Tinggalkan kerjaya selesa untuk buat kek - Utusan Malaysia

Tinggalkan kerjaya selesa untuk buat kek

JUN CHONG memulakan perniagaan di rumah keluarganya yang terletak di Ampang, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIA bukanlah seorang anak yang cemerlang dalam pelajaran. Malah, dia juga sering menjadi kebimbangan orang tuanya mengenai masa depan berbanding empat adik-beradiknya yang lain.

Namun, berbekalkan minat mendalam terhadap dunia bakeri membuatkan pemilik nama Jun Chong,37, tekad untuk membangunkan jenamanya sendiri.

Hari ini, beliau membuktikan minat mampu menjadikan dirinya insan berjaya apabila jenama dibangunkan sejak 2013, Junandus di bawah syarikat Eatnovation Sdn. Bhd. diasaskannya berjaya dikenali ramai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Junandus kini memiliki dua cawangan di ibu kota dan Pulau Pinang.

Membuka cerita, katanya, sebelum terjun ke dalam bidang perniagaan, beliau sudah pun mempunyai kerjaya selesa dalam bidang kewangan di sebuah bank.

Mujurlah beliau mempunyai keputusan yang baik dalam mata pelajaran Matematik membuatkannya diterima bekerja dalam bidang berkenaan, sementelah dirinya juga lepasan dalam jurusan kewangan di Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR).

Bagai­manapun, selepas empat tahun bertahan, jiwanya meronta mahu mengejar cita-cita dalam bidang bakeri.

Minat itu kemungkinan diwarisi daripada bapanya seorang cef.

“Bagaimanapun, kedua orang tua tidak pernah memberi galakan untuk saya terjun ke dalam bidang berkenaan. Malah saya turut dilarang masuk ke dapur sejak kecil.

“Mungkin sebab mereka sudah melalui pengalaman dalam bidang itu yang sangat mencabar sedangkan gaji tidaklah sebagus mana.
“Mereka mahu saya menceburi bidang profesional lain yang lebih selesa,” katanya.

KEK DALAM TALIAN

Sebagai seorang yang berpendirian teguh, Chong tahu apa yang dilakukannya.

Beliau menganggap cita-citanya sebagai satu cabaran buat dirinya yang perlu ditempuhi.

Berbekalkan semangat beliau mengambil keputusan terbesar dalam hidupnya untuk berhenti daripada kerjayanya di bank.

“Saya kemudiaanya bekerja sambilan dengan ibu saudaranya yang mempunyai perniagaan makanan di pusat beli-belah.

“Daripada seseorang yang mempunyai kerjaya profesional dan selesa, saya sanggup menjadi pembancuh kopi dan pencuci pinggan demi secebis pengalaman dalam perniagaan,” katanya.

Pengalaman dilalui, membantunya memulakan perniagaan daripada bawah.

“Tepat sepuluh tahun lalu saya memulakan perniagaan bakeri secara e-dagang. Biarpun pada ketika itu perniagaan kek secara dalam talian agak pelik namun saya tahu ia akan diterima ramai suatu hari nanti kerana ia telahpun digunapakai di negara maju,” jelasnya.

Chong turut memerah otak selama empat bulan untuk membangunkan laman web perniagaannya sendiri memandangkan pada waktu itu dia masih kekurangan modal.

DORONGAN KELUARGA

Benarlah telahannya, dalam masa satu tahun sahaja, beliau tidak cukup tangan untuk menyiapkan tempahan.

Tahun keempat dan seterusnya pula membuktikan impian yang disertakan bersama kerja keras itu mula membuka mata peminat manisan.

Daripada sekadar satu hingga dua tempahan sehari, Junandus kini mampu menyiapkan sekitar sehingga 200 tempahan sehari.

“Saya bermula daripada rumah seorang diri dan kemudiannya apabila tempahan makin banyak ibu dan nenek saya mula membantu.

“Malah, bapa juga sanggup berhenti kerja untuk membantu saya menyiapkan tempahan. Waktu itu saya rasa tekanan juga sebab bapa sanggup ambil risiko demi membantu saya.

“Daripada situ saya tahu saya perlu bekerja keras sehingga berpindah keluar daripada rumah keluarga dan menyewa di sebuah rumah teres untuk proses penghasilan yang lebih banyak,” katanya.

Bapa kepada seorang anak itu juga tidak henti-henti meluahkan rasa syukur dikurniakan keluarga yang menjadi penguat semangat buatnya.
Walaupun mereka kurang bersetuju pada awalnya, namun melihatkan keyakinan dan kesungguhan membangunkan empayar sendiri akhirnya telah mencairkan hati keluarganya.

Atas faktor itu juga dia memilih jenama Junandus yang berasal daripada kata Jun and Us (Jun dan Kami) yang merujuk kepada dirinya dan keluarga yang banyak membantunya merealisasikan impian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini