Kehebatan Melayu hanya tersimpan dalam manuskrip di Eropah - Utusan Malaysia

Kehebatan Melayu hanya tersimpan dalam manuskrip di Eropah

Orang putih bila sampai ke alam Melayu hairan bagaimana kita ada garis panduan dan peranan setiap individu di dalam kapal. – SUMBER INTERNET
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Orang Melayu mulai kehilangan jati diri berikutan ramai yang tidak tahu atau mengenal sejarah kehebatan bangsa sendiri berikutan kurangnya promosi mengenai peradaban Melayu.

Kesannya ramai ‘berkiblatkan’ Barat dalam semua perkara dilakukan, hingga menganggap semua yang datang dari sana dianggap lebih baik dan menjadi lambang kejayaan dalam pelbagai sudut.

Sedangkan ramai tidak sedar, kita adalah antara melting pot yang memiliki tamadun hebat daripada bangsa Melayu, Cina dan India yang sepatutnya membentuk tamadun Malaysia yang lebih hebat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Abdul Muati @Zamri Ahmad berkata, kehebatan yang ada tidak diuar-uarkan, sebaliknya hanya tersimpan dalam manuskrip yang bertebaran di Eropah, terutama di British Library.

“Kita tidak dapat membentuk jati diri seandainya tidak faham sejarah. Tak perlu buktikan kehebatan sejarah tamadun orang Melayu sebab tamadun itu sendiri sudah lama. Tengok contoh di Sungai Batu, Kedah. (berfungsi sebagai peleburan besi, pelabuhan kapal dagangan dan juga pentadbiran pelabuhan kuno).

“Ia bukti nyata yang kita boleh tengok, sentuh dan diterima serta diiktiraf oleh Prof. Stephen Oppenhiemer sebagai tamadun paling awal di Asia Tenggara, 500 tahun Sebelum Masihi iaitu sebelum kelahiran Nabi Isa, kawasan itu sudah ada.

“Tamadun Melayu sebelum kedatangan Islam sudah hebat dan selepas kedatangan Islam bertambah hebat. Apa yang jadi persoalan, kenapa kehebatan ini tidak sampai kepada generasi penerus?,” katanya pada Seminar Hari Malaysia bertajuk Komunikasi Warisan Membentuk Jati Diri Anak Bangsa anjuran Muzium Diraja Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya yang menyedihkan bila maklumat salah mengenai tamadun Melayu yang lebih disebarkan.

Antaranya dakwaan Melaka dulu jatuh kerana orang Melaka hanya menggunakan keris, sedangkan orang Portugis pula mengggunakan senjata.

Berdasarkan catatan penjajah, Alfonso de Alburquerque mengenai Melaka pada perenggan 66, Orang Muslim (orang Melaka) yang mempertahankan bandar Melaka daripada jauh menembak penjajah itu menggunakan musket (senapang).

“Perenggan ke-120 pula menerangkan dalam keadaan kelam-kabut dan peluru meriam yang berterbangan, Antonio de Abreu terkena tembakan musket sehingga hilang beberapa gigi dan rosak tulang belakang. Ini membuktikan orang Melaka ada senjata.

“Senjata Melayu mempunyai beberapa nama seperti meriam, lela, rentaka, istinggar (bedil). Senapang selepas masuknya Sepanyol, mereka panggil snaphon. Cara pembuatan keris seperti melebur, melipat dan membentuk corak pada besi adalah kepandaian yang tidak dikomunikasikan,” katanya.

Melayu katanya, bukan hanya pelayar, malah turut menghasilkan pelbagai buku kanun laut. Orang putih bila sampai ke alam Melayu, mereka hairan bagaimana kita ada garis panduan dan peranan setiap mereka yang di dalam kapal itu.

Mereka hairan dan ambil kanun yang ditulis oleh seorang Bugis, Ahmad Netapa dan mengubah suai menjadi peraturan pelayaran yang diguna pakai sehingga ke hari ini, termasuk kitab Matematik ditulis oleh Haji Omar Nuruddin di Sungai Keladi.

Terus berhutang, rakyat jadi hamba

Pensyarah Kanan/Pakar Penganalisis Ekonomi, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Razman Abdul Latiff, berkata isu kewangan sebenarnya amat penting diberi perhatian dalam membentuk jati diri.

“Sistem perbankan kewangan yang tidak mampan boleh menjejaskan jati diri. Orang yang berhutang, kalau hendak ke keluar negara perlu meminta kebenaran. Individu ini tidak bebas, sebaliknya menjadi hamba kepada pemberi hutang.

“Begitu juga sekiranya sesebuah negara mempunyai hutang yang tinggi, boleh menjadi hamba negara lain. Sebagai contoh, Sri Lanka, meminjam daripada China untuk menyiapkan sebuah pelabuhan untuk kapal berlabuh setiap hari tetapi ia tidak siap.

“Kesannya negara itu terpaksa menanggung hutang yang besar kepada China. Ini menunjukkan sekiranya sesebuah kerajaan berterusan berhutang dengan negara luar, rakyat boleh menjadi hamba,” katanya yang menyentuh topik Kepentingan Reformasi Sistem Monetari Negara.

Merujuk kepada sejarah kemerdekaan, negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi membanggakan. Hutang kerajaan Persekutuan berjumlah RM5 bilion pada 1970. Bayangkan RM5 billion itu mudah dilangsaikan, tetapi sekarang hutang negara menjadi lebih RM1 trillion sejak 50 tahun lalu.

Perpaduan bentuk jati diri

Perpaduan antara pelbagai etnik dan agama di Kuching, Sarawak menjadikan ia terpilih sebagai kota perpaduan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ramai beranggapan perpaduan terbentuk hasil daripada perkahwinan campur, tetapi menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof. Dr. Awang Azman Awang Pawi, ia sudah wujud lebih awal lagi sebelum perkahwinan campur.

“Perpaduan dalam kalangan penduduk Kuching adalah menerusi pengambilan anak angkat sekitar tahun 1930-an, khususnya dalam kalangan etnik Cina. Dulu, Cina ramai anak tetapi kehidupan mereka ketika itu cukup sukar.

“Jadi, mereka berikan anak mereka kepada keluarga angkat, termasuk bangsa Melayu dan etnik lain. Selepas 20 tahun, ekonomi mereka semakin baik dan hubungan yang terpisah selama ini terjalin semula,” katanya yang membentangkan tajuk, Sosiobudaya Kekeluargaan Malaysia: Model Persepaduan Sarawak.

Katanya lagi, proses ini berlaku secara berleluasa dan apabila dewasa, mereka berkahwin campur. Ada antara mereka masih hidup dan ada yang sudah mencecah usia 80 tahun. Secara tidak langsung, mereka mempunyai keluarga berbilang bangsa dan agama.

Walaupun berbilang bangsa dan agama, mereka boleh duduk serumah. Apa yang menyebabkan mereka duduk serumah? Ia kerana mereka saling menghormati antara satu sama lain.
Perpaduan ini membentuk jati diri yang kukuh dalam kalangan penduduk di Kuching yang secara tidak langsung membentuk keharmonian dalam bandar berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini