‘Makin besar makin memberontak!’. Perkara ini selalunya menjadi dilema kepada ibu bapa yang mempunyai anak meningkat remaja.
Makin merunsingkan kepala apabila makin kerap melawan cakap. Malah seringkali mencabar kesabaran. Kadangkala timbul persoalan ‘di mana silapnya?’.

Ikuti wawancara Seri bersama Pegawai Psikologi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Maznah Ibrahim, memberi penjelasan dalam merungkai permasalahan ini.
SERI: Apabila meningkat remaja, anak remaja sering memberontak. Adakah ia berpunca daripada proses tumbesaran?
JAWAPAN: Ya. Pertamanya kena faham konsep remaja itu sendiri. Remaja ialah peringkat umur seseorang itu mulai dewasa dan sudah akil baligh. Fasa ini menyebabkan berlakunya perubahan fisiologi badan iaitu perubahan kepada bentuk badan mengikut jantina disebabkan oleh hormon.
Perubahan ini membuatkan mereka keliru dengan bentuk badan. Malah remaja juga mengalami konflik identiti. Kadangkala ia turut menyebabkan gangguan emosi dan tingkah laku mereka turut berubah. Pada peringkat ini juga, mereka senang salah faham atau rasa tidak difahami.
Apakah ada faktor lain sebagai penyumbang?
Antara faktor utama ialah hubungan dengan ibu bapa. Pembinaan hubungan baik antara anak dan ibu bapa berlaku sejak 0-6 tahun usia, membentuk peribadi anak pada masa hadapan. Ibu bapa adalah orang pertama dikenali dan mereka meletakkan sepenuh kepercayaan kepada ibu bapa.
Jika kepercayaan itu dijaga sebaik mungkin dari kecil, pasti hubungan anak dengan ibu bapa akan tetap menjadi baik walaupun anak mengalami perubahan watak disebabkan proses tumbesaran. Terlalu mementingkan kerjaya atau kurang memberi respons atau perhatian kepada anak di rumah kadangkala menyebabkan mereka rasa tersisih dan mula hilang kepercayaan kepada ibu bapa.
Faktor kedua ialah ibu bapa belum bersedia menerima perubahan anak meningkat dewasa. Kadangkala apabila anak mula menunjukkan perubahan tingkah laku, ibu bapa atau penjaga mula mempersoalkan tanpa memikirkan sebab perkara itu berlaku.
Ibu bapa harus sentiasa peka dengan perubahan anak supaya lebih memahami setiap keadaan. Peringkat umur anak kosong hingga tujuh tahun adalah peringkat bermain, tujuh hingga 14 tahun adalah peringkat bimbingan manakala 15-21 adalah peringkat mereka perlu diberikan tanggungjawab.
Sekiranya berlaku perubahan terhadap anak, perlu cepat sedar dan mainkan peranan mengikut tahap umur mereka. Jangan menuduh mereka tidak tentu hala sekiranya mereka buat perangai seperti mengatakan ia disebabkan oleh gajet dan sebagainya kerana ia hanya akan menambah pemberontakan anak-anak.
Jadi bagaimana cara yang berkesan untuk menangani permasalahan ini?
Ada dua elemen utama iaitu kepercayaan dan kebebasan. Bukan bermaksud kebebasan mutlak tetapi perlu ada batas dan panduan. Contoh, jika dia mahu keluar dengan kawan, boleh asalkan dihantar oleh ibu bapa atau penjaga dan tidak mematikan telefon bimbit.
Komunikasi berkesan antara perkara yang sangat penting untuk tackle perasaan anak-anak. Berbincang dari hati ke hati bersama anak mengikut jantina mereka. Contohnya, jika anak lelaki, bapa yang perlu mendekati dan berbincang secara one-to-one dengan mereka dan ibu perlu memainkan peranan sekiranya anak itu perempuan.
Perbincangan sesama jantina ini memberi efek yang lebih baik dan juga membuatkan anak-anak lebih selesa menceritakan pelbagai kisah peribadi.
Banyak berbincang isu seksualiti dan kongsi pengalaman ibu atau bapa ketika remaja dahulu. Boleh buat jalan penceritaan seolah-olah ibu atau bapa tahu kisah itu sepenuhnya. Tujuannya hanya nak ‘dekat’ dengan isu dalam peringkat perkembangan mereka, buat mereka rasa ibu bapa ‘tidak jauh’ dan ibu bapa terbuka dengan isu ini. Isu percintaan, perasaan sensitif, akil baligh, perubahan fisiologi dan sebagainya.
Hargai dan percaya kepada pilihan dan cadangan dia. Ini supaya dia rasa ada kuasa, ada keterlibatan dan hak dalam pembuatan keputusan keluarga. Ini juga menunjukkan ibu dan ayah percaya kepada buah idea fikiran dan pandangan dia.
Bagaimana memastikan usaha menangani permasalahan anak remaja ini dilakukan secara berterusan?
Merancang aktiviti menyeronokkan bersama anak-anak secara berkala. Contohnya, sekali seminggu tetapkan satu hari untuk bermain permainan video atau apa sahaja aktiviti yang disukai oleh anak-anak. Paling utama, sentiasa mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak.
Perkara ini mungkin mengambil masa tetapi percayalah sjika dilakukan secara konsisten dan tanpa putus asa, anak-anak akan membesar menjadi orang yang berwibawa dan berjiwa besar satu hari nanti.








