Sean Lee lebih berhati-hati

Sean Lee lebih berhati-hati

sean lee
Sean Lee
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengalaman dimanipulasi sebuah syarikat produksi yang melanggar persetujuan dengan menipu bayaran membuatkan pelakon, Sean Lee lebih berhati-hati dalam mengatur kerjaya seninya.

Biarpun reda, dia tetap merasa perit. Justeru, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku 3 ini tidak mahu lagi menjadi mangsa.

Kini, empunya nama sebenar Sean Lee Jia Ern lebih berjaga-jaga, enggan pengalaman buruk itu kembali menghantui dirinya.

Dalam wawancara bersama Pancaindera, baru-baru ini, Sean berkongsi cerita pengalaman hitam yang mengubah persepsinya tentang industri seni.

“Saya terkilan. Bayaran yang saya terima tidak seperti yang dipersetujui bersama. Lebih menyedihkan, mereka menafikan perbincangan yang kami adakan sebelum itu.

“Saya kecewa diperlakukan sedemikian. Tetapi, apa kuasa yang saya ada? Melalak dan berkompang tentang apa yang berlaku? Itu bukan saya. Jadi, saya reda dan terima.

“Saya harap pengalaman ini menjadi teladan dan memohon penggiat seni seperti kami tidak diperkotak-katikkan,” luahnya.

Gara-gara kejadian itu, Sean memilih keluarga sendiri sebagai pengurus kerjaya lakonannya. Dia enggan pisang berbuah dua kali.

“Ibu adalah individu yang bertanggungjawab menguruskan kerjaya saya. Dengan adanya dia, saya rasa selesa dan lebih yakin.

“Bukan saya tak mahu melantik orang lain menjadi pengurus. Tetapi, saya kena kenal siapa yang menguruskan saya,” kongsinya.

Hapus jurang pemisah bangsa

Pelakon berusia 28 ini yakin peranan filem dan drama sebagai medium penyatuan bangsa yang ampuh.

Justeru katanya, penggiat seni perlu disatukan dalam sebuah industri yang meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya.

“Ketika mula-mula masuk industri seni, saya bertekad, mahu jadi seorang pelakon ‘Malaysia’. Tetapi, selepas masuk ke dalam industri, saya melihat jurang yang begitu ketara, memecahkan industri mengikut bangsa.

“Contohnya, kalau seorang pelakon itu berlakon drama Melayu, tidak kira bangsa apa sekalipun, pelakon itu akan dikategorikan sebagai pelakon drama Melayu. Ia membuatkan peluang berlakon drama berbahasa lain tertutup.

“Saya harap industri (seni) kita dapat disatukan. Tiada lagi pecahan. Melayu, Cina, India dan bangsa lain. Semua perlu bersatu agar industri kita lebih kukuh dan bergerak maju,” katanya.

Terus melontarkan pandangan, Sean berharap, industri seni dapat disemarakkan dengan kandungan yang lebih bersifat nasional.

Umpama naskhah Allahyarham Yasmin Ahmad yang sentiasa menghidupkan satu Malaysia dalam setiap filem dan iklan dihasilkannya.

“Tidak sukar untuk kita hasilkan drama ‘Malaysia’. Saya tidak selesa dengan kewujudan garis pemisah bangsa. Ia perlu dihapuskan. Naskhah bersifat satu Malaysia juga harus diperbanyakkan.

“Saya mahu melakonkan naskhah yang mencerminkan negara kita yang berbilang bangsa. Saya mahu kita dipandang orang luar sebagai rakyat yang bersatu.

“Jangan hadkan medium penyatuan itu kepada acara seperti perlawanan bola sepak, badminton atau sukan Olimpik semata-mata. Menerusi filem dan drama juga peranannya sama, malah turut berimpak tinggi,” kongsinya.

Enggan jadi pelakon ‘type cast’

Antara soalan yang sering diajukan kepada Sean Lee adalah kenapa dia selalu membawakan watak yang serupa? Tidakkah dia bosan?

“Sebagai pelakon, tentunya saya mahu menjadi versatil. Bagi saya, satu mimpi ngeri apabila seseorang itu gagal keluar dari kepompong stereotaip, terperangkap dengan watak dan lakonan yang sama.

“Saya dahagakan peluang untuk melakonkan watak lain. Bukan tidak ada, tetapi tidak banyak. Sebelum ini, pernah juga saya lakonkan watak lelaki panas baran. Bagi saya, memang mencabar sebab itu bukan saya.

“Saya harap ada penerbit yang sudi tawarkan watak berbeza, sekali gus membolehkan saya menjadi orang lain. Mungkin watak psikotik seperti Ted Bundy, adiwira atau watak yang lebih lasak,” katanya.

Sean juga berharap diberi peluang untuk berlakon filem. Itu menjadi impiannya yang masih belum terlaksana.

“Sudah tujuh tahun saya menjadi pelakon. Peluang berlakon filem masih belum ada. Saya hanya pernah menyumbang khidmat untuk alih suara filem DC league of Super-Pets.

“Saya tidak pasti di mana silapnya. Mungkin saya tidak mempunyai ramai kawan yang merupakan orang filem,” selorohnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN