Dakwaan hidung bertukar mancung selepas menjalani pembedahan resdung sering kali menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang ramai.
Persoalan itu terjawab apabila Pensyarah Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Hardip Singh Gendeh menjelaskan yang prosedur tersebut sama sekali tidak membabitkan pengubahsuaian bentuk hidung seseorang.
Hal itu kerana pembedahan resdung dijalankan secara endoskopik apabila kamera dan tiub dimasukkan ke dalam hidung dengan membabitkan bahagian dalam sahaja.
Justeru, tiada sebarang parut ditinggalkan sama ada di luar mahupun berlaku perubahan pada wajah seseorang.
Katanya, pembedahan itu bertujuan untuk membuang polip dan membuka saluran pada sinus sahaja.
Polip adalah bengkak pada mukosa di bahagian dalam hidung yang berpanjangan.
Bengkak itu akan mengumpul air dan membesar seperti buah anggur hingga menyebabkan hidung seseorang sentiasa tersumbat serta kurang deria bau.
“Polip boleh menyebabkan pengudaraan dan pengaliran lendir daripada rongga sinus terjejas di samping mengundang sakit pada muka atau dahi.
“Kebiasaannya polip berwarna kekuningan dan kadangkala disalah tafsir sebagai tumor pada hidung.
“Polip kerap berlaku pada kedua-dua belah hidung dan jarang sekali membabitkan satu bahagian sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang juga Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) berkata, pesakit perlu dirujuk kepada doktor pakar untuk membolehkan pemeriksaan endoskopi atau teropong hidung dibuat bagi melihat bahagian dalam hidung serta mengenal pasti sama ada polip itu besar atau kecil.
Secara amnya, jika pesakit mempunyai masalah polip, perubatan farmakologi akan diberikan kepada pesakit terlebih dahulu.
Ia merangkumi ubat cuci hidung dengan menggunakan air garam, ubat antihistamin atau selesema untuk mengurangkan lendir dalam hidung.
Selain itu, pesakit juga dibekalkan dengan ubat sembur hidung jenis steroid dan antibiotik untuk membantu mengurangkan saiz polip.
“Jika rawatan ubat tidak membantu mengurangkan gejala dan saiz polip, maka doktor boleh menawarkan pembedahan hidung yang dipanggil pembedahan endoskopik hidung secara fungsi.
“Pembedahan ini menggunakan alat teropong hidung dan bertujuan untuk membuang polip dalam hidung.
“Pembedahan resdung bertujuan untuk menambah baik pengudaraan sinus sekali gus membantu mengurangkan risiko polip,” katanya.
Jenis resdung
Dr. Hardip berkata, resdung boleh dibahagikan kepada akut (kurang daripada tiga bulan) dan kronik (lebih daripada tiga bulan).
Katanya, resdung akut berpunca akibat jangkitan virus atau bakteria contohnya Covid19, rhinovirus dan lain-lain.
Gejalanya adalah sakit pada sebelah muka, lendir berwarna kuning kehijauan (berbau busuk) serta demam diikuti gatal pada hidung dan mata, hidung tersumbat sementara dan bersin pada waktu pagi dengan lendir jernih.
Seseorang yang sihat boleh mendapat batuk dan selsema bersama resdung akut kira-kira dua atau tiga kali setahun.
“Jika resdung akut tidak dirawat dan dibiarkan, kadangkala ia boleh menyebabkan komplikasi pada mata kanan atau kiri, otak dan tulang kerana struktur-struktur ini terletak berhampiran dengan rongga hidung dan sinus,” katanya.
Resdung kronik pula boleh terjadi dengan atau tanpa polip diikuti gejala seperti hidung tersumbat, kurang deria bau dan batuk-batuk.
Kata Dr. Hardip, polip menyebabkan sinus tersumbat dan mengumpul lendir seterusnya menyebabkan sakit-sakit pada bahagian pipi serta di antara mata dan pada pertengahan kepala.

Kesakitan ini berbeza dengan masalah migrain, bahkan kadangkala pesakit akan berdepan sakit gigi kerana saraf pada gigi geraham terletak berdekatan dengan sinus di pipi.
“Hidung tersumbat berlaku disebabkan polip membesar sehingga sampai ke lantai hidung dan menyebabkan salah satu atau kedua-dua hidung sentiasa tersumbat.
“Apatah lagi kalau pesakit itu mempunyai masalah anatomi pada bahagian dalam hidung yang kurang sempurna seperti hidung bengkok yang boleh menyumbang kepada gejala hidung tersumbat.
“Saraf bau terletak pada dasar otak bahagian depan hidung kita. Apabila polip membesar, ia akan menghalang pengaliran angin ke dalam hidung sekaligus mengurangkan deria bau,” katanya.
Jelasnya, polip akan menyebabkan sinus tersumbat dan mengumpul lendir seterusnya menyebabkan sakit-sakit pada bahagian pipi, depan kepala, di antara mata dan pada pertengahan kepala.
Kesakitan ini berbeza dengan masalah migrain. Kadangkala pesakit akan merasa gigi mereka sakit kerana saraf pada gigi geraham terletak berdekatan dengan sinus di pipi.

Mitos ‘ulat’ dalam muka
Yang terkumpul pada bahagian sinus adalah lendir pekat dan tebal. Kadangkala lendir sedemikian dipanggil ulat atau cendol.
Dr. Hardip menegaskan, tiada ulat yang keluar daripada pipi kerana kulit bahagian itu terpisah daripada rongga hidung oleh tulang pipi.
“Sekiranya terdapat ulat, maka ulat tersebut adalah hasil daripada pembiakan larva lalat yang perlu dikeluarkan daripada bahagian dalam rongga hidung dan bukannya daripada pipi.
“Ada juga dakwaan resdung menyebabkan jerawat, namun, hakikatnya ia jarang menyebabkan jerawat kerana masalah kulit berkaitan dengan rongga dan akar rambut.
“Jika terdapat komplikasi daripada resdung, kuman boleh melepasi tulang dan menjangkiti kulit. Jangkitan pada kulit ternyata sebagai radang atau kemerahan kulit,” katanya.










