Setiap kali melihat pengilat kasut berwarna hitam pekat milik suaminya, entah kenapa Mia jadi kecur. Dia mengidam untuk menikmati pengilat kasut!
Mia yang sedang mengandung lima bulan membayangkan keenakan pengilat kasut itu apabila dimasukkan ke dalam mulut. Bau pengilat kasut itu sahaja sudah membuatkan Mia tidak tentu arah.
Mahu sahaja dia ambil pengilat kasut tersebut dan menikmatinya seperti memakan ais krim!
Dia malu untuk memberitahu suaminya mengenai keinginan peliknya yang sudah sekian lama dipendam. Tentu saja suaminya tidak mengizinkan, silap haribulan, Mia dituduh tidak betul pula.
Namun, keinginan tekaknya itu sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi. Mia merancang untuk mendapatkan apa yang diidamkan selama ini.
Pagi itu, sebaik suaminya keluar bekerja, Mia terus meluru ke kabinet kasut. Matanya bersinar ceria sebaik melihat bekas pengilat kasut berwarna hitam itu.
Tanpa membuang masa, dia terus duduk bersila sambil mencium bau pengilat kasut itu. Bagi Mia, aromanya cukup menyelerakan. Jarinya terus mengorek isi pengilat kasut dan dijilat penuh berselera. Mia tersenyum puas, akhirnya dapat apa yang diidamkan.
Pelik tapi benar. Biasanya wanita hamil mengidam makan makanan tertentu, tetapi apabila teringin benda pelik-pelik atau buat benda tidak masuk akal, ia boleh menimbulkan kesan buruk.
Baru-baru ini, ada kes wanita hamil tujuh bulan yang ditangkap kerana merompak di sebuah kedai emas. Wanita berkenaan mengaku di hadapan hakim, mengidam hendak merompak bank.
Terbaharu, dua kanak-kanak meninggal dunia akibat rumah mereka terbakar pada jam tiga pagi. Kanak-kanak berkenaan ditinggalkan berdua oleh ibu bapa mereka yang keluar rumah gara-gara si ibu mengidam mahu makan sesuatu!
Persoalannya, sejauh mana ‘mengidam’ boleh mendorong wanita hamil melakukan perkara tidak masuk akal dan menyusahkan? Adakah ia sekadar dijadikan alasan untuk kepentingan diri atau kerenah mengada-ngada sekadar mencari perhatian?
KESAN PSIKOLOGI
Pegawai Psikologi Kanan, Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, mengidam dalam kalangan ibu hamil adalah perkara normal, tetapi mengidam benda atau perbuatan luar biasa, khususnya yang dilarang berkait rapat dengan perkembangan emosi dan fikiran seseorang.
“Ketika sedang hamil, perasaan dan keinginan yang bercampur ini mengakibatkan fungsi minda juga terarah kepada sesuatu keinginan. Ia hadir menerusi dorongan luaran atau dalaman seseorang. Apa yang dilihat boleh mempengaruhi kehendak seseorang untuk menikmati atau melakukan sesuatu.
“Sekiranya wanita hamil berkeinginan untuk melakukan sesuatu yang esktrem dan tidak normal, mereka perlu dipantau. Ahli keluarga yang terdekat perlu menemani mereka bagi mengelakkan berlakunya hal-hal buruk ke atas diri bakal ibu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau berkata, jika keinginan itu bersifat sementara dan disebabkan emosi yang mudah terusik atau sensitif, itu adalah kesan hormon yang berbeza.
Setakat ini, belum ada fakta sahih boleh mengaitkan mengidam bukan-bukan dengan kemurungan atau sakit mental. Ia bersifat sementara dan selagi tidak memudaratkan diri atau orang lain.
“Ibu hamil perlu mengawal pemikiran dari awal dengan mempunyai hobi atau amalan hidup sihat supaya tidak terlalu mengikut perasaan. Persediaan mental dan fizikal perlu ada bagi mengawal kehendak nafsu, jiwa serta emosi yang tidak seimbang yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan diri.
“Suami pula perlu cuba memenuhi keperluan yang didamkan jika ia tidak menyusahkan. Usah menganggap apa yang diidamkan isteri itu dibuat-buat atau mengada-ngada. Suami perlu sedar dan faham, ia bersifat sementara. Santunilah apa yang sewajarnya. Jika keinginan itu melampau atau di luar keupayaan, terangkan pada isteri dengan baik dan ikhtiar sesuatu yang lain bagi melayan kehendaknya secara baik,” katanya.
Katanya, mengidam dialami mengikut waktu atau dalam tempoh kehamilan yang berbeza oleh seseorang wanita. Bagaimanapun, tidak semua wanita hamil mempunyai keinginan atau mengidam sesuatu.
Menurut Frontiers in Psychology, sekitar 50-90% ibu hamil di Amerika Syarikat memiliki beberapa jenis keinginan makanan khusus selama kehamilan. Kebanyakan mengidam semasa hamil bersifat peribadi, tidak berbahaya dan mungkin meninggalkan memori terindah kepada pasangan.
Mengidam petanda ibu kurang zat, perubahan deria
Sementara itu, Ketua Jabatan Obstetriks dan Ginekologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Habibah Abdul Hamid berkata, punca mengidam masih tidak diketahui tetapi ia mungkin berkaitan dengan perubahan deria rasa.
“Mengidam boleh dicetuskan oleh perubahan deria rasa. Keinginan itu sebenarnya bagi memenuhi keperluan bayi dan bakal ibu. Ia juga dikatakan sebagai petanda menunjukkan wanita berkenaan kekurangan nutrien atau zat makanan.
“Bagaimanapun, ada sesetengah saintis atau penyelidik mengatakan perubahan hormon semasa mengandung turut memberi kesan kepada deria bau. Ini secara tidak langsung memberi kesan dalam pemilihan dan pengambilan makanan tertentu,” katanya.
Katanya mengidam makan benda pelik atau melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan juga mungkin disebabkan faktor perubahan hormon semasa hamil.
Takut bayi meleleh air liur
Dr. Habibah berkata, dakwaan mengatakan bayi yang sentiasa meleleh air liur disebabkan ibu tidak dapat makan apa yang diidamkan semasa hamil tidak benar.
“Ini hanyalah sangkaan tetapi secara saintifik, tidak ada dapatan menunjukkan kesahihan perkara ini. Deria rasa bayi dalam kandungan atau fetus memang bermula dalam awal kandungan mengikut perkembangan.
“Deria rasa fetus menjadi aktif bermula anggaran kandungan 30 minggu di mana pemakanan ibu hamil memberikan perubahan pada komposisi air ketuban dan seterusnya merangsang reseptor deria rasa fetus,” katanya.









