KUALA LUMPUR: Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James akan menggayakan Busana bertemakan Kampungku hasil kreativiti pereka Carven Ong dalam segmen busana kebangsaan pada pentas akhir pertandingan Miss Universe ke-69 di Hollywood, Florida, Amerika Syarikat (AS), 16 Mei depan.
Menurut Carven, kostum seberat 45 kilogram itu mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan. Ia dibuat menyerupai landskap rumah tradisional kampung dengan elemen penuh nostalgia termasuk replika ayam, pokok kelapa dan basikal tua.
“Replika rumah kampung tradisional Melayu itu dihiasi landskap kampung dan suasana luar bandar Semenanjung Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas majlis memperkenalkan dua koleksi rekaannya Miss Universe Malaysia 2020, untuk ke pentas Miss Universe ke-69 di sini, sebentar tadi.
Dua gaun bakal disarung Francisca untuk kostum itu iaitu gaun berona keemasan dan hitam putih.
Pertandingan kostum segmen terpenting dalam keseluruhan penganjuran Miss Universe. Tahun sebelum ini, kostum makanan kaum Peranakan dipertandingkan Miss Universe Malaysia 2019, Shweta Sekhon mencetuskan kontroversi apabila diumumkan menang kostum terbaik namun bertahan empat jam sahaja. Organisasi Miss Universe membetulkan kembali keputusan itu dan mengesahkan kostum Filipina adalah pemenang sebenar.
Terdahulu, antara kostum yang pernah dipertandingkan di acara itu termasuk Menara Berkembar KLCC, Nasi Lemak, Perahu Bangau, Dewi Kenyalang.
Sementara itu, Francisca berkata, kostum berkenaan unik dan beliau mengambilnya sebagai cabaran untuk mencapai kejayaan dan menempa nama sebagai Miss Universe kelak.
“Walaupun ia agak mencabar apabila saya terpaksa memakai replika yang berat. Saya mengharapkan sokongan semua supaya terus yakin menggayakannya atas pentas dengan baik, sekali gus mampu mengharumkan nama negara,” katanya. Beliau mencatat sejarah sebagai wanita Dayak pertama memenangi pertandingan Ratu.
Memandangkan dunia sedang berdepan dengan Covid-19, undian dalam talian sedang berlangsung bagi memilih 20 peserta akhir yang akan ke AS Mei depan.
Selain dua busana sentuhan Carven, Francisca akan turut memperagakan sepasang gaun petang, diinspirasikan dari Borneo iaitu kehidupan Puteri Santubong dan Sejinjang rekaan pereka Rizman Ruzaini.










