Kemasukan warga asing secara haram perlu dibanteras kerana ia dikhuatiri boleh mengancam kesihatan dengan membawa masuk agen penyakit yang sudah tiada di negara ini seperti malaria dan untut.
Pendatang tanpa izin (PATI) ini bukan sahaja membawa masuk penyakit yang telah dihapuskan seperti tibi, tetapi boleh membawa masuk penyakit eksotik seperti kala azar (lalat pasir).
Pengarah Institut Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (IRDI), Prof. Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman, berkata di negara ini ada serangga pembawa kala azar dan negara sumber tenaga seperti dari India dan Bangladesh adalah endemik bagi penyakit kala azar, untut dan malaria.
Situasi itu katanya, menyebabkan tidak mustahil untut boleh muncul semula dalam kalangan penduduk tempatan, khususnya di bandar-bandar besar sebab nyamuk pembawa iaitu Culex quenquefaciatus, adalah sangat prevalen di bandar-bandar kita yang sering berhadapan dengan longkang yang tidak diselengara dengan baik dan tersumbat.
“Malah tidak mustahil juga penyakit kala azar menjadi endemik di negara kita. Kala azar atau juga dikenali sebagai Visceral Leishmaniasis adalah sejenis penyakit berjangkit yang mampu membawa maut,” katanya kepada Utusan Malaysia mengulas mengenai penyakit bawaan pekerja asing di negara ini.
Tambah beliau lagi, walaupun pekerja asing yang masuk ke negara ini disaring di bawah Program Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) bagi mendapatkan permit bekerja dan sebelum dibenarkan bekerja di negara ini, tidak semua penyakit disaring.
“Penyakit seperti untut dan kala azar tidak tersenarai dalam senarai ujian saringan. Antara sebabnya ialah kos ujian yang tinggi yang akan membebankan majikan.
“Lantaran itu, penilaian risiko yang lebih rapi dan mantap perlu dilakukan bagi menentukan keperluan melakukan ujian saringan berkenaan. Pekerja asing yang datang bekerja dan belajar serta tinggal untuk tempoh yang lama, wajar menjalani saringan kesihatan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, pendatang asing yang datang sebagai pelancong tidak perlu disaring kerana risiko mereka menularkan penyakit adalah terhad kerana keberadaan mereka yang singkat.
Sukar kawal tibi dalam kalangan warga asing
Umumnya, trend kes tibi di negara ini masih berada pada paras tinggi.
Dr. Lokman Hakim yang juga Profesor Kesihatan Awam, Sekolah Perubatan, International Medical University, Kuala Lumpur berkata, hakikatnya jangkitan tibi dalam kalangan warga asing jauh lebih sukar untuk dikawal menyebabkan ia menyumbang kepada penularan jangkitan kepada rakyat tempatan.
“Pendatang asing menyumbang kepada beban penyakit tibi di negara ini, namun mereka bukanlah punca utama peningkatan kes penyakit itu.
“Bilangan kes dalam kalangan warga asing hanya sekitar 20 hingga 25 peratus sahaja dari keseluruhan kes tibi. Malah, di Sabah sekalipun, di mana isu warga asing adalah besar, namun lebih 71 peratus kes adalah dalam kalangan warga tempatan,” katanya.
Insiden tibi bagi setiap 100,000 penduduk meningkat dengan ketara dari sekitar 68 per 100,000 kepada 94 per 100,000 pada tahun 2016. Selepas itu insiden mendatar di antara 90 hingga 92 per 100,000 penduduk.
Tahun bilangan kes yang dilaporkan menurun sedikit (8%) ke 21,727 berbanding 23,644 pada tahun 2020.
Pada tahun 2019 sebanyak 26,352 kes (kadar 81 insiden bagi setiap 100,000 penduduk) iaitu peningkatan sebanyak dua peratus berbanding 25,837 kes (kadar 79 insiden bagi setiap 100,000 penduduk) pada tahun 2018. Kadar kematian akibat tibi pada tahun 2019 adalah 3.7 bagi setiap 100,000 penduduk.
“Umumnya, bagi tempoh 2020 sehingga 2021, perkhidmatan kesihatan terjejas teruk akibat Covid-19, di mana aktiviti pengesanan, rawatan dan kawalan penyakit berjangkit terhenti atau berkurangan.
“Namun, sama ada ia merupakan penurunan yang sebenar atau artifak akibat pandemik Covid-19, sukar untuk ditentukan,” katanya.
Covid-19 jejas tumpuan tangani tibi
Tumpuan program kawalan tibi terjejas apabila bertukar daripada Program Tibi Kebangsaan yang vertikal (1961) kepada program kawalan yang diintergrasikan dengan perkhidmatan kawalan penyakit yang lain tanpa sumber tambahan.
Dr. Lokman menjelaskan, terdapat aktiviti khusus seperti mikroskopi tibi yang dulunya khusus untuk program tibi sahaja menjadi perkhidmatan guna sama yang sedikit sebanyak menjejaskan tumpuan. Usaha memperberbaiki kelemahan ini mengambil masa yang lama.
“Pengesanan dan rawatan awal penting bagi mengurangkan sumber penyakit untuk disebarkan kepada orang lain. Sebagai contoh, kaedah saringan terbaik bagi mengesan tibi ialah melalui pemeriksaan x-ray dada.
“Di Jepun, van x-ray bergerak adalah strategi utama mereka. Semasa dalam perkhidmatan, saya telah memperkenalkan bas x-ray bergerak di Sabah dan Sarawak tetapi sehingga kini tiada penambahan unit sedemikan di Semenanjung,” katanya.
Katanya peruntukan bagi membeli perkhidmatan x-ray daripada pihak swasta (outsourcing) turut disediakan, namun beliau difahamkan sumber kewangan masih terhad.
Selain itu katanya, rawatan tibi yang memakan masa lama iaitu selama enam bulan, juga satu isu besar.
Akibatnya, ramai yang gagal menyempurnakan rawatan tersebut menyebabkan risiko penularan dan kekebalan kuman tibi terhadap ubat meningkat.
Nyamuk pembawa malaria dan untut masih wujud
BAGI penyakit bawaan vektor seperti malaria dan filariasis limfatik (untut), ia boleh dinyahkan daripada manusia, namun pembawa penyakit seperti nyamuk hampir sukar untuk dibasmikan.
“Ini bermakna, walaupun penyakit malaria atau untut sudah tiada, nyamuk pembawa penyakit masih wujud. Justeru, bagi penyakit sedemikian tiada lagi konsep ‘pembasmian’ kerana secara prinsip adalah mustahil untuk ekologi nyamuk dimusnahkan sepenuhnya.
“Apa yang boleh dicapai ialah menamatkan penularan jangkitan (eliminasi penularan) dengan menghapuskan punca jangkitan (agen penyakit di dalam pesakit). Walaupun nyamuk pembawa masih ada, namun tiada agen penyakit yang boleh ditularkan, oleh itu tiada kejadian penyakit bawaan vektor berkenaan,” katanya.
Katanya, malaria telah menurun dan kini dalam fasa eliminasi iaitu penamatan penularan tempatan.
Namun, impak pandemik Covid masih belum dipastikan. Seperti yang dinyatakan, program pengesanan, rawatan dan kawalan penyakit berjangkit hampir terhenti kerana tumpuan kepada Covid-19.
Manakala, penularan chikungunya pula bermusim dan begitu juga dengan denggi di mana wabak besar denggi datang dalam putaran antaran tiga hingga lima tahun. Kemuncak terakhir adalah pada tahun 2019.
Apa yang lebih utama adalah menjaga sempadan negara daripada dibolosi warga asing dan dasar pendatang asing haram sifar.
Kerajaan dan anggota keselamatan yang mengawasi sempadan harus sedar bahawa isu kebolosan sempadan dan keberadaan warga asing haram adalah isu keselamatan negara.
“Pada saya, musuh negara tidak perlu melabur sistem perisikan canggih seperti satelit dan drone, sebaliknya memadai menghantar warga mereka sebagai pendatang asing haram, satu realiti yang kita hadapi sekarang,” katanya.
‘Proses saringan kesihatan di negara masing-masing dan di negara ini’
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, berkata bagi pekerja asing yang masuk ke negara ini secara sah, mereka perlu menjalani proses saringan kesihatan di negara masing-masing dan di negara ini.
“Apabila mereka memohon untuk masuk ke negara ini untuk bekerja di duta besar negara masing-masing, agen akan memastikan mereka melalui ujian saringan kesihatan. Selepas itu, mereka perlu lagi melalui proses saringan di bawah Fomema.
“Setakat ini, ada beberapa kes tibi dikesan dalam kalangan pekerja asing tetapi keadaan masih terkawal. Bagaimanapun, ini hanya terpakai bagi mereka yang datang secara sah. Negara masih berisiko terdedah kepada penyakit berjangkit ini dan penyakit lain daripada pendatang asing yang masuk melalui lorong tikus,” katanya kepada Utusan Malaysia pada sesi perbincangan mengenai isu pekerja asing di Majlis Profesor Negara, baru-baru ini.
Menurut Fomema, sejak Januari hingga Ogos 2022, seramai 742,461 pekerja asing mendaftar bagi menjalankan saringan kesihatan di negara ini.
Daripada jumlah itu, Bangladesh mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 46 peratus, diikuti dengan Indonesia (19%), Nepal (15%), Myanmar (7%), India (6%) dan baki (7%) terdiri dari negara seperti Pakistan, Filipina, Vietnam, Sri Lanka, Thailand, Kemboja, Laos, Uzbekistan dan Kazakhstan.
Kesimpulannya, kebolosan sempadan negara perlu dikawal ketat kerana pendatang asing yang masuk secara haram boleh membawa agen penyakit yang sudah tiada di negara ini seperti malaria dan untut.









