Kerap batuk gejala awal penyakit paru-paru

Kerap batuk gejala awal penyakit paru-paru

Ahmad izuanuddin Ismail (dua dari kanan) semasa forum sempena Hari Penyakit Paru-Paru Obstruktif Kronik Sedunia (COPD) baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyakit Paru-Paru Obstruktif kronik (COPD) dengan gejala sukar bernafas atau mengah, sering disalahfaham sebagai masalah penuaan dan tidak serius.
Ini berpunca daripada tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan masyarakat dan kaedah mengesan COPD yang lemah, menyebabkan penyakit ini sering lewat dikesan dan sukar dirawat.

Kajian menunjukkan satu daripada lima orang meninggal dunia dalam tempoh setahun selepas kemasukan pertama mereka ke hospital disebabkan penyakit COPD. Kelaziman COPD dalam kalangan orang dewasa adalah sebanyak 6.5 peratus.

Pakar Perunding Pulmonologi, Timbalan Pengarah (Klinikal), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Ahmad Izuanuddin Ismail berkata, COPD adalah penyakit lazim yang boleh dicegah dan dirawat tetapi ia juga boleh mengancam nyawa, terutama jika tidak dirawat dan diuruskan dengan optimum.

“Walaupun COPD tidak boleh sembuh, namun amat penting untuk membantu memperbaiki gejala dan mengurangkan serangan.

“Antara tanda amaran awal serangan COPD termasuklah batuk yang semakin kerap, pertambahan atau perubahan pada kahak, dan kesesakan nafas yang lebih teruk dengan aktiviti yang sama atau kurang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum sempena Hari Penyakit Paru-Paru Obstruktif Kronik Sedunia (COPD) yang dianjurkan oleh Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia dengan sokongan AstraZeneca Malaysia, baru-baru ini.

Panel lain adalah Perunding Kanan Respiratori, Ketua Subkepakaran Respiratori, Kementerian Kesihatan Malaysia,Datuk Dr. Mat Zuki Mat Jaeb, Perunding Perubatan Keluarga, Ketua Klinik Kesihatan Simpang Kuala, Dr. Sri Wahyu Taher dan Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Tindakan Ke atas Merokok dan Kesihatan, Dr. Murallitharan Munisamy.

Berdasarkan kajian yang dilakukan di tiga hospital besar di Malaysia dari Januari 2018 hingga Disember 2022, tahap kesihatan bagi 49.59 peratus pesakit COPD bertambah buruk dalam tempoh enam tahun selepas dikesan.

Pada 2022, penyakit kronik saluran pernafasan bawah adalah punca utama kematian ke tujuh di Malaysia, dengan COPD menyumbang kira-kira 2,270 kematian.

Pada 2019, kira-kira 391.9 juta orang di seluruh dunia menghidap COPD dan adalah punca kematian yang ketiga tertinggi di antara 3.23 juta kematian. Dianggarkan lebih kurang 70 peratus pesakit COPD masih belum didiagnosis.

SERANGAN COPD

Tambah Dr. Mat Zuki, serangan COPD boleh berlanjutan selama dua hari atau lebih dan berbeza antara individu.

Satu serangan akut boleh menyebabkan peningkatan ketara dalam kadar penurunan fungsi paru-paru.

“COPD memberi impak besar yang menjejaskan kualiti hidup pesakit. Ia boleh menyekat kebebasan, interaksi sosial dan juga kehidupan profesional pesakit.

“Bagi setiap seorang perokok, mereka berisiko sama ada untuk menghidap COPD atau serangan jantung. Namun, kebanyakan orang merasakan gejala yang dialami adalah berpunca daripada usia yang tua, “ katanya.

Katanya, COPD bukan saja dialami oleh perokok tetapi mereka yang menghidu asap rokok turut berdepan berisiko mengalaminya.

Wanita yang terdedah kepada asap ketika memasak makanan yang dibakar dengan kayu arang seperti kuih akok juga berisiko mengalami COPD. Terhidu asap daripada sampah yang dibakar dan pencemaran udara lain juga boleh menjadi punca COPD.

Dana Perkeso, KWSP rawat COPD

Dr. Murallitharan Munisamy berkata, tingkah laku orang ramai dan jurang besar dalam memahami penyakit adalah cabaran utama.

“Ramai beranggapan COPD bukan penyakit serius kerana gejalanya yang sangat rumit. Selagi mereka boleh bernafas, selagi itu tiada masalah bagi mereka. Pemikiran ini perlu diubah.

“Mengesan COPD juga adalah satu cabaran. kita tidak mempunyai peralatan spirometri untuk mengesan penyakit ini dan sebagainya. Tambahan pula proses penerimaan yang lama untuk mengakui ada yang tidak kena dengan mereka, “ katanya.

Selain itu, akses kepada saringan dan pengesanan awal sangat penting tetapi ramai enggan mengeluarkan kos dan meneruskan pengambilan ubat. Pesakit mengharapkan pihak kerajaan menanggung kos tersebut.

Katanya, perlu ada mekanisme alternatif yang stabil untuk dana ini. Di sinilah letaknya kepentingan insuran kesihatan, Perkeso dan KWSP.

Di negara lain, wang Perkeso digunakan untuk menguruskan penyakit paru-paru. Mungkin negara juga perlu memberi tumpuan kepada dana perlindungan untuk penyakit berkaitan tempat kerja seperti COPD.

TABIAT MEROKOK

Perunding Perubatan Keluarga, Ketua Klinik Kesihatan Simpang Kuala, Dr. Sri Wahyu Taher berkata, mengubah tabiat merokok bukan mudah.

“Bagaimanapun, dalam Penjagaan Perubatan Keluarga, setiap kali pesakit datang ke klinik kesihatan, doktor berpeluang bertanya sama ada mereka merokok dan mahu berhenti merokok?

“Doktor akan merujuk mereka ke klinik berhenti merokok di klinik kesihatan. Jadi, bila semua ini ditanya kepada pesakit tanpa mengambil kira mengapa mereka datang ke klinik, semua orang ada peluang menjalani saringan COPD,” katanya.

Tambahnya, secara tidak langsung dapat mengubah tingkah laku pesakit dan menggalakkan lebih ramai menjalani saringan COPD dan menghentikan tabiat merokok.

Menerusi penambahan peralatan spirometer bagi mengesan COPD, Klinik Kesihatan boleh mengesan dan merawat COPD di peringkat awal.

“Bayaran serendah RM1, orang ramai boleh akses kepada saringan dan rawatan COPD dan NCD lain. Tabiat merokok lazimnya dikaitkan dengan COPD. Kalau tiada gejala, kita beri kaunseling supaya tidak merokok, beri ubat untuk bantu hentikan tabiat ini, “ katanya.

Pesakit dirujuk lewat ke pakar

Perunding Kanan Respiratori dan Ketua Subkepakaran, Datuk Dr. Mat Zuki Mat Jaeb berkata, ramai pesakit dirujuk lewat ke pakar respiratori dan lebih malang sudah berada di peringkat yang teruk.

“Antara sebab pesakit tidak faham dengan risiko COPD kerana istilahnya yang panjang. Bagi mereka ia jauh beza dengan sakit jantung.

“Justeru, amat penting untuk memberikan kesedaran bahawa penyakit ini sangat serius dan boleh menyebabkan kematian. Kalau dapat penyakit ini dalam usia lebih 60 atau 70 tahun, ia boleh menyebabkan kematian, “ katanya.

Oleh itu, langkah pencegahan penting bagi mengelakkan kehilangan fungsi paru-paru. Sebaiknya jalani ujian paru-paru terutama bagi yang merokok atau terdedah dengan asap rokok atau pencemaran udara.

Katanya, kebanyakan orang akan berjumpa doktor umum dahulu. Persoalannya, bagaimana mereka jalankan ujian? Bagi menjalankan ujian, perlu ada latihan untuk mengesan pesakit seawal mungkin.

Pada masa yang sama, AstraZeneca juga melancarkan kombinasi ubat sedut tiga-terapi terbaharunya, Breztri Aerosphere® (KKLIU 3320) pulmonari obstruktif kronik (COPD).

Presiden AstraZeneca Malaysia, Vinod Narayanan berkata, beban penyakit COPD di seluruh dunia memberi inspirasi untuk terus meneroka inovasi di dalam sains perubatan.- UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×