Pusat serenti ‘neraka’ penagih - Utusan Malaysia

Pusat serenti ‘neraka’ penagih

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pusat serenti dan penjara bukan tempat untuk merawat dan memulihkan masalah penagihan dadah, sebaliknya adalah ‘neraka’ yang memburukkan lagi masalah ketagihan selain menghancurkan peluang untuk sembuh.
Ahli Lembaga Penasihat Kemurungan Rantau Asia Pasifik, Prof. Dr. Mohamad Hussain Habil berkata, lebih menyedihkan strategi ‘zero toleransi’ yang diamalkan selama ini dalam menangani masalah penagihan dadah, kini memberi ‘bahana’ apabila penjara menjadi tempat penyebaran HIV/Aids dalam kalangan penghuninya.
“Rawatan ketagihan perlu dijalankan di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan (KKM) dan bukannya di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti apa yang berlaku kini. Sebenarnya banyak rawatan terkini yang boleh diberikan kepada golongan berkenaan yang mana lebih murah dan berkesan tanpa perlu memenjarakan mereka seperti penjenayah.
“Kebanyakan yang masuk penjara dan pusat serenti adalah pengguna dadah daripada golongan B40. Sudahlah miskin, bila masuk, siapa hendak sara hidup keluarga mereka? Apa yang menyedihkan, ada yang sudah ada kerja, mereka di tangkap di pejabat, ladang-ladang dan dimasukkan ke pusat serenti,” katanya kepada Utusan Malaysia.Beliau ditemui pada forum bertajuk, ‘Sejauh mana keberkesanan pengurangan risiko sebagai satu bentuk rawatan’ sempena Persidangan Perkembangan Metadologi Rawatan Ketagihan (ETMA), baru-baru ini. Forum berkenaan turut disertai oleh Prof. Dr. Sharifa Ezzat Wan Puteh dan Adj. Prof. Prem Kumar Shanmugam.
Dr. Mohamad Hussain berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM380 juta setahun untuk penjarakan mereka sedangkan jumlah itu boleh digunakan untuk bina universiti dan sekolah.
“Kalau nak betul-betul merawat, cara termurah adalah berasaskan komuniti. Kita cadangkan pusat serenti ditukar kepada hospital untuk merawat mereka di samping menjalankan program komuniti. Sehingga kini, tiada pun pusat kaunseling di pusat serenti. Mana pergi peruntukan sebanyak RM380 juta?
“Kos bagi mengendalikan satu pusat serenti adalah lebih kurang RM1 juta dan rawatan pula, RM30,000 untuk satu pesakit bagi tempoh sebulan. Ini jauh lebih mahal berbanding merawat pesakit di komuniti dengan ubat yang menelan hanya sekitar RM2,000 sehingga RM3,000 sebulan untuk seorang pesakit,” katanya.
Katanya lebih membimbangkan, kini ada cadangan memasukkan golongan remaja belasan tahun yang didapati positif ujian air kencing ke pusat serenti yang pastinya akan memusnahkan masa depan mereka yang kebanyakannya adalah orang Melayu. Ujian air kencing sepatutnya bukan kriteria menentukan seseorang itu penagih atau sebaliknya. Ia perlu disahkan oleh doktor.
Beliau antara yang terawal mencadangkan penggunaan methadone untuk merawat ketagihan dadah pada tahun 2005, berkata ketika itu tidak sampai 90 penagih di bawah pemantauannya mengalami HIV. Namun, akibat penolakan Methadone, jumlah penagih dijangkiti HIV mencecah 85,000 orang.

Rawatan ketagihan gagal sebab tiada intervensi’

Pengarah dan Profesor Pusat Penyelidikan Dadah, Prof. Dr. Vicknasingam Balasingam, berkata ujian air kencing menunjukkkan mereka yang ditangkap dan dipenjarakan kembali ke tabiat asal sejurus selepas dibebaskan.
“Kegagalan merawat ketagihan disebabkan tiadanya intervensi perubatan. Tujuan hantar mereka ke penjara adalah untuk menghukum dan bukan memulihkan mereka. PUSPEN dan banyak negara lain yang ada institusi seperti ini, tidak menunjukkan kejayaan atau pencapaian baik kerana ia bersifat tiruan.
“Mereka terkawal di dalam sana tapi bila dibebaskan mereka perlu berhadapan dengan masyarakat di mana dalam dunia sebenar, ada kawan-kawan dan desakan lain untuk kembali ke tabiat lama. Mereka tidak diajar untuk mengelak desakan ini. Banyak data menunjukkan pemulihan di peringkat komuniti lebih berkesan di mana ketika dalam proses pemulihan, mereka hidup seperti biasa bersama keluarga,” katanya.
Proses itu sama seperti pesakit mental yang suatu ketika dulu dikurung tetapi sekarang sudah ada ubat yang boleh mengimbangi bahan kimia di dalam otak mereka.
Katanya penggunaan dadah berpanjangan boleh merosakkan struktur otak dan hendak memulihkan mereka perlukan rawatan ubat-ubatan. Malah, situasi ibu bapa membawa anak ke hospital untuk mendapatkan rawatan akan mengubah persepsi orang ramai berbanding melawat anak di penjara.
“Kos penjara boleh menelan sehingga RM20,690 sebulan berbanding rawatan menggunakan opiod dan methadone sebanyak 80 miligram berjumlah RM6560 untuk tahun pertama dan bagi tahun kedua serta seterusnya adalah berjumlah RM6032. Bagaimanapun mereka yang dipenjarakan mempunyai rekod hukuman yang mungkin menjejaskan peluang untuk mencari kerja selepas dibebaskan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN