.

Beliau berkata, akan memberikan kerjasama kepada pihak penyiasat dan menyerahkan kepada polis untuk memaklumkan sebarang perkembangan lanjut selepas keterangannya diambil.

“Saya akan masuk bagi keterangan dan selepas keterangan itu sebarang perkembangan kena tanya polis,” katanya.

Rafizi berkata, beliau tetap hadir memberi keterangan hari ini walaupun terpaksa membatalkan acara kempen yang dijadualkan berlangsung di Melaka.

Sebelum ini, Rafizi memaklumkan notis polis yang diterimanya menyatakan siasatan berkaitan beberapa dakwaan yang dibangkitkan dalam ceramah berkenaan, termasuk dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada Ramanan.

Ucapan pada 20 Oktober itu turut menyentuh satu kes mahkamah membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.

Rafizi sebelum ini turut menyamakan siasatan tersebut dengan tindakan undang-undang yang pernah dihadapinya selepas membangkitkan isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Tabung Haji, Felda dan National Feedlot Corporation (NFC).

Selain itu, beliau juga sebelum ini mendakwa kerajaan cuba mengugutnya melalui siasatan berkenaan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini