Joyah Vegas ‘ratu’ rumah sewa di AS - Utusan Malaysia

Joyah Vegas ‘ratu’ rumah sewa di AS

Aksi Joyah Vegas dalam salah satu kelas memasak dianjurkannya dianjurkannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Biarpun sudah lebih 20 tahun menetap di bumi asing, Joyah Vegas masih setia dengan identiti Melayu kebanggaannya.

Bangga menggelarkan diri sebagai Joyah di bandar Las Vegas, Amerika Syarikat (AS), anak jati Malaysia ini berjaya membina empayarnya tersendiri dalam perniagaan rumah sewa di negara maju itu.

Siapa sangka gurauan mengugut si penyewa rumah untuk berkahwin sekiranya lewat membayar sewa pada 1995 rupanya menjadi titik tolak kebahagiaan buat Joyah Vegas.

Penyewa rumah pada ketika itu yang merupakan warga AS dengan senang hati menerima ‘pelawaan’ Joyah dan mereka hidup bahagia bersama sehingga ke hari ini.

Itu antara kisah mencuit hati yang dikongsikan Joyah Vegas atau nama sebenarnya Pon Jumat mengenai kisah pertemuannya dengan suami, Yahya Abdullah, 70, lebih 20 tahun lalu.

Joyah, 56, cukup dikenali di Las Vegas sebagai ‘ratu’ rumah sewa kerana memiliki 41 rumah sewa dan tiga buah rumah penginapan di bandar berkenaan.

Joyah bekerja keras dalam memastikan rumah sewa miliknya diselenggara dengan baik untuk penyewa.

Mengambil keputusan mengikut suaminya pulang ke negara asal pada tahun 1998 ternyata tidak sia-sia.

Ini terbukti apabila mereka berjaya membina empayar rumah sewa yang kini mendatangkan hasil memuaskan.

Bercerita detik perjalanan dirinya dan suami mengumpul satu persatu rumah sewa, dia berkata ia merupakan hasil kerja keras mereka bersama.

Selain mengumpul wang gaji suaminya yang bekerja di sebuah kilang, pelbagai pekerjaan lain turut dilakukan seperti katering, mengajar kelas memasak dan mengawal ketat perbelanjaan keluarga. Ini membolehkan mereka mengeluarkan sejumlah wang membeli rumah-rumah berkenaan.

“Boleh dikatakan ia rezeki kami pada 10 tahun lepas ketika zaman ekonomi Amerika meleset dan harga rumah jatuh. Ramai pemilik rumah yang pulangkan kembali rumah mereka kepada bank kerana tidak mampu bayar.

“Bank pula kemudiannya menjual semula rumah-rumah berkenaan dengan harga yang sangat murah iaitu hanya 10 peratus daripada harga asal rumah membuatkan kami mampu membelinya,” kata Joyah yang menggunakan nama timangan berkenaan kerana satu watak drama Melayu yang diminatinya suatu masa dahulu.

Pada awalnya, Joyah menjelaskan dia dan suami tidak mempunyai sebarang perancangan ketika membeli rumah-rumah berkenaan.

Namun, tanpa disangka tidak lama kemudian harga rumah kembali mendadak naik membolehkan mereka menjalankan perniagaan rumah sewa.

Bagaimanapun katanya, daripada 44 rumah itu, 30 daripadanya adalah miliknya manakala 14 buah lagi dibeli secara kongsi bersama rakan-rakan yang berminat.

“Sehingga kini semua rumah ada penyewa dan bagi rumah penginapan pula selalunya ia menerima kunjungan rakan-rakan dari Malaysia.

“Mereka yang mengenali saya di Facebook biasanya akan mencari penginapan saya sekiranya berkunjung ke sini (Las Vegas),” ujarnya.

Berkebun antara hobi Joyah.

Seronok tapi tidak mudah

Sudah menjadi asam garam dalam perniagaan, ada untung pasti ada ruginya juga.

Menurut wanita asal Pagoh, Johor itu, berdepan dengan pelbagai kerenah penyewa merupakan cabaran terbesar dalam mengendalikan perniagaan berkenaan.

Sebanyak 14 rumah sewanya terletak di Las Vegas manakala 30 rumah lagi terletak di Buffalo, New York.

“Untung tidaklah seberapa kerana ada rumah-rumah yang perlu dibaiki dari semasa ke semasa untuk keselesaan penyewa.

“Lepas itu kena menghadap perangai penyewa yang bermacam ragam pula. Ada yang tidak bayar sewa, tidak mengikut syarat perjanjian rumah sewa, malah ada juga yang pengotor,” ujarnya berkongsi pengalaman menyewakan rumah kepada penduduk di bumi Barat itu.

Kekal positif

Bagaimanapun, ujar ibu dua anak itu, dia tetap memandang segala permasalahan itu pada sudut positif supaya dapat menyelesaikannya dengan cara yang berhemah.

Dia lebih memfokuskan untuk menikmati kehidupan dengan sebaiknya bersama suami dan dua anak dara berusia 24 dan 22 tahun yang kini semakin dewasa serta berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Joyah bersama suami dan dua anak perempuannya.

Biarpun sudah lama tinggal di bumi asing, Joyah tetap menerapkan elemen Malaysia kepada keluarga kecilnya itu.

Malah, hidangan makanan setiap hari di rumah masih berasaskan lauk-pauk seperti di Malaysia.

“Jarang saya masak burger atau makanan Barat, mereka di rumah lebih sukakan masakan lauk-pauk dan sebagainya. Kami juga selalu ke Asian Market kerana terdapat banyak barangan seperti di negara kita,” akhirinya.

 

Biodata:
Nama: Pon Jumat
Nama glamor:  Joyah Vegas
Anak: Aisyah Yahya, 24 dan Sofiah Yahya, 22.
Umur: 56 tahun
Asal: Pagoh, Johor
Hobi: Berkebun, membersihkan rumah,
Minat: Menganjurkan kelas masakan
Mengenai diri: Peramah, aktif dan cergas

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×