Mangsa asid perlu rawatan lama untuk pulih

Mangsa asid perlu rawatan lama untuk pulih

asid
Peluang untuk sembuh dan jenis rawatan dijalankan adalah bergantung kepada jenis bahan asid yang digunakan, keparahan kecederaan dan seberapa cepat rawatan diberikan selepas terkena sesuatu asid. - FOTO AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak dapat dibayangkan kesakitan dan kepedihan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa jenayah atau kemalangan akibat simbahan asid.

Lebih memeritkan kehidupan yang dilalui mangsa bakal berubah sepenuhnya daripada segi fizikal dan emosi disebabkan kecederaan dan kecacatan yang kekal seumur hidup.

Kebakaran kimia, adalah satu klasifikasi kebakaran yang berpunca dari pendedahan kepada pelbagai bahan kimia yang boleh didapati di persekitaran tempat kerja mahupun di rumah. Antara bahan ini termasuklah asid atau alkali.

Dr. Mohamad Aizat Rosli

Pakar Bedah Plastik & Rekonstruktif Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan, Dr. Mohamad Aizat Rosli berkata, dalam kebanyakan kes jenayah, antara jenis asid yang bahaya digunakan adalah asid sulfurik, asid hidroklorik, asid nitrik, asid formik dan asid hidrofluorik.

“Semua asid ini mempunyai sifat korosif atau pembakaran yang tinggi dan mampu menyebabkan luka kebakaran yang serius pada permukaan kulit serta kerosakan tisu yang dalam.

“Kebanyakan asid yang berbahaya ini boleh didapati dalam bentuk tulen dengan kepekatan tinggi bagi kegunaan industri seperti pembuatan baja, pigmen pewarna, bahan letupan, proses penapisan petroleum, dan sektor pembinaan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pembelian dan penggunaan asid berkepekatan tinggi dalam kuantiti besar bagi industri biasanya dikawal oleh undang-undang dan memerlukan lesen atau pembelian melalui saluran tertentu untuk mengelakkan penyalahgunaannya.

Tambahnya, ada juga asid yang dijual sebagai komponen dalam produk komersial untuk kegunaan harian rumah seperti bahan pencuci untuk kotoran degil dan boleh membahayakan jika terdedah kepadanya.

Bagaimanapun, beberapa asid ini boleh dibeli secara komersial di pasar raya atau dalam talian seperti asid sulfurik yang sering digunakan dalam bateri kereta dan pembersih saluran sinki yang tersumbat.

Asid hidroklorik yang digunakan dalam produk pembersih tandas dan asid formik yang digunakan oleh penoreh getah untuk proses pembekuan juga merbahaya sekiranya terdedah kepadanya.

Asid-asid ini mudah didapati di kedai perkakas peralatan malah boleh dibeli melalui platfom dalam talian terkenal.

Parut akibat serangan asid kekal seumur hidup. – FOTO AFP

Protien kulit rosak serta-merta

Dr. Mohamad Aizat berkata, kesan kebakaran akibat simbahan asid boleh menyebabkan protein dalam tisu kulit rosak serta-merta apabila asid yang bersifat korosif terkena pada permukaan kulit.

Kerosakan ini berlaku melalui proses denaturasi yang mengubah sifat protein. Biasanya protein yang terdenaturasi tidak dapat dikembalikan lagi kepada bentuk semula.

“Proses ini juga secara saintifiknya disebut sebagai nekrosis koagulatif. Kesan segera termasuk kesakitan teramat sangat, kemerahan, lepuhan dan ulser seperti luka kebakaran di permukaan kulit.

“Sekiranya terhidu, asid ini boleh merosakkan saluran pernafasan, manakala jika tertelan, ia boleh menyebabkan kerosakan serius pada saluran pencernaan. Ia juga boleh menyebabkan kerosakan teruk pada mata hingga menyebabkan buta,” katanya.

Beliau berkata, pendedahan kepada asid ini boleh menyebabkan kecacatan kekal kepada mangsa, bergantung kepada kepekatan asid dan tempoh pendedahan selain pelbagai komplikasi lain.

Pembakaran yang teruk boleh merosakkan lapisan kulit yang dalam, seterusnya menyebabkan parut kekal, kehilangan fungsi anggota, kerosakan mata yang boleh mengakibatkan buta, jangkitan kuman dan dalam kes yang paling buruk, kematian.

Peluang untuk sembuh dan jenis rawatan dijalankan adalah bergantung kepada jenis bahan asid yang digunakan, keparahan kecederaan dan seberapa cepat rawatan diberikan selepas terkena sesuatu asid.

 

Koyak baju mangsa

Sesiapa sahaja pasti akan panik sekiranya melihat kejadian simbahan asid apatah lagi jika mangsa terpaksa bergelut bersendirian dengan kesakitan dialami.

Dr. Mohamad Aizat berkata, bagi mengurangkan tahap kecederaan daripada terus merebak, pertama sekali individu berhampiran perlu mengoyak atau menggunting pakaian dan ditanggalkan secara berhati-hati.

“Tindakan mengoyak atau menggunting pakaian ini perlu dilakukan segera bagi memastikan titisan baki asid disingkirkan tanpa terkena bahagian kulit lain dan mencederakan bahagian terbabit.

“Langkah seterusnya, lalukan kawasan yang terkena asid dengan air mengalir yang banyak. Kita juga perlu pastikan air basuhan tidak melalui kawasan lain kulit yang tidak terkena asid,” katanya.

Beliau juga mengingatkan, sesetengah bahan seperti asid sulfurik adalah bahan yang sangat reaktif kepada air dan mampu menghasilkan haba yang sangat panas sehingga menambahkan lagi tahap kecederaan kepada kulit.

Walaupun asik sulfurik bersifat reaktif kepada air, tetapi jumlah air yang banyak dan berterusan mampu mengurangkan kadar kepekatan asid serta menyerap lebihan haba yang terbentuk akibat asid.

“Tiada ukuran objektif untuk tempoh siraman air yang disyorkan tetapi kebanyakan protokol rawatan pertolongan cemas menyarankan 30 minit sehingga sejam untuk mengembalikan pH kulit kepada neutral,” katanya.

Tambahnya lagi, kecedaraan yang tidak dalam mungkin hanya boleh dirawat dengan cucian luka sahaja.

asid
Kesang jangka panjang akibat serangan asid- FOTO AFP

Buang kulit mati

Dr. Mohamad Aizat berkata, mangsa simbahan asid berpeluang untuk sembuh bergantung kepada tahap kecederaan dialami.

Mangsa akan diberikan rawatan kecemasan disusuli dengan membuang kulit mati dan tampalan graf kulit.

“Luka yang lebih dalam dan besar memerlukan pembedahan untuk membuang kulit mati manakala tampalan graf kulit dapat memendekkan tempoh penyembuhan serta mengurangkan risiko jangkitan kuman.

“Mangsa atau pesakit juga mungkin memerlukan pembedahan susulan bagi memulihkan tisu yang rosak untuk membina semula anggota badan yang terjejas,” katanya.

Pembedahan tambahan juga sering dilakukan selepas pesakit sembuh bagi mengelakkan kecacatan kekal yang berpunca daripada penghasilan parut berlebihan iaitu parut hipertropik dan kontraktur kebakaran.

Tambah Dr. Mohamad Aizat lagi, tempoh pemulihan adalah berbeza bergantung kepada tahap kecederaan parah yang dialami.

Kecederaan ringan mungkin berpeluang pulih dalam beberapa minggu manakala yang teruk mengambil masa lebih lama hingga bertahun untuk pulih sepenuhnya dari segi fungsi dan kosmetik.

“Proses pemulihan juga mungkin membabitkan beberapa sesi pembedahan dan rawatan susulan yang kerap.Kos rawatan bagi warganegara di fasiliti kerajaan tidak tinggi.

“Bagaimanapun, di swasta, kos pembedahan plastik boleh melambung tinggi terutama prosedur yang kompleks dan memerlukan beberapa sesi pembedahan,” katanya.

Kos

Kos itu termasuk bayaran pakar bedah, rawatan hospital, ubat-ubatan dan penjagaan selepas pembedahan.
Pesakit juga perlu menjalani rawatan fisioterapi untuk memulihkan fungsi fizikal, terapi pekerjaan dan kaunseling psikologi.

Selain itu, pemeriksaan berkala oleh pakar bedah plastik adalah penting untuk memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik dari segi fungsi dan kosmetik anggota badan pesakit.

Dr. Mohamad Aizat berkata, masalah yang sering dihadapi oleh mangsa adalah parut yang tinggal dan berlebihan sekali gus memberikan kesan ke atas emosi dan trauma kepada mangsa.

Rawatan parut yang boleh diberikan termasuklah suntikan steroid, laser dan juga pembedahan.

Di Malaysia, data khusus  mengenai bilangan pesakit yang menjalani pembedahan plastik di fasiliti kerajaan dan swasta mungkin tidak mudah didapati.

Pembedahan plastik boleh dilakukan bertujuan untuk mengembalikan fungsi dan kecantikan asal pesakit yang terbabit dengan serangan asid atau kecederaan lain seperti trauma kemalangan dan kebakaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN