Apabila meningkat usia , ramai yang mula kurangkan aktiviti-aktiviti fizikal dan senaman berat. Kebanyakannya berfikir kerana tubuh badan sudah tidak lagi mempunyai kudrat seperti usia muda dan memerlukan rehat daripada aktiviti fizikal.
Sebenarnya, pemikiran tersebut salah sama sekali dan bertentangan dengan amalan hidup sihat terutamanya bagi golongan warga emas.
Malah, ia juga meningkatkan risiko seseorang itu mengalami penyakit berkaitan tulang iaitu osteoporosis dan patah tulang rapuh.
Lebih membimbangkan, kedua-dua kes itu juga semakin menunjukkan peningkatan di negara ini.
Pakar Perubatan Geriatrik dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Osteoporosis Malaysia (MOS), Dr. Terence Ong berkata, gaya hidup sedentari sebenarnya menjejaskan kesihatan.
Gaya hidup sedentari bermaksud duduk atau baring dalam jangka masa yang lama sekali gus menyebabkan seseorang kurang melakukan akitiviti fizikal.
“Kajian menunjukkan bahawa kekurangan aktiviti fizikal meningkatkan risiko diabetes, penyakit jantung, otot lemah dan tulang rapuh.
“Senaman beban berat dan rintangan adalah senaman yang dapat meningkatkan kesihatan, menguatkan otot dan mengekalkan kekuatan tulang.
“Warga emas yang terus kekal aktif adalah lebih sihat dan mempunyai jauh lebih rendah risiko untuk jatuh atau mengalami patah tulang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sejak Malaysia secara rasmi mencapai status negara tua pada tahun 2021, negara kini berdepan dengan jangkaan peningkatan sebanyak 3.5 kali ganda dalam kes patah pinggul antara tahun 2018 dan tahun 2050 iatu peningkatan tertinggi di Asia
Trend membimbangkan ini dijangka akan membebankan sistem penjagaan kesihatan dengan kos yang melebihi RM530 juta menjelang tahun 2050.
Jumlah itu sekali gus menekankan pentingnya langkah pencegahan dan kesedaran awam yang lebih meluas untuk mengurangkan risiko terjadinya penyakit berkaitan tulang pada masa hadapan.
KURANG NUTRISI
Lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah juga antara punca kes patah tulang rapuh dan osteoporosis boleh terjadi.
Tambahan pula, ramai orang yang cuba mengelak cahaya matahari dengan alasan panas dan tidak mahu terlalu terdedah kepada sinaran ultraviolet (UV).
Amalan itu secara tidak langsung menyebabkan tubuh badan seseorang kurang terdedah dengan cahaya matahari yang sebenarnya bagus untuk kesihatan tulang dan tubuh badan secara amnya.
Selain kurang beraktiviti, kekurangan nutrisi terutamanya kalsium dan vitamin D turut menjadi halangan utama kepada kesihatan tulang di negara ini .
Walaupun Malaysia adalah negara tropika dengan cahaya matahari yang melimpah, namun tidak semua berpeluang untuk terdedah dengan cahaya matahari dengan sebaiknya.
“Hingga 90 peratus vitamin D diperoleh daripada pendedahan langsung kepada cahaya matahari pada kulit.
“Pendedahan pada tangan, lengan, kaki dan muka selama 10 hingga 15 minit sehari biasanya sudah mencukupi untuk kebanyakan individu.
“Di Malaysia, sebahagian besar penduduk terutamanya warga emas menghabiskan kebanyakan masa mereka di dalam rumah.
“Warga emas menghasilkan vitamin D yang jauh lebih sedikit berbanding orang yang lebih muda,” jelasnya.
KURANG DIKESAN
Sejak ditubuhkan pada tahun 2020, Bone Health Alliance Malaysia (BHAM) telah memperjuangkan langkah-langkah proaktif seperti saringan kesihatan tulang secara berkala dan perundingan dengan profesional penjagaan kesihatan untuk memperbaiki diagnosis dan rawatan osteoporosis.
Menurut perikatan itu, walaupun osteoporosis sangat meluas namun ia masih kurang didiagnosis di Malaysia.
Puncanya, disebabkan oleh kurang kesedaran, salah faham dan kurang pemahaman mengenai penyakit yang menyumbang kepada keadaan tersebut.
Menurut satu tinjauan yang dijalankan, 96 peratus responden tidak menyedari faktor risiko yang berkaitan dengan osteoporosis.
Selain itu, selepas mengalami patah tulang rapuh, 80 peratus pesakit masih belum didiagnosis atau dirawat untuk osteoporosis, yang menyebabkan risiko tinggi untuk mengalami patah tulang seterusnya dalam dua tahun pertama selepas patah tulang yang pertama.
“Di BHAM, kami menyokong pengesanan awal kesihatan tulang yang lemah dengan menjalankan saringan secara berkala untuk mengelakkan patah tulang daripada berlaku.
“Persatuan Osteoporosis Malaysia mengesyorkan penilaian kesihatan tulang secara formal untuk wanita pasca menopaus dan mereka yang mempunyai faktor risiko untuk kesihatan tulang yang lemah.
“Misalnya, individu yang mempunyai sejarah merokok, mengambil ubat tertentu seperti steroid atau mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti strok, diabetes dan gangguan hormon. Ini
sering diabaikan,” jelasnya.
SUKAN UNTUK WARGA EMAS
BHAM giat menggalakkan penuaan aktif di kalangan rakyat Malaysia bagi mencegah dan mengurus osteoporosis dengan lebih berkesan.
Justeru, kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjaya mempromosikan program ‘Sukan untuk Warga Emas’ bagi menggalakkan senaman beban berat dan rintangan yang terbukti berkesan dalam mengekalkan kekuatan tulang.
Bagi memudahkan dan menyeronokkan aktiviti senaman, BHAM telah melancarkan satu inisiatif
unik iaitu tarian senaman ‘Say No to Fragile Bones’ selama tiga minit yang direka khusus untuk warga emas.
Tarian ini menggabungkan gerakan regangan, keseimbangan dan mobiliti yang menyasarkan bahagian tubuh yang penting untuk kesihatan tulang.
Koreografi yang dicipta oleh ahli fisioterapi dan Jurulatih Cheerleading Association Malaysia, Yong Leigh Herng, mudah diikuti dan berkesan untuk menjaga kesihatan.
Selebriti, Datuk Jalaluddin Hassan dan Salamiah Hassan antara yang berganding bahu menjayakan tarian senaman tersebut yang meraih hampir 300,000 tontonan dalam talian.
Sebagai pelakon senior, Jalaluddin Hassan masih mengekalkan gaya hidup aktif.
“Di rumah ada taman, jadi saya selalu buat senaman ringkas dengan isteri.
“Saya juga gemar berkebun sebagai satu cara untuk kekal aktif. Walaupun nampak macam kerja mudah, berkebun sebenarnya banyak melibatkan pergerakan seperti membongkok, mencangkung dan mengangkat pasu atau jambangan untuk susun semula.
Aktiviti-aktiviti ini sudah jadi sebahagian daripada rutin harian saya untuk memastikan saya kekal bertenaga dan sihat,” katanya.
Beliau turut menasihatkan rakan sebaya yang lain untuk kekal aktif walaupun dengan senaman ringkas, asalkan dilakukan dengan konsisten.
“Senaman tidak perlu menjadi sesuatu yang membebankan, fokus saja pada aktiviti yang benar-benar anda nikmati.
“Kalau tidak tahu hendak bermula dari mana, kenapa tidak cuba Tarian Senaman ‘Say No to Fragile Bones’ dengan saya? Ia satu cara yang menyeronokkan untuk bergerak, kekal aktif, dan berpeluh sambil berseronok,” kongsinya.










