Ditakdirkan panjang usia dan mencecah usia 60 tahun pada tahun 2030, anda mungkin antara berisiko mengalami masalah nyanyuk atau dikenali sebagai demensia.
Ini kerana dalam tempoh lapan tahun saja lagi, negara kita akan menjadi negara tua di mana 15 peratus daripada penduduknya berumur 60 tahun ke atas.
Dengan pertambahan jangka hayat penduduk, negara kita akan ada bilangan warga emas yang tinggi dan oleh itu bilangan pesakit demensia akan bertambah kerana usia tua adalah faktor risiko mendapat demensia.
Pakar Perubatan dan Ketua Unit Geriatrik, Jabatan Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Rizah Mazzuin Razali berkata, usia semasa rujukan untuk pesakit demensia dalam lingkungan 70 hingga 80 tahun.
Bagaimanapun, ada sebilangan pesakit yang lebih muda turut mengalaminya iaitu dalam lingkungan umur 60 hingga 65 tahun.
“Sekiranya seseorang mengalami demensia sebelum menjangkau 65 tahun, mereka didefinisikan sebagai demensia muda,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Demensia muda ialah demensia jenis vaskular yang berpunca daripada penyakit seperti strok yang mungkin menyerang pesakit pada usia muda.
Ia juga boleh diwarisi di mana seseorang berisiko tinggi mengalami demensia sekiranya ada ahli keluarga lain seperti datuk, nenek, ibu atau bapa mengalami demensia sebelum ini.
Bagaimanapun, faktor risiko ini adalah kecil.
Walaupun tidak ada data terperinci tetapi secara amnya, kaum yang paling ramai mendapatkan rawatan demensia adalah Cina dan Melayu.
Bagi tahun 2021, klinik Memori, Geriatrik HKL menerima lebih kurang 6,500 kali lawatan pesakit baharu dan ulangan atau susulan.
Awal & akhir demensia
Dr. Rizah Mazzuin berkata, mereka yang mengalami demensia pada awalnya tidak dapat melakukan aktiviti yang lebih kompleks seperti membeli-belah dan mengeluarkan wang dari mesin ATM.
Pesakit juga sering sesat jalan atau sukar membuat sesuatu keputusan bagi menyelesaikan sesuatu masalah walaupun sebelum ini tidak berdepan sebarang masalah.
Sebagai contoh apabila memasak, masakan mereka selalu masin atau tawar dan memasak masakan yang sama saja.
Apabila demensia menjadi semakin teruk, mereka semakin sukar melakukan aktiviti rutin atau asas seperti memakai baju, mandi dan sebagainya. Mereka juga mula lupa nama ahli keluarga terdekat.
“Pesakit turut mengalami perubahan tingkahlaku seperti kemurungan, suka menyendiri, berjalan-jalan di dalam rumah tanpa tujuan yang boleh menyebabkan mereka jatuh dan cedera.
“Penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi dan diabetes atau sakit jantung dan sebagainya, mungkin sukar dikawal kerana mereka tidak ingat untuk mengambil ubat-ubatan dengan cara yang terurus,” katanya.
Pada peringkat akhir pesakit tidak mampu langsung mengurus diri di mana mereka tidak tahu bercakap atau berkomunikasi, tidak boleh menelan atau bergerak yang mana semua itu boleh menyebabkan komplikasi yang boleh membawa maut.
Tidak boleh sembuh
Demensia tidak dapat disembuhkan tetapi rawatan awal dapat melambatkan proses penyakit menjadi lebih teruk hingga menyebabkan mereka bergantung kepada penjaga sepenuhnya.
Dr. Rizah Mazzuin berkata, rawatan terbahagi kepada rawatan tanpa menggunakan ubat-ubatan dan rawatan menggunakan ubat-ubatan.
“Rawatan tanpa ubat- ubatan adalah modaliti utama rawatan. Cara rawatan ini memerlukan penjaga dan ahli keluarga memahami masalah kognitif dihadapi oleh pesakit demensia,” katanya.
Pesakit terpaksa melakukan beberapa perubahan dalam aktiviti seharian dalam memastikan mereka dapat ‘hidup’ dalam dunia yang mengelirukan dan kadang-kala asing kepada mereka.
Perlu bantuan
Pesakit memerlukan bantuan bersesuaian dengan tahap demensia supaya mereka masih dapat berdikari tetapi pada masa sama, mereka tidak merasakan terlalu sukar untuk melakukan sesuatu aktiviti itu hingga menyebabkan mereka putus asa atau murung.
“Apabila tahap demensia semakin teruk, penjaga perlu memberikan layanan dan perhatian yang lebih kerana pesakit akan lebih berisiko mendapat komplikasi seperti masalah menelan, yang menyebabkan mereka mendapat malnutrisi mahupun jangkitan paru-paru disebabkan aspiration pneumonia atau masalah kudis tekanan sekiranya sudah tidak mampu lagi bergerak.
“Rawatan dengan ubat-ubatan bertujuan untuk melambatkan proses demensia daripada bertambah teruk dengan cepat dan bukan untuk menyembuhkan demensia itu,” katanya.
Ubat-ubatan juga mungkin mampu mengawal tingkahlaku dan memori, tetapi tidak semestinya 100 peratus berkesan. Jenis ubat yang diberikan bergantung kepada jenis dan tahap keterukan.
Selain daripada itu, rawatan untuk penyakit kronik yang dihidapi oleh pesakit seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan sebagainya perlu dirawat dengan optimum.
Mencegah demensia
Demensia boleh dicegah dengan mengawal faktor risiko boleh-ubah iaitu dengan penjagaan kesihatan yang optimum.
Penjagaan kesihatan yang baik, contohnya kawalan tekanan darah, kawalan paras gula bagi pesakit diabetes dan paras kolesterol.
Manakala pemakanan yang sihat dapat memastikan tekanan darah, gula dan lemak dalam darah terkawal.
Makanan termasuk ikan, ayam yang dimasak tanpa menggunakan minyak tidak tepu boleh menyebabkan kandungan lemak tidak sihat di dalam badan.
Sebaliknya sayur-sayuran, kekacang dan buah-buahan dengan kandungan nutrisi seimbang, mengandungi lemak yang baik.
Makanan proses seperti makanan segera yang tinggi lemak dan garam boleh menyebabkan berlakunya penyempitan salur darah yang menyebabkan berlakunya penyakit kardiovaskular yang seterusnya menyebabkan bukan saja sakit jantung, angin ahmar tetapi juga demensia.
Melakukan aktiviti fizikal dan sosial dapat merangsang otak dan menjadikan seseorang itu lebih sihat bukan sahaja dari aspek fizikal malahan dari aspek kognitif dan emosi yang lebih baik.
Ahli keluarga perlu memberikan sokongan kepada pesakit demensia dengan terlebih dahulu memahami apa yang dilalui pesakit demensia iaitu masalah kognitif yang menyebabkan mereka tidak mampu melakukan aktiviti seharian dengan mudah, sempurna dan masalah tingkahlaku yang adakalanya sukar untuk dikawal.
Amnya negara kita memiliki doktor pakar di dalam bidang ini yang dapat memberikan rawatan tetapi masih terhad di hospital pakar tertentu sahaja.
‘Alami demensia sejak lapan tahun lalu’
Azilah Abdullah, 51, berkata ayahnya, Abdullah Md. Derus mengalami demensia sejak lapan tahun lalu.
Abdullah yang berusia 78 tahun, mula-mula dikesan mengalami penyakit itu apabila sering didapati bercakap secara berulang-ulang topik atau isu yang sama.
“Melihat keadaan ayah, saya dan keluarga bercadang untuk bawa ayah ke doktor di klinik kesihatan berhampiran. Kes ayah dirujuk ke hospital dan ayah disahkan mengalami demensia.
“Dalam keluarga kami tidak ada yang mengalami demensia. Jadi, memang agak terkejut dan sedih kerana ayah mengalami penyakit ini,” katanya.
Katanya walaupun secara luaran ayahnya nampak sihat dan seperti orang lain tetapi sebenarnya tingkahlakunya berbeza dengan sebelum ini.
Azila mengakui cabaran dihadapi dalam menjaga pesakit demensia namun semuanya dihadapi dengan penuh kesabaran.
“Memang bukan mudah hendak menjaga pesakit demensia kerana mereka selalu marah-marah dan tidak boleh kawal makan. Dia nak berjalan tapi tak mahu keluar dari kereta.
“Saya bersyukur kerana tinggal berhampiran rumah ibu bapa saya sebab boleh tengok keadaan mereka yang hanya tinggal berdua saja. Adik beradik datang hujung minggu berkumpul dan membawa mereka keluar makan angin,” katanya.










