Bersempena Hari Air Sedunia 2021, Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengadakan program Jom Turun Sungai, di Sungai Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu.
Pelepasan peserta untuk program tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Air dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.
Zaini berkata, program itu sebahagian daripada Program Denai Kebangsaan yang melibatkan kerjasama strategik kementerian bersama agensi di bawahnya dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memelihara sungai sebagai sumber air yang tidak ternilai.
Katanya, program itu diharap dapat meningkatkan kesedaran di kalangan komuniti dan pelajar agar menjaga kebersihan sungai, memupuk rasa sayang dan kecaknaan dalam pemuliharaan sumber air.
“Seterusnya memastikan hubungan kerjasama antara kerajaan, universiti dan komuniti setempat sentiasa berkekalan,” katanya.
Seramai 40 pelajar UMT menyertai program ini dengan kerjasama Fakulti Sains Sekitaran Marin (FSSM) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik (FTKKI).
Sebanyak 343 kilogram sampah berjaya dikutip sepanjang 2 kilometer. Turut menjayakan program ialah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) cawangan utara.











